kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Dzulkefly Tinjau Persediaan Mesyuarat AHMM Ke-17
Kredit: FB - Kementerian Kesihatan Malaysia
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini meninjau persediaan bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 yang akan berlangsung di sini, Khamis ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Dzulkefly mengambil kesempatan mengunjungi ruang pameran oleh pempamer daripada bahagian dan agensi KKM serta meninjau bilik mesyuarat utama AHMM.
“Beliau turut menyantuni petugas yang terlibat dalam persiapan dan pengurusan mesyuarat serta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas komitmen dan usaha yang diberikan bagi memastikan segala persiapan penganjuran AHMM ke-17 berjalan lancar,” menurut KKM menerusi hantaran di Facebook.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Dr Noraryana Hassan, dan Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa Dr Ainul Nadziha Mohd Hanafiah.
Malaysia mempengerusikan AHMM ke-17 di ibu negara selama lima hari bermula semalam yang menjadi platform utama bagi menteri kesihatan negara ASEAN membincangkan isu kesihatan serantau serta memperkukuh kerjasama dan penyelarasan dalam bidang kesihatan.
KKM dalam kenyataan semalam memaklumkan AHMM ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan melakar sejarah tersendiri selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah 22 tahun lepas iaitu pada 2004.
Membawa tema “Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems”, penganjuran kali ini turut menyaksikan Mesyuarat Sulung Menteri Kesihatan ASEAN-Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN-Jepun.