BTC USD 85,498.7 Gold USD 4,177.97
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dunia Islam

'Kegilaan perang, gula RM832, 1kg; beras RM550, 1kg'

MADAYA - SYRIA. Peperangan yang berlaku di bumi Syria sejak lima tahun lalu, telah membawa satu bencana kemanusiaan kepada penduduknya, mana tidaknya nasib masyarakat Syria kini boleh diibaratkan sebagai sudah jatuh ditimpa tangga.

Selain kediaman mereka musnah, peperangan itu juga mengakibatkan bangunan perniagaan serta pelbagai infrastruktur musnah di samping 177 buah hospital yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat musnah sama sekali sepanjang peperangan di Syria meletus.

Namun, apa yang paling menakutkan di Syria ialah hampir majoriti rakyat Syria terutamanya yang menetap di Madaya bakal mengalami krisis kebuluran.

Menerusi laman web Global Voices melaporkan sekitar 40,000 orang penduduk di situ bukan sahaja terdesak sehingga terpaksa memakan daun, malah turut menjadikan serangga dan kucing sebagai makanan untuk meneruskan kehidupan.

Malah akibat daripada kegilaan perang ini telah menyebabkan harga makanan di bandar itu dilaporkan seperti tidak masuk akal apabila harga asas seperti tepung mencecah RM500 satu kilogram, gula RM832 satu kilogram, gandum RM1,095 sekilogram, dan susu bayi dijual pada RM1,315 bagi setiap 900 gram.

Menurut Pertubuhan Palang Merah di Syria, Pawel Krzysiek, dek kerana 'kegilaan' itu rakyat Syria bakal menerima nasib seperti rakyat di beberapa buah negara benua Afrika.

“Minggu lalu, seorang kanak-kanak 10 tahun meninggal dunia kerana kekurangan nutrisi. Sekurang-kurangnya 300 orang kanak-kanak terpaksa mengharungi situasi perit akibat perbuatan kejam ini,” katanya.

Kumpulan pembangkang, Parti Campuran Kebangsaan Syria memberi amaran situasi buruk itu mungkin menjadi tragedi malapetaka kemanusiaan terburuk di Madaya.

Apapun rakyat Syria kini hanya menanti cahaya agar muncul di hujung terowong setelah lima tahun perang meletus.

Isnin lalu, rakyat bumi Anbiya ini mungkin dapat menarik sedikit nafas lega apabila satu rundingan Syria telah diadakan di Geneva, Switzerland.

Mudah-mudahan rakyat Syria kembali hidup sepertimana pada zaman-zaman 'indah' mereka seperti sebelum peperangan meletus.

image3_zpsz3trutpw.jpg
 
19 orang maut kebakaran hotel di Iraq

ARBIL – IRAQ. Sekurang-kurangnya 19 orang maut dalam kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah hotel berhampiran Wilayah Kurdish, lapor BBC.

Gabenor Wilayah Arbil, Nawzad Hadi berkata, kejadian itu mengorbankan 14 orang mangsa warga Filipina, tiga rakyat Iraq makala seorang lagi merupakan warga Palestin.

“ Identiti seorang lagi mangsa masih belum dikenal pasti,”katanya.

Menurut beliau, hasil maklumat awal yang diperolehi menunjukkan kebakaran itu berpunca daripada masalah elektrikal di bilik sauna di Hotel Capitol.

Menerusi gambar yang disebarkan ke dalam media sosial menunjukkan asap kelihatan dari tingkap aras atas bangunan hotel terbabit.

Dalam kejadian itu, difahamkan kira-kira berpuluh orang awam yang lain turut mengalami kecederaan.

image4_zpsbjw7roqe.jpg
 
Tiga rakyat Indonesia terkorban dalam gempa bumi Taiwan

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga rakyat Indonesia terkorban dan 55 lagi mengalami kecederaan dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.4 magnitud yang menggegarkan selatan Taiwan pada Sabtu.

Menurut portal berita Antaranews, berdasarkan maklumat dari Pejabat Dagangan dan Ekonomi Indonesia (KDEI) sedang menuju ke lokasi kejadian.

Difahamkan, KDEI akan ke Tainan di mana terdapat kira-kira 16,000 warga Indonesia yang bekerja di situ, untuk mencatatkan jumlah rakyat Indonesia yang terkorban atau tercedera akibat nahas.

Selain kawasan tersebut, Kaohsiung and Pingtung juga teruk terkesan oleh gempa. Kedua-dua daerah itu juga ramai dihuni pekerja warga Indonesia.

Setakat ini, tujuh orang telah disahkan terkorban dalam kejadian gempa bumi di selatan Taiwan, hingga menyebabkan beberapa buah bangunan runtuh.

Laporan menyatakan terdapat lebih 100 orang terperangkap dalam runtuhan bangunan dalam bencana tersebut yang berlaku pada awal pagi ini.

51454756468_TaiwanGempaBumi_zpsbe44b23e.jpg
 
Arab Saudi tukar hukuman mati seniman Palestin kepada penjara lapan tahun

RIYADH: Mahkamah Arab Saudi telah mengubah hukuman mati yang dikenakan ke atas seorang seniman keturunan Palestin menjadi hukuman lapan tahun penjara, atas kesalahan menghina Islam.

Penyair dan seniman kelahiran Arab Saudi itu, Ashraf Fayadh, juga dihukum dengan 800 kali sebatan dengan setiap sesi hukuman dikenakan 50 kali sebatan selain diminta mengisytiharkan taubatnya di media, ujar peguamnya Abdulrahman al-Lahim.

Pada November lalu, dia dijatuhkan hukuman mati di sebuah mahkamah di bandar Abha, kerana menurut hakim, puisinya mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Pertuduhan yang dikenakan ke atas Fayadh termasuklah menghina Nabi Muhammad, mempersenda al-Quran dan menyebarkan fahaman Atheisme. Seorang ulama juga mendakwa Fayadh mempersenda Tuhan melalui karya puisinya.

Sewaktu ditahan, pihak polis juga menemui gambar Fayadh bersama wanita dalam simpanan telefon bimbitnya dan perkara itu menjadi asas dalam pendakwaan salah laku moralnya.

Fayadh bagaimanapun menafikan kerana menurutnya, semua gambar wanita itu adalah rakan kumpulan seni yang dikenalinya di tempat kerja, dan gambar tidak diambil dengan cara yang melampau.

Al-Lahim berkata pihak pembelaan merancang untuk merayu keputusan mahkamah, dengan mengatakan bahawa Fayadh tidak bersalah dan perlu dibebaskan.
Selain ahli keluarga, gerakan untuk pembebasan Fayadh juga disokong kumpulan seniman Arab Saudi yang menyatakan bahawa kata-kata serta karya seninya sering disalah erti.

Undang-undang Arab Saudi amat tegas termasuk mengenakan hukuman mati untuk mereka yang melakukan kesalahan seperti membunuh, menyeludup dadah, merompak dengan senjata, rogol dan murtad.

61454568377_AshrafFayadh_zpsbh1aodel.jpg
 
Ibu Presiden Syria meninggal dunia

DAMSYIK: Ibu kepada Presiden Bashar al-Assad meninggal dunia semalam pada usia 86 tahun di hospital di ibu negara Syria, lapor agensi berita SANA. Ia tidak memberikan punca kematian namun menurut sumber yang rapat dengan Anissa Makhlouf al-Assad, bekas Wanita Pertama itu sudah lama sakit dan kerap berulang alik ke Jerman untuk mendapatkan rawatan sebelum 2012.

Pada tahun berkenaan, Kesatuan Eropah (EU) memasukkan nama Annisa dalam senarai puluhan tokoh Syria, termasuk Assad dan anggota keluarga lain, yang menyaksikan harta beliau dibekukan dan dilarang ke negara anggota blok itu. Sepanjang perang selama hampir lima tahun di Syria malah ketika suaminya, Hafez al-Assad memerintah negara itu dengan cara kuku besi selama 30 tahun,

Annisa tidak menonjolkan diri dan jarang disebut dalam media. Dilahir di Latakia pada 1930, Annisa berkahwin dengan Hafez pada 1957 dan mempunyai lima anak. Dua daripada mereka meninggal dunia iaitu Basel yang dididik untuk menjadi presiden dan Majd. Tiga lagi anak mereka ialah Bashar, Maher dan Bushra. - AFP

835788e0e38443438a5d69521c083622_18.transformed_zpsnhgiiual.jpg
 
Amaran Iran jika Saudi hantar tentera ke Syria

RIYADH: Ketua unit elit Pengawal Revolusi Iran memberi amaran bahawa Arab Saudi menempah maut sekiranya bertindak menghantar pasukan tentera daratnya ke Syria. Mejar Jeneral Ali Jafari berkata demikian selepas Riyadh menyatakan kemungkinan menghantar tentera darat ke negara bergolak itu. Musuh tradisi Iran itu berkata ia boleh menyumbang secara positif jika tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat yang memerangi militan IS di Syria memutuskan melancarkan operasi darat. Jafari berkata, tindakan itu menjadi misi bunuh diri kepada Arab Saudi.

"Saya rasa mereka tidak berani. Jika berbuat demikian, mereka memberi tamparan hebat kepada diri sendiri. "Mereka menyangka dengan sokongan dan bantuan kewangan mereka boleh menang di Syria tetapi kejayaan terbaru kumpulan penentang menunjukkan sebaliknya," Jafari dipetik sebagai berkata oleh agensi berita FARS. Iran, sekutu terkuat Presiden Bashar al-Assad di rantau itu, secara terbuka memberi bantuan kewangan dan tentera kepada kerajaan di Damsyik tetapi menafikan menghantar tentera darat ke Syria. Menteri Luar Syria, Walid al-Moallem, semalam memberi amaran tentera darat Arab Saudi dan negara lain yang memasuki Syria akan 'pulang dalam keranda kayu'. - AGENSI

Mejar_Jeneral_Ali_Jafari.transformed_zpsvlielcq8.jpg
 
Masjid seluruh Britain buka pintu

LONDON - ENGLAND. Majlis Islam Britain (MCB), semalam menganjurkan hari terbuka yang memberi peluang kepada orang bukan Islam untuk berkunjung ke lebih 80 masjid di seluruh Britain di tengah-tengah sentimen Islamophobia yang sedang meningkat di Barat.

Difahamkan, hari terbuka itu bertujuan untuk memberi pengenalan mengenai Islam dan penerangan terhadap aktiviti kemasyarakatan yang ditawarkan kepada penduduk tempatan.

Tahun lalu, ratusan pengunjung turut menyertai acara sama yang diadakan di 20 masjid di Britain.

Dalam perkembangan lain, ribuan penyokong gerakan anti-Islam, Kumpulan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (Pegida) berhimpun di beberapa bandar di seluruh Eropah termasuk bandar Dresden di timur Jerman sebagai membantah kebanjiran pelarian di rantau itu.

Di Calais, Perancis satu pertempuran tercetus antara kumpulan penunjuk perasaan antipelarian dan pihak berkuasa hingga memaksa polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.

Sementara itu, ratusan penunjuk perasaan yang mengalu-alukan kemasukan pelarian turut berhimpun di beberapa bandar di Eropah dan melaungkan slogan mengutuk perjuangan gerakan berhaluan kanan tersebut. - Press TV


1_zpsjr3ygm1s.jpg
 
UAE setuju AS ketuai tentera darat di Syria

ABU DHABI: Kempen antarabangsa menentang militan IS di Syria harus membabitkan campur tangan tentera darat diketuai Amerika Syarikat. Pandangan itu diutarakan oleh Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Anwar Gargash, dalam satu kenyataan, hari ini. "Kedudukan kita sejak dulu adalah kempen sebenar menentang Daesh (IS). Ia harus membabitkan elemen di darat.

"Kita tidak bercakap mengenai ribuan tentera tetapi mengenai tentera di darat, yang akan memimpin kita. Sudah pasti kepemimpinan AS perlu dalam usaha ini," katanya. Khamis lalu, Arab Saudi berkata, ia sedia menyertai mana-mana operasi darat diketuai sekutu AS menentang IS di Syria. Cadangan Riyadh itu diterima AS tetapi dipersenda oleh rejim Syria pimpinan Presiden Presiden Bashar al-Assad dan sekutu utamanya, Iran. - AFP


07anwar.transformed_zpsusmid6fa.jpg
 
Turki tidak akan biarkan pelarian Syria mati

ONCUPINAR: Kerajaan Turki menegaskan ia tidak akan mengabaikan ribuan pelarian Syria yang terkandas di sempadan mereka selepas melarikan diri daripada serangan tentera regim. "Turki kini sudah mencapai had kapasiti untuk menyerap pelarian," kata Timbalan Perdana Menteri, Numan Kurtulmus kepada televisyen CNN Turk. "Tapi akhirnya, mereka ini tiada tempat mahu dituju. Sama ada mereka akan mati akibat letupan bom atau kami membuka pintu sempadan kami." "Kami tidak berada pada satu kedudukan untuk memberitahu mereka jangan datang. Jika kami berbuat demikian bererti kami akan membiarkan mereka menempah maut."

Lintasan sempadan di Oncupinar terus ditutup semalam kepada ribuan pelarian Syria yang berkumpul di sini sejak tiga hari lalu. Mereka menunggu dengan harapan pintu pagar akan dibuka ketika trak bantuan Turki menghantar makanan di dalam Syria. Terdahulu, Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turki bersedia membuka sempadannya jika perlu. - AFP

refu.transformed_zpsty2c34gh.jpg
 
Wanita Bosnia bantah larangan guna hijab

SARAJEVO: Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan, kebanyakan wanita di pinggir Bandaraya Sarajevo bagi membantah terhadap larangan penggunaan hijab di institusi kehakiman dalam negara majoriti penduduknya Islam. Salah seorang penganjur bantahan, Samira Zunic Velagic berkata, mereka berkumpul untuk membantah tindakan yang disifatkan prejudis, diskriminasi dan peminggiran. "Larangan memakai hijab di institusi kehakiman adalah serangan yang serius terhadap maruah Islam, personaliti dan identiti, ia seolah-olah larangan bertujuan untuk menafikan hak mereka untuk bekerja," katanya. Bantahan itu tercetus susulan keputusan majlis kehakiman tinggi Bosnia, sebuah badan yang ditugaskan untuk menyelia fungsi badan kehakiman, baru-baru ini mengharamkan 'lambang agama' dalam institusi kehakiman.

Keputusan yang mendapat kutukan keras daripada pemimpin Islam Bosnia, ketua agama dan pemimpin persatuan Islam setempat kerana ia membabitkan hakim dan kakitangan lain dalam sektor itu yang menggunakan hijab. Penunjuk perasaan berarak untuk tempoh sejam melalui kawasan pusat bandar membawa sepanduk yang bertulis 'hijab adalah pilihan saya setiap hari' atau 'hijab adalah hak saya' dan 'hijab adalah cara hidup saya'. - AFP

55da5bf9-7cda-4782-9588-074d450fa95e.transformed_zpsm3et4lhi.jpg
 
Back
Top
Log in Register