Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,764
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,764
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
âAda Berita Burukâ - Bapa Dr Ainul Terima Khabar Nahas Helikopter
Kamarudin Salleh, bapa kepada salah seorang penumpang helikopter yang terhempas berhampiran Long Lellang, Sarawak, Dr. Ainul Baroah, menunjukkan gambar anaknya (dua, kiri) bersama ahli keluarga ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini malam ini. Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pertemuan terakhir Kamarudin Salleh dengan anaknya Dr Ainul Baroah yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak hari ini, adalah ketika mangsa pulang bercuti sempena cuti sekolah sebelum kembali bertugas di negeri itu Ahad lepas.
Kamarudin, 69, berkata anaknya seorang yang pendiam, sangat baik terhadap keluarga dan banyak membantu mereka.
“Dia macam biasa, senyum dan tidak banyak bercakap. Bila balik, dia bersama anak-anak saudara dan keluarga,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, di sini, malam ini.
Kamarudin berkata beliau menerima berita mengenai kejadian itu daripada besannya kira-kira 5 petang tadi.
“Dia telefon selepas sembahyang Asar dan kata ada berita buruk. Sampai dua tiga kali dia sebut berita buruk. Saya tanya berita apa, dia kata helikopter anak saya terbakar,” katanya.
Menurut pesara guru itu, ketika menerima berita berkenaan, keluarga masih belum mendapat pengesahan mengenai keadaan Dr Ainul Baroah, 32, sebelum menantunya menghubunginya petang tadi untuk memaklumkan anaknya disahkan meninggal dunia.
"Anak saya (Dr Ainul Baroah) bertugas di Hospital Miri dan sudah hampir dua tahun berkhidmat di Sarawak, sebelum itu bertugas kira-kira dua tahun di Tanah Merah," katanya.
Kamarudin berkata tugas anaknya di Sarawak turut melibatkan pemantauan pesakit di beberapa kawasan termasuk Baram, yang memerlukan perjalanan menggunakan helikopter kira-kira sekali seminggu.
Sementara itu, ibu Dr Ainul Baroah, Rogayah Mohd Noor, 69, yang juga pesara guru, menyifatkan anaknya sebagai seorang yang baik, patuh dan tidak pernah menyusahkan keluarga sejak kecil.