BTC USD 84,029.2 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Hari Ini Dalam Sejarah - 08/12

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
JEPUN MENDARAT DI KOTA BHARU, KELANTAN-Tarikh Peristiwa pada 08-12-1941

Pada hari ini dalam tahun 1941, Tentera Jepun yang diketuai oleh Jeneral Takumi telah mendarat di Pantai Sabak di Kota Bharu, Kelantan. Tentera Inggeris di bawah pimpinan Brigadier Kay yang mengetuai ‘28th Indian Infantry Brigade' telah tewas di dalam usaha mempertahankan Kota Bharu. Semasa serangan tersebut, Inggeris menyangka bahawa tentera Jepun akan menyerang Singapura melalui laut. Sebaliknya tentera Jepun telah mendarat di Kota Bharu dan mara ke selatan. Kekuatan pertahanan udara Tanah Melayu pula adalah terlalu lemah jika dibandingkan dengan kekuatan tentera udara Jepun. Tentera Jepun telah mendapat tentangan hebat semasa pendaratannya di Kota Bharu. Walau bagaimanapun, Jepun berjaya menawan Kota Bharu dan mara ke negeri Pahang. Tentera Inggeris dan Rejimen Askar Melayu telah berjuang bermati-matian tetapi akhirnya mengalami kekalahan yang teruk dan terpaksa berundur ke selatan. Jepun telah menyerang Pulau Pinang, Ipoh, Slim River dan seterusnya menawan Kuala Lumpur. Menjelang 31 Januari 1942 tentera Inggeris dan sekutunya terpaksa berundur ke Singapura. Berikutan serangan yang berterusan, pihak Jepun telah berjaya menawan seluruh Semenanjung Tanah Melayu.
 
PENUBUHAN LEMBAGA KEMAJUAN GETAH MALAYSIA BERHAD-Tarikh Peristiwa pada 08-12-1970

Pada hari ini 8.12.1970 YB. Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak b. Hussein telah membuat kenyataan bahawa Kerajaan Malaysia telah menubuhkan sebuah perbadanan yang dinamakan Lembaga Kemajuan Getah Malaysia Berhad. Perbadanan ini ditubuhkan untuk mengekalkan keteguhan perusahaan getah asli di Malaysia di samping membolehkan pekebun-pekebun kecil mengeluarkan Getah Mutu Malaysia (SMR) bagi meninggikan pendapatan mereka. Encik Jamil bin Mohamad Jan dari Jabatan Perpaduan Negara telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah. Lembaga ini akan dijalankan secara perusahaan swasta dan tertakluk di bawah Akta Syarikat bagi menubuhkan kilang-kilang memproses getah yang dikeluarkan oleh pekebun-pekebun kecil.

Objektif utama penubuhan Lembaga ini ialah :-

Untuk memperteguhkan kedudukan Perusahaan Getah Asli Malaysia.

Memberi peluang pekerjaan baru di kawasan luar bandar.

Perjalanan Lembaga tersebut akan dibiayai dari sumbangan Kerajaan Pusat, Lembaga Tabong Getah Tanah Melayu, Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan perniagaan. Saham-saham modal Lembaga akan dibuka kepada pekebun-pekebun kecil dan pekerja-pekerja Lembaga. Perdana Menteri berkata, pelbagai usaha telah dibuat oleh Pusat Penyelidikan Getah Malaysia dan Syarikat-syarikat Kemajuan Getah Sendirian Berhad di bawah Lembaga Tabung Getah Tanah Melayu, untuk menolong pekebun-pekebun kecil dengan mendirikan kilang-kilang untuk mengeluarkan getah proses baru di bawah rancangan SMR. Sesungguhnya penubuhan Lembaga tersebut pada hari ini telah memberi peluang kepada lebih ramai pekebun-pekebun kecil untuk menyertai rancangan SMR, di samping dapat melaksanakan dasar ekonomi baru kerajaan.
 
GERAKAN PEMERIKSAAN PENGGUNAAN SISTEM METRIK SELURUH NEGARA-Tarikh Peristiwa pada 08-12-1981

Pengawasan dan penguatkuasaan sesuatu undang-undang itu akan berkesan jika semua pihak yang terlibat menjalankan kerja-kerja dengan bersungguh-sungguh. Tanpa adanya penguatkuasaan, sesuatu undang-undang itu akan menjadi kurang berkesan dan mudah disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan. Pada hari ini 8.12.1981, dalam usaha kerajaan menguatkuasakan penggunaan sistem metrik dalam sukatan, satu pengumuman gerakan pemeriksaan secara besar-besaran akan diadakan mulai 1 Januari 1982.

Pengumuman ini telah dibuat oleh pengawal penguatkuasaan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian iaitu Tuan Haji Nik Salleh Haji Nik Mat. Kesalahan di atas kegagalan menggunakan peralatan yang telah ditetapkan ialah sebanyak RM1000 ataupun penjara enam bulan. Langkah kerajaan memperkenalkan sistem metrik dalam timbangan ini merupakan usaha-usaha kerajaan menyesuaikan keperluan-keperluan semasa dan memenuhi standard sukatan di peringkat antarabangsa. Dan dengan pengenalan ini akan memberi keadilan kepada kedua-dua pihak iaitu pengguna dan peniaga.
 
SEKOLAH INGGERIS PERTAMA DITUBUHKAN DI KEDAH-Tarikh Peristiwa pada 08-12-1908

Pada hari ini 8.12.1908, Sekolah Inggeris yang pertama telah ditubuhkan di negeri Kedah. Sekolah yang diberi nama "Sekolah Inggeris Kerajaan" yang mula-mula ditubuhkan yang kemudiannya diikuti dengan penubuhan beberapa Sekolah Inggeris Kerajaan yang lain. Guru Besar Pertama Sekolah Inggeris Kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1908 ini ialah Encik Mohamad Iskandar, Seorang guru kanan dari Penang Free School dan juga bapa kepada Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad. Pada awal penubuhannya, sekolah ini merupakan sebuah bangunan kayu yang sebelumnya telah diguna sebagai pejabat Ketua Menteri Kedah, Wan Mohd Saman. Dengan tiga orang tenaga pengajarnya sekolah ini hanya mampu menerima kira-kira 50 orang murid sahaja. Sekolah ini bagaimanapun semakin berkembang maju dan pada tahun 1911 sekolah ini dipindahkan dari bangunan kayu ke sebuah bangunan batu yang disewa terletak di Jalan Penjara Lama. Berikutan pertambahan murid yang begitu pesat dalam tahun 1917 Sekolah Inggeris Kerajaan ini berpindah lagi ke tapak tetapnya di Jalan Langgar dengan kelengkapan yang lebih baik.

Di sini sekolah ini bertambah maju sehingga kemudiannya dalam tahun 1935 Sekolah Inggeris Kerajaan yang pertama ditubuhkan ini telah ditukar namanya kepada kolej Sultan Abdul Hamid mengambil sempena nama D.Y.M.M. Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang begitu mengambil berat tentang pelajaran rakyatnya. Penubuhan Sekolah Inggeris yang pertama di Negeri Kedah pada hari ini dalam tahun 1908, sesungguhnya telah membawa era baru dalam sistem pendidikan di Negeri Kedah pada masa itu khususnya dengan pengenalan pendidikan Inggeris tersebut.
 
Back
Top
Log in Register