combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Golongan Muda Diseru Hayati Semangat Hijrah Untuk Bawa Perubahan Positif - Zulkifli
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (dua, kanan) menghadiri Majlis Bacaan Doa Maal Hijrah di Masjid Putra, malam ini.
Majlis tersebut diadakan bersempena sambutan Maal Hijrah sebagai tanda penghayatan dan doa bagi menyambut Tahun Baharu Islam.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Generasi muda di negara ini disaran menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai inspirasi untuk melakukan perubahan positif dalam kehidupan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata hijrah Rasulullah SAW merupakan titik perubahan penting dalam sejarah Islam yang membawa kepada transformasi menyeluruh masyarakat, yang harus dijadikan teladan oleh semua.
“Anak muda di Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar. Marilah kita sama-sama mengingati dan menghayati hijrah Rasulullah SAW yang merupakan satu turning point, satu detik bermulanya perubahan yang berlaku secara menyeluruh dan ia bermula dengan akhlak, adab serta ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program tausiyyah dan majlis bacaan doa sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M di Masjid Putra, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai sambutan pada tahun ini, Zulkifli berkata tema "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati" amat relevan tatkala negara mendepani pelbagai cabaran semasa termasuk isu sosial yang melibatkan golongan muda.
Zulkifli berkata sambutan peringkat kebangsaan turut membawa kelainan apabila program utama dimulakan di masjid bagi mengimbau sejarah penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, yang menyaksikan masjid menjadi institusi pertama dibangunkan Baginda.
“Tahun ini kita memilih Masjid Putra sebagai destinasi untuk memulakan cetusan gelombang mengingati sejarah perjuangan Baginda Rasulullah SAW. Masjid merupakan tempat bermulanya ketamadunan dan pembangunan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata sambutan itu turut diadakan secara berhemah dengan mengambil kira keperluan penjimatan tenaga susulan krisis tenaga global yang sedang berlaku.
Selain itu, katanya, syarahan perdana oleh Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa akan diadakan di Auditorium JAKIM pada 18 Jun ini dan dijangka disertai kira-kira 1,000 peserta.