kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
FKRK 2026: Penilaian Seni Silat Tari Tuntut Keaslian, Estetika Dan Penghayatan
Persembahan seni silat tari yang cemerlang bukan hanya bergantung kepada kehebatan gerak langkah, sebaliknya perlu menampilkan keseimbangan antara nilai estetika, penghayatan serta keaslian.
Ketua Juri Pertandingan Seni Silat Tari Kategori Kanak-kanak, Remaja dan Dewasa sempena Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 Ruzaidi Abd Rahman berkata setiap persembahan akan dinilai secara menyeluruh termasuk kreativiti pesilat, penguasaan gelanggang, nilai lakonan dan teknik silat.
Beliau yang juga merupakan bekas juara silat olahraga dunia 1990 dan pernah memenangi beberapa kejuaraan di peringkat antarabangsa itu berkata teknik serangan dan belaan perlu dipersembahkan dengan jelas, selain mengekalkan asas silat seperti langkah empat yang menjadi elemen penting dalam penguasaan gelanggang.
"Setiap pesilat juga perlu menampilkan kekemasan busana serta memastikan setiap pergerakan selari dengan unsur wirama (gerak), wirasa (irama) dan wiraga (jiwa) bagi menghidupkan persembahan," katanya ketika ditemui Bernama sempena FKRK 2026 di Jeti Pelancongan Tok Bali, di sini, hari ini.
FKRK 2026 yang berlangsung selama empat hari dari 1 hingga 4 Julai ini menyediakan pelbagai pengisian menarik dan aktiviti interaktif untuk seisi keluarga antaranya persembahan tradisional negeri seperti dikir barat, wayang kulit, makyung dan menora Siam.
Mengulas lanjut, Ruzaidi berkata pesilat juga perlu menghayati muzik iringan dan menzahirkan emosi melalui gerakan tanpa mengabaikan teknik persilatan sehingga mampu menceritakan jalan persembahan kepada penonton.
"Pertandingan silat tari mempunyai elemen penceritaan yang memerlukan pesilat memperlihatkan situasi serangan, mempertahankan diri, menewaskan lawan dan reaksi selepas kemenangan tanpa meninggalkan identiti seni silat.
"Ciri keaslian silat perlu dikekalkan sepanjang persembahan bagi memastikan seni warisan itu terus dipelihara mengikut disiplin dan adab persilatan," katanya.
Beliau berkata pada tahun ini seramai 120 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut membabitkan tiga kategori iaitu kanak-kanak, remaja dan dewasa dengan setiap kategori disertai 40 peserta.