Di dalam ayat lain pula diterngkan bahawa sasaran-sasaran tau golongan yang menerima sedekah itu terbahagi kepada lima golongan iaitu:
(1) Kedua ibu bapa.
(2) Keluarga yang terdekat.
(3) Anak-anak yatim.
(4) Orang-orang miskin.
(5) Orang musafir yang terlantar.
Firman Allah Ta’ala:
يسئلونك ماذا ينفقون قل مآ أنفقتم من خير فللولدين والأقربين واليتمى والمسكين وابن السبيل وما تفعلوا من خير فإن الله به عليم
(سورة البقرة: 215)
Tafsirnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?” Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibi bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.” Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membakas dengan sebaik-baiknya).”
(Surah Al-Baqarah: 215)
Merujuk kepada ayat diatas, di antara tempat bersedekah atau sasaran pemberian ialah kedua-dua orang tua, keluarga sendiri yang terdekat seperti adik beradik, mertua, bapa saudara dan lain-lain, anak-anak yatim yang tidak berharta, orang miskin atau fakir, orang yang sedang dalam musafir, tetapi terhalang untuk sampai ke tempat tujuan kerana ketiadaan perbelanjaan, orang yang datang meminta bantuan kerana memerlukan perbelanjaan sara hidup dan hamba sahaya yang hendak menebus kebebasan daripada tuannya.
Selain itu termasuklah juga seperti melunaskan hutang, lebih-lebih lagi jika hutang itu bagi mashlahat orang ramai, juga seperti untuk meninggikan syi’ar Islam, penuntut dan guru-guru agama yang miskin dan semua bentuk progam fi sabilillah.
Sama halnya seperti kedudukan memillih masa bersedekah, maka memilih tempat dan si penerima sedekah juga hendaklah diperhatikan. Pihak yang lebih berhajat atau lebih memerlukan, dialah yang didahulukan. Begitu juga sesiapa yang lebih hampir dari segi kekeluargaan atau kejiranan, dialah yang diutamakan, sebagaimana perkara ini dijelaskan melalui ayat dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.