Rundingan damai Selatan Thailand akan jadi agenda nasional
BANGKOK - THAILAND. Kerajaan Thailand bersetuju dengan cadangan Majlis Syura Patani (MARA Patani) supaya menjadikan proses damai yang diadakan, sebagai Agenda Nasional.
Setiausaha jawatankuasa pemandu rundingan damai kerajaan Lt Jen Nakrob Bunbuathong berkata perkara itu adalah antara tiga cadangan yang dikemukakan MARA Patani, badan yang memayungi enam kumpulan militan, dalam rundingannya dengan kerajaan Thailand.
"Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-cha memberi kelulusan supaya istilah 'Agenda Nsional' dimasukkan dalam Dasar Pentadbiran dan Pembangunan Wilayah Sempadan Selatan yang baharu sebelum dibawa kepada Dewan Perundangan Nasional untuk disahkan.
"Ia akan dicatat secara jelas bahawa menyelesaikan masalah di wilayah selatan dan rundingan damai adalah Agenda Nasional," katanya pada majlis taklimat mengenai kemajuan yang dicapai dalam rundingan damai selatan Thailand di Kelab Pewarta Asing Thailand (FCCT) di sini, malam tadi.
MARA Patani telah dimaklumkan tentang keputusan Bangkok menerima cadangannya agar rundingan damai yang diadakan atas daya usaha Malaysia, diberi status Agenda Nasional.
MARA Patani mewakili enam kumpulan militan iaitu Barisan Revolusi Nasional (BRN), tiga kumpulan dalam Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Gerakan Mujahideen Islam Patani dan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP) dalam rundingannya dengan kerajaan Thailand.
Mengenai dua lagi cadangan yang dikemukakan MARA Patani, Nakrob berkata satu daripadanya ialah memberi kekebalan kepada wakil perkumpulan yang akan mengadakan rundingan itu daripada ditangkap kerajaan Thailand.
Satu lagi cadangan ialah bagi membolehkan wakil berkenaan diberi kebebasan untuk keluar masuk dari Thailand.
"Pada kami, kekebalan itu boleh diberi kepada mereka yang menjadi rakan sejawatan kami dalam rundingan berkenaan, tetapi kebebasan untuk bergerak menimbulkan masalah kerana jika kami membenarkannya, ia merupakan tindakan berat sebelah, yang memberi keistimewaan kepada mereka," katanya.
Beliau berkata kerajaan Thailand telah memaklumkan kepada MARA Patani bahawa ia boleh menggunakan kuasa eksekutif untuk membolehkan mereka memasuki negara ini, tetapi mereka perlu memaklumkannya kepada pegawai berkenaan.
"Mereka (MARA Patani) agak gembira, tetapi masih terdapat masalah kecil; ini belum diselesaikan lagi," kata Nakrob.
Cadangan ketiga, katanya ialah meminta kerajaan Thailand mengiktiraf secara rasmi MARA Patani sebagai rakan sejawatannya dalam rundingan damai, tetapi perkara itui belum dimuktamadkan.
Menurut Nakrob kerajaan Thailand tidak dapat menerima MARA Patani sebagai nama rasmi bagi badan induk itu kerana beberapa sebab termasuk pengaruh besar BRN yang wujud di dalamnya.
"Kami masih memanggil mereka dengan nama Parti B," katanya sambil menjelaskan bahawa sejak rundingan damai antara kedua-dua pihak bemula pada 1 Disember 2014 melalui daya usaha Malaysia, mereka telah mengadakan empat rundingan dan dua mesyuarat teknikal untuk menyelesaikan perbezaan pendapat.
Beliau berkata, rundingan damai itu masih di peringkat membina keyakinan, yang disifatkannya sebagai peringkat "paling rumit" kerana ia melibatkan usaha mewujudkan sikap saling mempercayai.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan proses damai selatan Filipina mengambil masa hampir 30 tahun untuk sampai ke peringkatnya sekarang, beliau berharap rundingan damai selatan Thailand dapat dimuktamadkan dalam masa tiga tahun lagi.
"Jika kami berjaya melakukannya dalam masa tiga tahun lagi, kami boleh mencipta rekod dunia Guiness dan orang akan membuat kajian lapangan (mengenai usaha kami ini)," katanya.
Menurutnya beliau lebih yakin mengenai rundingan kali ini kerana mereka mempunyai pelan bersepadu untuk mencapai perdamaian.
Nakrob juga mengumumkan bahawa kedua-dua pihak dalam rundingan itu bersetuju dengan 95 peratus daripada terma rujukan yang ditetapkan dan yakin lima peratus lagi akan dapat dimuktamadkan tidak lama lagi. - Bernama