kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Gerai Buah Layan Diri Cik Din Di Kampung Lasah Berteraskan Kejujuran Pelanggan
Pemilik gerai Nordin Mat Yazid menunjukkan buah-buahan yang dijual di premisnya di Kampung Lasah baru-baru ini.
Sebuah gerai buah-buahan berkonsepkan layan diri di Kampung Lasah di sini beroperasi sepenuhnya berlandaskan kejujuran serta kepercayaan terhadap pembeli.
Pemilik gerai Nordin Mat Yazid, 63, berkata perniagaan buah-buahan dinamakan 'Gerai Cik Din' itu dimulakan berhampiran jalan utama berdekatan dataran simpang Perlop sejak dua minggu lepas bagi memudahkannya membahagikan masa dengan kerja-kerja kampung.
Dengan dibantu oleh isterinya Aziati Mohd Salleh, 56, pemilik gerai itu berkata pelanggan boleh membuat pembayaran menerusi wang tunai diletakkan dalam tabung yang disediakan atau mengimbas kod QR yang disediakan.
Nordin yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal akibat kemalangan jalan raya pada usia 19 tahun memberitahu usaha berkonsepkan layan diri itu sebenarnya telah dilaksanakan di hadapan rumahnya sejak empat hingga lima tahun lepas, sebelum dipindahkan ke tapak tepi jalan besar bagi meluaskan pasaran.
"Selepas musim durian baru-baru ini, saya cuba buat di tapak sama dengan gerai Durian Cik Din Lasah, dalam dua minggu gerai buah layan diri ini beroperasi di sini dan kita letak satu bekas duit, selain letak harga siap-siap," katanya ketika dihubungi Bernama.
Nordin berkata gerai yang dibuka seawal 8 pagi hingga 6 petang itu menjual pelbagai hasil pertanian dan buah-buahan tempatan seperti pisang, kelapa muda, dokong, manggis, cili padi, dan jantung pisang pada harga antara RM2.50 hingga RM30.
Mengenai aspek keselamatan barang jualan, Nordin menjelaskan dia tidak pernah berdepan sebarang insiden kecurian sepanjang mengamalkan konsep layan diri, sebaliknya ada ketika jumlah wang yang diterima dalam tabung melebihi harga jualan.
Perniagaan itu turut mendapat kerjasama serta sokongan positif daripada komuniti setempat termasuk pekerja stesen minyak berhampiran, selain pengguna jalan raya dan masyarakat Orang Asli.