Google gugurkan ciri AI Google Earth kerana bimbang sebar maklumat palsu
Ciri penjanaan AI baharu Google Earth mencetuskan kontroversi di media sosial sebelum ia akhirnya ditarik balik, dengan pakar bimbang ia akan menyebabkan maklumat salah tersebar dengan lebih mudah.
SINGAPURA: Pemandangan dari udara kemusnahan di Lapangan Terbang Changi, kebakaran di Taman di Pesisiran dan jambatan runtuh berhampiran Marina Bay Sands: Tiada satu pun kejadian itu benar-benar berlaku.
Namun selama sehari, sesiapa sahaja boleh menjana imej yang amat realistik itu hanya dengan menggunakan arahan satu ayat kecerdasan buatan (AI) .
IKLAN
Google pada Jumaat (31 Jul) menarik balik ciri baharu yang diperkenalkan sekitar 24 jam sebelum itu, yang membolehkan pengguna menghasilkan imej sedemikian secara langsung menggunakan Nano Banana - penjana imej AI milik syarikat tersebut - dalam laman pengimejan satelit Google Earth.
Dalam pengumuman awal pada Khamis, Google menyatakan, ciri itu bertujuan membantu pengguna menggunakan imaginasi dan membuat perancangan, seperti menggambarkan kawasan kejiranan baharu atau menghasilkan pelan pembangunan hartanah.
Namun, ia mengundang kritikan daripada para pakar bidang kewartawanan, AI dan risikan sumber terbuka, yang memberi amaran bahawa ciri itu boleh memudahkan penyebaran maklumat palsu dengan lebih pantas.
Penyiasat sumber awam terkenal Henk van Ess antara yang pertama membangkitkan kebimbangan itu menerusi catatan blog pada Jumaat, dengan menyatakan bahawa ciri tersebut lebih banyak mendatangkan mudarat daripada manfaat.
Walaupun imej palsu yang dijana AI bukanlah sesuatu yang baharu, para pakar turut berkata bahawa perkembangan Google Earth itu akan memburukkan lagi keadaan. Imej satelit sejak sekian lama dianggap lebih dipercayai dan sering digunakan untuk menyangkal maklumat palsu. Namun, ciri baharu itu menjadikan salah satu platform utama yang mudah diakses sebagai alat untuk menyebarkan maklumat palsu yang meyakinkan.
IKLAN
Google tidak mendedahkan jumlah pengguna aktif Google Earth, namun laporan sebelum ini menganggarkan jumlah muat turun aplikasi itu antara 500 juta hingga lebih satu bilion.
Pada Jumaat, Google menyatakan ia sudah menarik balik ciri baharu itu dan sedang melaksanakan "perlindungan yang lebih kukuh".
Sebelum ciri itu ditarik balik, Mediacorp mengujinya dengan menjana tiga imej rekaan yang berpangkalan di Singapura menggunakan Google Earth. Tiada penolakan atau sekatan apabila arahan AI dimasukkan.
Peta awam Google Earth tidak diubah dan contoh imej palsu itu tidak dapat dilihat oleh pengguna lain. Namun, Mediacorp sempat mengambil tangkap layar imej tersebut dengan mudah dan mula memuat naiknya ke platform media sosial utama seperti Facebook, Instagram dan TikTok, tanpa diminta mengisytiharkan bahawa imej itu dijana AI.
Mediacorp turut menguji tangkap layar itu menggunakan empat alat komersial pengesan AI. Separuh daripadanya menganggap dua imej tersebut sebagai imej tulen dengan kebarangkalian manipulasi yang rendah. Satu lagi alat mengesan satu imej sebagai berkemungkinan besar imej sebenar.
IKLAN
Apabila imej itu diuji menggunakan aplikasi AI Gemini milik Google, ia dikesan sebagai imej yang sebahagian, kebanyakannya atau sepenuhnya dijana atau disunting menggunakan AI Google.
Google gugurkan ciri AI Google Earth kerana bimbang sebar maklumat palsu
SINGAPURA: Pemandangan dari udara kemusnahan di Lapangan Terbang Changi, kebakaran di Taman di Pesisiran dan jambatan runtuh berhampiran Marina Bay Sands: Tiada satu pun kejadian itu benar-benar berlaku. Namun selama sehari, sesiapa sahaja boleh menjana imej yang amat realistik itu hanya dengan...