BTC USD 75,957.0 Gold USD 4,272.19
Time now: Jun 1, 12:00 AM

dloanman

CG Top Poster Club
gem
Messages
46,541
Joined
Apr 15, 2012
Messages
46,541
Reaction score
4,820
Points
266

Elak keracunan di musim perayaan​

Oleh Hazira Ahmad Zaidi - April 7, 2025 @ 9:46am
[email protected]

Foto hiasan
Foto hiasan

MUSIM Hari Raya Aidilfitri cukup sinonim dengan aktiviti kunjung-mengunjung selain hidangan pelbagai juadah makanan yang disediakan bagi meraikan tetamu.
Namun jika tidak berhati-hati, masalah keracunan makanan yang berpunca daripada makanan tercemar atau tidak dimasak dengan baik boleh mengakibatkan suasana raya yang meriah menjadi suram.

Justeru, konsep 'Lihat, Hidu dan Rasa' perlu diamalkan sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengelak terjadinya keracunan makanan.
Menurut Pegawai Dietetik, Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Nor Syarahani Jusoh, keracunan makanan semasa hari raya boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor utama, termasuk cara penyimpanan dan pengendalian makanan yang tidak betul.


Katanya, makanan yang tidak dimasak dengan sempurna atau makanan yang dimakan selepas dibiarkan lama pada suhu bilik menyebabkan percambahan bakteria jahat yang boleh mengakibatkan keracunan makanan jika dimakan.

"Hidangan seperti rendang, ketupat, lemang, dan lauk berkuah yang dimasak sehari sebelum raya boleh menjadi punca keracunan jika dibiarkan terlalu lama di luar tanpa penyejukan yang betul.

"Bakteria seperti Salmonella, E. coli, dan Clostridium perfringens boleh membiak dalam makanan yang tidak disimpan dengan betul," katanya.

Pegawai Dietetik, Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Nor Syarahani Jusoh.
Pegawai Dietetik, Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Nor Syarahani Jusoh.

Beliau berkata, selain itu, penyimpanan makanan yang sesuai juga penting untuk mengelakkan terjadinya keracunan makanan semasa hari raya.
"Makanan yang dimasak awal perlu disimpan di dalam peti sejuk atau dipanaskan semula dengan betul sebelum dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.

"Perlu diingat, makanan yang tidak dipanaskan semula dengan suhu yang mencukupi boleh mengandungi bakteria berbahaya sehingga memudaratkan kesihatan.
"Bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti gastrik, GERD, atau penyakit usus mungkin lebih sensitif terhadap makanan yang tercemar," katanya.

Katanya, sebelum memasak makanan untuk dihidangkan kepada tetamu, adalah sangat penting untuk memastikan bahan masakan yang digunakan segar dan tidak luput tarikh.
"Sebagai contohnya, santan, daging, ayam dan makanan laut yang disimpan terlalu lama atau tidak masak dengan sempurna boleh menyebabkan keracunan makanan.
"Selain itu, hidangan makanan di rumah terbuka yang dibiarkan berjam-jam di atas meja tanpa penutup dan pemanasan semula boleh menjadi tempat pembiakan bakteria," katanya.

Mengulas lanjut, Nor Syarahani berkata, selain basi atau berbau, cara lain untuk mengetahui sama ada makanan yang dihidangkan sudah tidak elok dimakan adalah dengan melihat perubahan warna pada makanan berkenaan.

"Makanan yang rosak sering menunjukkan perubahan warna yang sangat ketara. Contohnya, susu atau produk tenusu yang bertukar kekuningan atau berlendir menunjukkan ia sudah basi dan daging segar yang bertukar kehijauan atau kelabu menandakan pembiakan bakteria.

"Selain itu, ia juga dapat dilihat melalui tekstur makanan yang berubah seperti menjadi berlendir, melekit, atau terlalu lembik. Contohnya, ayam mentah yang berbau hanyir dan berlendir selain keadaan sayur yang sudah rosak akan menjadi lembik serta berlendir," katanya.

Katanya, pembentukan gas atau pembengkakan bekas makanan juga boleh dilihat bagi memastikan makanan berkenaan masih berkeadaan elok atau sebaliknya.
"Makanan dalam tin atau bungkusan yang menggelembung atau meletup apabila dibuka menandakan gas dari bakteria sudah terbentuk.

"Dalam hal ini, harus diingat, jangan makan makanan dari tin yang sudah kemek, bocor, atau berkarat kerana ia mungkin mengandungi bakteria Clostridium botulinum yang boleh menyebabkan botulisme (keracunan makanan yang serius)," katanya.

Katanya, pencemaran bakteria, virus, dan kulat adalah faktor utama yang menyebabkan makanan tercemar dan ia tidak boleh dimakan.
"Bakteria berbahaya seperti Salmonella, E. coli, dan Listeria boleh mencemari makanan jika tidak dikendalikan dengan betul.

"Selain itu, virus seperti Norovirus dan Hepatitis A boleh merebak melalui makanan yang disediakan dengan tangan yang tidak bersih, manakala kulat dan yis pula boleh menyebabkan makanan berkulat, berlendir serta berbau busuk," katanya.

Katanya, makanan yang dimasak perlu disimpan pada suhu yang bersesuaian kerana jika makanan dibiarkan terlalu lama pada suhu bilik (4 hingga 60 darjah Celsius) boleh menyebabkan pembiakan bakteria dengan cepat.

"Pada masa sama, makanan mentah bercampur dengan makanan yang sudah dimasak boleh menyebabkan pencemaran silang, dimana bakteria dari bahan mentah berpindah ke makanan yang sudah siap dimakan," katanya.

Nor Syarahani berkata, keracunan makanan boleh menunjukkan gejala ringan hingga serius, namun ia bergantung kepada individu dan jenis pencemaran makanan.
"Antara tanda-tanda bahaya yang memerlukan perhatian segera ialah cirit-birit berterusan melebihi tiga hari, muntah berulang sehingga tidak boleh minum air serta demam tinggi melebihi 38.5 darjah Celsius.

"Selain itu, tanda dehidrasi seperti mulut kering, kurang kencing, pening, keletihan teruk, darah dalam najis atau muntah dan kesukaran bernafas atau lemah otot. Jika mengalami tanda-tanda ini, rawatan perubatan segera diperlukan bagi mengelakkan komplikasi yang serius," katanya.

Beliau berkata, keracunan makanan boleh membawa implikasi besar jika dibiarkan tanpa rawatan segera, terutama bagi kanak-kanak, warga emas, wanita hamil, dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

"Terdapat beberapa kesan serius yang boleh berlaku, antaranya dehidrasi teruk yang menyebabkan cirit-birit dan muntah yang berterusan sehingga kehilangan banyak cecair dalam badan.

"Sekiranya tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kekurangan elektrolit, tekanan darah rendah, dan kegagalan organ, malah dalam kes yang lebih teruk, dehidrasi boleh membawa kepada kejutan (shock) yang mengancam nyawa," katanya.

Katanya, implikasi lain keracunan makanan turut menyebabkan jangkitan bakteria yang merebak ke darah (Sepsis) yang boleh membawa kepada kegagalan organ dan kematian jika tidak dirawat segera.
"Sesetengah bakteria seperti Salmonella dan Listeria boleh memasuki aliran darah, menyebabkan sepsis, iaitu jangkitan serius yang boleh merosakkan organ dalaman.

"Pada masa sama, keracunan makanan juga boleh mengakibatkan kerosakan organ dalaman disebabkan sesetengah toksin daripada bakteria boleh menyerang buah pinggang, hati, dan sistem saraf.

"Contohnya, bakteria E. coli jenis tertentu boleh menyebabkan Sindrom Uremik Hemolitik (HUS), yang boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis," katanya.

Tambahnya lagi, bagi golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak kecil, warga emas dan pesakit yang lemah sistem imun berisiko tinggi mengalami komplikasi serius jika mereka mengalami keracunan makanan.
"Wanita hamil yang mengalami keracunan makanan akibat Listeria boleh mengalami keguguran, kelahiran pramatang, atau kecacatan bayi," katanya.

Katanya, sesetengah jenis keracunan makanan, seperti botulisme (disebabkan oleh bakteria Clostridium botulinum) boleh menyerang sistem saraf menyebabkan kelumpuhan serta kesukaran bernafas.
"Jika tidak dirawat segera, botulisme boleh menyebabkan kegagalan pernafasan yang membawa maut.

"Dalam pada itu juga, sesetengah individu yang pernah mengalami keracunan makanan serius boleh mengalami kesan jangka panjang seperti Sindrom usus mudah teriritasi (Irritable Bowel Syndrome, IBS), Radang sendi (Reactive Arthritis) dan masalah pencernaan yang berpanjangan," katanya.

Katanya, secara amnya, makan pelbagai jenis makanan semasa hari raya tidak menyebabkan keracunan makanan secara langsung, tetapi ia boleh meningkatkan risiko gangguan pencernaan dan pencemaran silang jika makanan tidak dikendalikan dengan betul.

"Walaupun makan berlebihan semasa hari raya dan majlis rumah terbuka boleh menyebabkan ketidakselesaan perut, ia tidak sama dengan keracunan makanan yang berpunca daripada makanan yang rosak atau tercemar.

"Oleh itu, adalah penting untuk makan secara sederhana dan memastikan makanan yang diambil bersih serta selamat," katanya.

sumber - https://www.bharian.com.my/sihat/2025/04/1381128/elak-keracunan-di-musim-perayaan
 
Back
Top
Log in Register