ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
ENGGAN menoleh ke belakang kisah kegagalan rumah tangganya dengan bekas isteri, Abby Abadi sebaliknya Muhammad Noor Farhan Che Bakar atau Farhan mahu menumpukan perhatian kepada mahligai baharu yang bakal dibina pada 15 Mei ini.
“Cerita saya dengan dia sudah selesai. Tiada yang boleh diceritakan lagi. Lagipun kami sudah tidak lagi berhubung antara satu sama lain.
“Kalau orang luar nak berkata lagi, silakanlah. Saya tak kisah. Itu hak masing-masing,” tegas lelaki berusia 26 tahun ini berhubung rumah tangganya dengan Abby.
Perkahwinan pertama Farhan dengan Abby yang berlangsung di selatan Thailand pada 9 Julai 2013 tidak kekal lama. Mereka disahkan bercerai pada 9 Mei 2014 dengan talak satu.
Berkongsi perasaan yang dialami, kata Farhan, dia trauma kerana tidak menyangka publisiti tentang kegagalan rumah tangganya itu diperkatakan secara berlebih-lebihan.
Sebagai orang ‘biasa’, Farhan menambah, dia malu setiap kali berada di tempat awam kerana sentiasa dipandang serong segelintir pihak yang mengetahui episod sedih hidupnya itu.
Pun begitu, menurut Farhan, dia bersyukur kerana rakan rapatnya yang dikenali sebagai Aiman banyak menyuntik semangat buatnya untuk meneruskan kehidupan.
“Saya mendapati banyak cerita yang tidak betul tentang perkahwinan lama saya. Keadaan itu menyebabkan jiwa saya kacau untuk tempoh yang agak lama.
“Nasib baik Aiman ada. Dia tempat saya mengadu nasib. Aiman juga banyak memenangkan saya selain memberi nasihat untuk saya berdepan dengan masalah ini,” jelasnya.
PENGANTIN BAHARU
Sepanjang tempoh kekeliruan itu, anak kelahiran Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan ini kemudiannya bertemu dengan seorang wanita bernama Noriah Mat Isa.
Perkenalan yang berlangsung lebih kurang setahun itu mencetuskan rasa keinginan untuk berumah tangga buat kali kedua dalam diri Farhan kerana nyata wanita itu cukup istimewa pada pandangannya.
“Noriah seorang yang pandai mengambil hati saya. Secara fizikal, dia sangat cantik dan sempurna. Lebih penting lagi, dia pandai memasak dan menghormati saya.
“Jadi selepas beberapa bulan mendalami isi hati masing-masing, saya mengambil keputusan untuk tidak mahu melengah-lengahkan niat yang baik itu.
“Paling menggembirakan hati saya apabila hubungan kami mendapat restu daripada orang tua selepas saya memperkenalkan Noriah kepada mereka,” ujar Farhan yang mengikat tali pertunangan dengan Noriah pada 21 Mac lalu.
Berkongsi cerita, Farhan memberitahu, dia berdebar menghitung hari untuk diijabkabulkan.
Ini kerana dia perlu memastikan persiapan untuk majlis yang diadakan di rumah bakal isterinya di Putrajaya itu berlangsung dengan sempurna.
Lebih penting lagi, Farhan memberitahu yang dia tidak sabar untuk melalui proses perkahwinan yang diadakan secara mengikut adat.
“Saya tidak sabar untuk melalui proses itu semula. Perasaan gementar saat diijabkabulkan di depan tok kadi sambil disaksikan ahli keluarga dan rakan terdekat pasti menyeronokkan.
“Saat itu yang saya nanti-nantikan,” ujarnya yang bakal menyediakan hantaran sebanyak 11 dulang dan dibalas dengan 13 dulang daripada pihak keluarga Noriah.
Majlis resepsi di sebelah keluarga Noriah diadakan sehari selepas mereka diijabkabulkan.
Enggan mendedahkan secara terperinci tentang identiti bakal isterinya yang dikatakan seorang ibu tunggal, kata Farhan, semuanya akan terjawab pada majlis perkahwinannya nanti.
Jadi pelakon
Berhubung perancangannya untuk menjadi pelakon, kata anak sulung daripada empat beradik ini, dia masih menanti tawaran daripada syarikat produksi tempatan.
Sebagai persiapan awal untuk melangkah ke bidang tersebut, Farhan memberitahu, dia juga menceburi bidang peragaan bagi mengurangkan rasa gugup ketika berada di khalayak.
“Pembabitan saya dalam bidang lakonan ini adalah satu permulaan dalam hidup saya. Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang ini namun tidak salah kalau saya mencuba.
“Sudah pasti bidang ini cukup mencabar tambahan pula saya seorang pemalu. Apa pun saya yakin, kelemahan saya itu akan diatasi,” katanya yang kini bernaung di bawah sebuah agensi mencari bakat, Jamal Tommy Talent Agency.
Bersedia untuk membawa sebarang watak, tambah Farhan, dia juga berharap agar mendapat tunjuk ajar daripada individu berpengalaman dalam bidang lakonan demi memastikan impian menjadi pelakon cemerlang tercapai.