Penanggal merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang dipelihara oleh seseorang, biasanya wanita, bagi tujuan memelihara harta dan memudaratkan musuh.
Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka. Hantu penanggalan dipercayai diberi makan darah daripada ibu yang mengandung atau baru melahirkan anak oleh tuannya.
Hantu penanggal dikatakan membolehkan tuannya mampu menjelma sebagai sejenis makhluk berkepala dengan urat perut yang bercahaya dan terbang mencari mangsa. Penanggalan akan terbang ke rumah yang dikenal pasti mempunyai wanita yang baru bersalin dan kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka.
Cara menghalang gangguan Penanggal dikatakan dengan cara meletakkan daun berduri, seperti daun mengkuang, di bawah rumah ibu yang baru bersalin. Ini dikatakan kerana hantu Penanggalan takut menghampiri rumah yang berduri kerana bimbangkan tali perut mereka tersangkut pada duri tersebut.
Mereka yang memelihara Penanggal dikatakan mampu menanggalkan kepala dan urat perut mereka dan terbang mencari wanita bersalin bagi memberi makan kepada Penanggal. Selepas mereka makan, dikatakan pengamal. Penanggal akan merendam urat perut mereka kedalam tempayan yang berisi cuka bagi mengecutkan perut sebelum masuk kembali kedalam badan asal mereka.
Salah satu cara yang dikatakan paling berkesan bagi mengenal pasti pemilik Penanggal adalah dengan memusingkan jasad tanpa kepala yang ditinggalkan ketika mereka keluar mencari mangsa. Hal ini disebabkan apabila mereka kembali, kepala tersebut akan bercantum songsang dengan jasad mereka menyebabkan kepala mereka bercantum kearah kebelakang. Kepala menghadap ke belakang tubuh.
Sumber: wikipedia