Kedaulatan undang-undang SG satu 'usaha berterusan' sedang generasi masa depan berdepan cabaran baharu: SM Lee
Menteri Ehwal dalam Negeri K Shanmugam (dua dari kiri), Menteri Kanan Lee Hsien Loong (tengah) Menteri undang-Undang Edwin Tong (kanan). (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
SINGAPURA: Kedaulatan undang-undang di Singapura merupakan satu "usaha berterusan" bagi generasi akan datang sedang mereka berdepan dengan cabaran baharu yang belum pernah dialami, seperti kecerdasan buatan (AI), kemudaratan online dan maklumat palsu, serta perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Selasa (28 Jul).
Meskipun negara ini dipelihara dengan baik menerusi undang-undang yang kukuh, institusi dan kepercayaan masyarakat yang kukuh, Encik Lee berkata kedaulatan undang-undang "tidak pernah menjadi satu projek yang benar-benar selesai" di tengah-tengah cabaran berkenaan.
IKLAN
"Kecerdasan buatan akan menimbulkan persoalan baharu mengenai kebertanggungjawaban, tanggungjawab dan keupayaan manusia untuk bertindak. Teknologi digital pula akan terus menguji konsep undang-undang sedia ada," kata Encik Lee, sambil menambah bahawa akan wujud cabaran dari segi dasar dan tadbir urus yang sukar berikutan perubahan demografi, perubahan iklim dan perkembangan geopolitik.
"Isu-isu sebegini tidak ada huraian yang mudah," kata beliau.
Atas dasar itu, Encik Lee berkata bab seterusnya dalam perkembangan undang-undang Singapura bukanlah sekadar mempertahankan apa yang diwarisi, tetapi membina atas asas berkenaan "untuk memastikan undang-undang kita kekal relevan, Perlembagaan kita kekal sesuai dengan tujuannya, institusi kita kekal dipercayai, dan masyarakat kita disemai dengan nilai serta norma yang membolehkan kedaulatan undang-undang dipertahankan."
Setiap generasi mesti menyesuaikan sistem undang-undang dengan realiti baharu dan mewariskannya kepada generasi seterusnya dalam keadaan yang "dikemas kini dan ditambah baik", tambah beliau.
Encik Lee berkata demikian di majlis pelancaran siri buku empat jilid yang merakamkan pembaharuan undang-undang Singapura sepanjang 25 tahun lalu, sempena sambutan SGLaw200 bagi memperingati ulang tahun ke-200 sistem undang-undang moden negara.
IKLAN
Majlis yang berlangsung di Taman di Pesisiran itu dihadiri kira-kira 200 tetamu, termasuk pengamal sektor perundangan, serta para penyunting dan penyumbang siri buku berkenaan.
Siri empat jilid itu merangkumi undang-undang jenayah, awam dan keluarga; keadilan sivil, penstrukturan semula dan kebankrapan, serta harta intelek; penyelesaian pertikaian antarabangsa; dan inovasi perundangan serta pandemik COVID-19.
Encik Lee menyampaikan ucaptama bersama Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Undang-Undang Edwin Tong.
Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa parlimen meluluskan hampir seribu rang undang-undang dalam tempoh 25 tahun lalu, sambil menambah bahawa kira-kira 20 peratus daripadanya dikendalikan oleh Kementerian Undang-Undang (MinLaw).
Mengenai pentingnya pembaharuan undang-undang, Encik Tong berkata ia bukanlah sekadar latihan akademik dalam bidang undang-undang. Sebaliknya, ia "telah memperkukuh institusi, menyokong perniagaan tempatan dan meningkatkan mutu kehidupan, sekali gus membentuk kompak sosial yang kita nikmati hari ini.
IKLAN
Ia juga mencerminkan prinsip Singapura bahawa pembaharuan undang-undang "tidak pernah dibuat hanya demi demi pembaharuan itu sendiri".
"Ia dilaksanakan untuk memperkukuh kepercayaan, menyokong kemajuan, dan memastikan sistem undang-undang kita terus memenuhi keperluan Singapura dan rakyatnya."
UNDANG-UNDANG MESTI SEJAJAR PERUBAHAN
Dalam ucapannya, Encik Lee menekankan bahawa cabaran yang dihadapi hari ini jauh berbeza berbanding cabaran yang pernah dihadapi generasi perintis Singapura.
Beliau menarik perhatian bahawa teknologi sudah mengubah cara manusia hidup dan berkomunikasi, kegiatan ekonomi menjadi lebih global dan kompleks, norma sosial serta jangkaan terhadap tadbir urus telah berubah, manakala ancaman fizikal dan digital baharu sudah muncul.
IKLAN
"Bagi mengekalkan kedaulatan undang-undang, sistem perundangan kita mesti kekal seiring dengan kesemua perubahan ini," kata beliau.
Pembaharuan undang-undang tidak pernah dianggap sebagai usaha sekali-sekala atau sekadar langkah sekali sahaja.
Sebaliknya, setiap generasi mesti meneliti semula sistem undang-undang yang diwarisi, menentukan apa yang kekal "sesuai dengan tujuan", mengemas kini atau memansuhkan undang-undang lapuk, dan merangka undang-undang baharu untuk menangani keadaan baharu.
Encik Lee berkata siri buku itu mencatatkan satu bab daripada perjalanan berterusan berkenaan di samping meneliti persoalan yang lebih luas tentang perkara yang perlu dicapai oleh sebuah sistem perundangan yang baik.
Dalam hal itu, undang-undang mesti memenuhi empat fungsi utama.
Ia mesti menangani kepentingan negara yang berterusan seperti memelihara keharmonian kaum dan agama, bertindak balas terhadap cabaran baharu seperti kemudaratan online, bertindak pantas semasa waktu krisis, serta menangani perubahan sosial seperti nilai dan norma yang berkembang.
Mengenai tindakan pantas sewaktu krisis, Encik Shanmugam berkata undang-undang pertama berkaitan COVID-19 dirangka dalam tempoh rekod sembilan hari sahaja.
"Kami memperkenalkan undang-undang baharu, tanpa sebarang petunjuk atau contoh terdahulu di mana-mana bahagian dunia, yang memberi kesan kepada ribuan orang, penyewa komersial di seluruh Singapura, pasangan yang membayar wang pendahuluan untuk majlis perkahwinan, majlis jamuan di hotel dan restoran, serta pihak lain yang membuat tempahan acara. Kesan ekonominya melibatkan puluhan bilion dolar," kata Encik Shanmugam.
Rangka kerja perundangan itu sudah dipinda sebanyak lapan kali mengikut perkembangan keadaan di peringkat akar umbi, kata Encik Shanmugam, sambil menambah bahawa kontrak bernilai lebih S$100 bilion terjejas.
Beliau berkata langkah-langkah itu memberi bantuan segera dan praktikal kepada puluhan ribu orang, termasuk perniagaan dan penyewa komersial dan pasangan yang majlis perkahwinan mereka terjejas akibat pandemik.
Mengenai bagaimana undang-undang harus bertindak balas terhadap perubahan sosial, Encik Lee memetik contoh bagaimana Seksyen 377A, iaitu undang-undang yang menjatuhkan hukuman jenayah terhadap hubungan seks sesama lelaki, sudah dimansuhkan pada tahun 2022.
Sejajar dengan pemansuhan itu, Perlembagaan turut dipinda pada waktu itu bagi mengesahkan kuasa parlimen untuk mentakrif, mengawal selia dan menyokong institusi perkahwinan.
Encik Lee berkata perbahasan Seksyen 377A menunjukkan pendekatan tersendiri Singapura terhadap pembaharuan undang-undang.
"Daripada memilih keputusan yang hanya menguntungkan satu pihak, kami mengambil kira kebimbangan pihak yang bertentangan. Daripada menganggap perbezaan pendapat sebagai sesuatu yang perlu ditekan, kami menanganinya secara membina.
"Daripada membiarkan isu yang memecahbelahkan itu melarat menjadi perpecahan sosial yang berpanjangan, kami berusaha untuk memelihara ruang bersama di mana rakyat Singapura yang mempunyai pegangan berbeza boleh terus hidup bersama secara harmoni dan saling hormat-menghormati."
Encik Lee seterusnya berkata bahawa Perlembagaan itu sendiri tidak boleh kekal tanpa sebarang perubahan selama-lamanya.Meskipun pindaan perlembagaan memerlukan sokongan lebih besar berbanding undang-undang lain, penyesuaian Perlembagaan mesti terus memenuhi keperluan Singapura yang berubah-ubah dengan menyediakan rangka kerja yang berkesan bagi tadbir urus, kebertanggungjawaban dan perlindungan hak-hak asas, kata beliau.
INSTITUSI KUKUH, KEPERCAYAAN AWAM AMAT PENTING
Selain perundangan, Encik Lee menegaskan bahawa kedaulatan undang-undang bergantung kepada institusi yang mampu melaksana dan menguatkuasakan undang-undang dengan berkesan.
Undang-undang yang baik sahaja tidak mencukupi, kata beliau.
Kedaulatan undang-undang hanya akan berkembang apabila ia disokong oleh sistem yang berfungsi dengan berkesan untuk melaksana dan menguatkuasakan undang-undang, mengekalkan ketenteraman awam serta membolehkan urusan perniagaan dijalankan secara lancar, kata beliau.
Pada akhirnya, masyarakat memainkan peranan yang amat kritikal, tambah Encik Lee.
Bagi memastikan undang-undang dan institusi dapat berfungsi secara berkesan, rakyat, pihak perniagaan, agensi awam dan pertubuhan masyarakat mesti menghayati nilai-nilai seperti kepercayaan, tanggungjawab, sikap bertimbang rasa dan saling hormat-menghormati, kata beliau.
"Kedaulatan undang-undang memerlukan kefahaman dan penerimaan bersama bahawa perbezaan pendapat yang serius harus diselesaikan melalui proses perundangan, bahawa institusi yang sah bertindak mengikut undang-undang harus dihormati dan dipatuhi, serta hak-hak mesti diimbangi dengan tanggungjawab."
Kedaulatan undang-undang SG satu 'usaha berterusan' sedang generasi masa depan berdepan cabaran baharu: SM Lee
SINGAPURA: Kedaulatan undang-undang di Singapura merupakan satu "usaha berterusan" bagi generasi akan datang sedang mereka berdepan dengan cabaran baharu yang belum pernah dialami, seperti kecerdasan buatan (AI), kemudaratan online dan maklumat palsu, serta perubahan iklim dan ketidaktentuan...