Fahaman ekstremis 'salad bar' cabaran baharu dalam usaha tangani radikalisasi di SG
Individu yang terpengaruh dengan fahaman ekstremis "salad bar" atau Composite Violent Extremism (CoVE) menggabungkan pelbagai ideologi, termasuk yang saling bercanggah seperti sokongan kepada ISIS dan fahaman pelampau berhaluan kanan. (Gambar: CNA/Clara Ho)
SINGAPURA: Apabila ancaman fahaman ekstremis berkembang melangkaui sempadan ideologi tradisional dengan kemunculan ekstremisme "salad bar", usaha mengesan dan memulihkan individu yang menjadi radikal kini menjadi jauh lebih mencabar, menurut para pakar.
Turut dikenali sebagai Composite Violent Extremism (CoVE), fenomena ini menyaksikan individu menggabungkan pelbagai fahaman dan naratif, termasuk ideologi yang saling bercanggah seperti sokongan kepada kumpulan ISIS serta fahaman pelampau berhaluan kanan, sebelum menggunakannya bagi menghalalkan tindakan keganasan.
IKLAN
Perkembangan itu turut memberi kesan kepada usaha pemulihan kerana ia kini perlu menangani gabungan pengaruh ideologi, psikologi dan tingkah laku yang jauh lebih kompleks. Justeru, menurut pakar, pendekatan pemulihan tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah yang digunakan sebelum ini.
Istilah "salad bar" mula dipopularkan oleh bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan Amerika (FBI), Christopher Wray, bagi menggambarkan individu yang memilih dan menggabungkan pelbagai kepercayaan serta naratif, berbanding berpegang kepada satu ideologi tertentu.
Para penyelidik kini menggunakan gabungan pelbagai ideologi pelampau yang ganas atau istilah (CoVE) bagi menggambarkan dengan lebih tepat perkembangan laluan radikalisasi yang semakin kompleks. Di Britain pula, pihak berkuasa menggunakan istilah ekstremisme "Mixed, Unstable and Unclear" (MUU).
Di Singapura, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengendalikan kes pertama melibatkan fahaman ekstremis "salad bar" pada September tahun lalu apabila seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sejak itu, beberapa kes serupa dikesan. Pada Jun lalu, seorang belia berusia 19 tahun didedahkan telah ditahan atas sebab yang sama. Awal minggu ini pula, ISD mengumumkan penahanan seorang lagi remaja lelaki berusia 14 tahun yang merancang melakukan serangan di sebuah sekolah.
IKLAN
MENGAPA IA LEBIH BERBAHAYA?
Profesor Pengajian Keselamatan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Rohan Gunaratna, berkata individu yang dipengaruhi CoVE meletakkan keganasan sebagai matlamat utama, manakala ideologi hanya dijadikan alasan untuk menyokong tindakan mereka.
"Bagi individu yang dipengaruhi CoVE, keganasan didahulukan, ideologi kemudian. Mereka akan menyesuaikan ideologi mengikut tindakan yang ingin dilakukan," katanya.
Ketua Program Keselamatan Global dan Strategi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Razwana Begum, berkata kemunculan fahaman ekstremis "salad bar" menunjukkan landskap ancaman kini telah berubah dengan ketara.
Menurut beliau, sebelum ini radikalisasi sering dikaitkan dengan satu gerakan ideologi tertentu.
IKLAN
Namun kini, individu mendapatkan pengaruh daripada pelbagai sumber termasuk teori konspirasi, sentimen anti-pemerintah, kebencian kaum atau agama, perkembangan geopolitik, komuniti online serta kekaguman terhadap pelaku serangan terdahulu.
Keadaan itu menjadikan usaha mengesan individu yang menjadi radikal lebih sukar kerana mereka tidak lagi memenuhi profil tradisional yang lazim digunakan oleh agensi keselamatan, pendidik mahupun ahli keluarga.
Dalam kes remaja berusia 14 tahun yang diumumkan minggu ini, ISD mendedahkan beliau dipengaruhi gabungan ideologi pro-ISIS, fahaman pelampau berhaluan kanan termasuk neo-Nazi dan anti-Semitik, kepercayaan ketuanan kulit putih, selain kandungan pembunuhan beramai-ramai daripada komuniti True Crime di internet.
Penyelidik Bersekutu RSIS, Kenneth Yeo, berkata sifat CoVE yang membolehkan seseorang "memilih dan menggabungkan" pelbagai ideologi menjadikan usaha menangani ancaman itu semakin sukar.
Sebelum ini, usaha menangkis fahaman ekstremis boleh difokuskan kepada satu sumber ideologi tertentu. Namun pendekatan itu tidak lagi sesuai kerana CoVE tidak memerlukan sesuatu ideologi yang konsisten atau tersusun.
IKLAN
Dekan RSIS, Kumar Ramakrishna, pula berkata CoVE tidak boleh ditangani hanya melalui pendekatan menangkis ideologi kerana ia tidak mempunyai struktur yang jelas untuk dihuraikan dan dipatahkan.
FENOMENA GLOBAL
Para pakar berkata kemunculan CoVE bukanlah sesuatu yang baharu di peringkat antarabangsa, tetapi masih dianggap fenomena yang agak baharu di Singapura.
Mereka turut menjelaskan bahawa perkembangan media sosial memainkan peranan besar dalam peningkatan kes seumpama itu.
Profesor Ramakrishna berkata hampir semua bentuk ideologi yang boleh diakses menerusi media sosial boleh digabungkan menjadi satu campuran fahaman, termasuk anti-Semitik, anti-LGBTQ, pro-ISIS dan ketuanan kulit putih.
Beliau turut menarik perhatian kepada kemunculan Nihilistic Violent Extremism (NVE) di Amerika Syarikat, iaitu individu yang melakukan keganasan tanpa pegangan ideologi yang jelas.
Golongan tersebut banyak dipengaruhi komuniti True Crime yang mengagungkan pelaku pembunuhan beramai-ramai.
Encik Yeo pula berkata selain naratif ekstremis yang jelas, teori konspirasi dan dunia fantasi turut memainkan peranan dalam beberapa kes di luar negara.
Menurut para pakar, algoritma media sosial dan kecerdasan buatan generatif semakin mempercepatkan proses seseorang terdedah kepada pelbagai naratif yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.
Profesor Madya Razwana berkata individu kini tidak lagi menjadi radikal melalui proses yang tersusun. Mereka bergerak pantas antara pelbagai komuniti online dan mengambil cebisan daripada pelbagai naratif.
Justeru, beliau berkata tumpuan perlu beralih daripada persoalan "ideologi apa yang diikuti seseorang" kepada "tingkah laku apa yang mula ditunjukkan seseorang."
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa perubahan seperti menjadi lebih pendiam atau menghabiskan lebih banyak masa secara online tidak semestinya menunjukkan seseorang sedang menjadi radikal.
Sebaliknya, perubahan tersebut perlu dinilai secara menyeluruh bersama petunjuk lain.
PEMAHANAN CETEK, TETAPI TETAP ANCAMAN
ISD sebelum ini menyatakan bahawa individu yang dipengaruhi CoVE lazimnya mempunyai pemahaman yang cetek terhadap pelbagai ideologi ekstremis dan sokongan mereka terhadap ideologi tersebut juga boleh berubah-ubah.
Namun begitu, para pakar menegaskan bahawa pemahaman yang cetek itu tidak bermakna ancaman yang dibawa adalah lebih kecil.
Sebaliknya, mereka berkata kecenderungan menggabungkan pelbagai fahaman ekstremis bagi menghalalkan keganasan menjadikan CoVE antara cabaran keselamatan yang semakin membimbangkan.
Fahaman ekstremis 'salad bar' cabaran baharu dalam usaha tangani radikalisasi di SG
SINGAPURA: Apabila ancaman fahaman ekstremis berkembang melangkaui sempadan ideologi tradisional dengan kemunculan ekstremisme "salad bar", usaha mengesan dan memulihkan individu yang menjadi radikal kini menjadi jauh lebih mencabar, menurut para pakar. Turut dikenali sebagai Composite Violent...