BTC USD 85,417.5 Gold USD 4,140.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dunia Islam

Universiti di Pakistan sasaran baharu militan

PESHAWAR - PAKISTAN. Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam serangan bersenjata di Universiti Bacha Khan, Charsadda di Pakistan semalam.

Menurut laporan Hindustan Times, dua letupan besar dilapor berlaku dan serangan dipercayai dilakukan oleh lima anggota militan bersenjata.

“Jumlah kematian dalam serangan pengganas meningkat kepada 25 orang,” kata Ketua Polis Wilayah, Saeed Wazir.

Menurutnya, operasi tamat dan pasukan keselamatan sedang memantau kawasan berkenaan dengan kebanyakan pelajar ditembak mati di sebuah asrama pelajar lelaki di kampus itu.

Sementara itu, jurucakap tentera Mejar Jeneral Asim Bajwa berkata, di Twitter bahawa kesemua penyerang ditembak pihak berkuasa.

“Dua daripada lima pengganas yang melepaskan tembakan dari dalam blok dikepung oleh pasukan tentera darat ditembak dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Saksi berkata, serangan kira-kira jam 8 pagi (waktu tempatan), selepas kumpulan lelaki bersenjata itu menyelinap masuk dari pintu selatan dan melepaskan tembakan ke arah pelajar dan pensyarah di kelas dan asrama.

Rangkaian pejuang Taliban Pakistan, Tehreek-e-Taliban (TTP) yang menembak mati 134 pelajar sekolah di Peshawar pada Disember 2014, mengaku mendalangi serangan tersebut menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook, semalam.

Serangan ke atas Universiti Bacha Khan, terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Peshawar, merupakan serangan terbaru ke atas rantau militan itu.


ffff_zpsjcs055it.jpg
 
Perbicaraan kes kren tumbang bermula

MAKKAH - ARAB SAUDI. Biro Siasatan dan Pendakwaan Awam (BIPP) di Riyadh membuka kembali fail kes tragedi kren tumbang di Masjidil Haram di pejabatnya di Makkah bagi menyelesaikan siasatan dan menyediakan pertuduhan kepada beberapa orang.

Menurut laporan media tempatan Arab News memetik sumber sebagai berkata, dakwaan mungkin melibatkan pembunuhan, kecuaian dan melanggar peraturan keselamatan terhadap jurutera, pengurus projek serta pegawai lain.

"Kes mahkamah akan memberi tumpuan kepada bagaimana kren didirikan di masjid itu, dengan mengambil kira bilangan besar orang ramai yang berada di dalam kawasan tersebut," menurut sumber.

Pemerintah Arab Saudi Raja Salman mengarahkan BIPP untuk menyiasat insiden berkenaan termasuk menyoal siasat eksekutif dan kakitangan syarikat kontraktor, Bin Laden Group.

September tahun lalu, seramai 107 jemaah maut dan 238 yang lain cedera dalam kejadian kren tumbang dipercayai akibat ribut.


imagess_zpslushdnoq.jpg
 
Singapura tahan 27 warga Bangladesh radikal

SINGAPURA - Kerajaan Singapura menahan 27 warga Bangladesh di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini.

Laporan Straits Times mengatakan siasatan membuktikan mereka yang ditahan menyokong idealogi kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan militan IS.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, sesetengah daripada mereka juga didakwa mahu menyertai serangan pengganas di luar negara, walaupun tidak merancang melakukan serangan di Singapura.

image_zpsk40ihldt.jpg
 
Prayuth bimbang konflik agama

BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha bimbang wujudnya konflik agama di wilayah Pattani selepas timbul cadangan membina taman Buddha di wilayah tersebut.

Prayuth semalam, tampil menjelaskan bahawa cadangan pembinaan taman itu yang lengkap patung gergasi Buddha di tengah-tengah Pattani, di mana majoriti penduduknya beragama Islam belum diluluskan pihak berkuasa tempatan wilayah terbabit.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu berikutan bantahan pemimpin agama Islam dan masyarakat tempatan lapor Bangkok Post.

"Adakah taman itu sudah disiapkan dan siapa membinanya? Adakah mereka (pengurus projek) telah mendapat kebenaran?

"Gabenor wilayah sehingga kini masih belum mendapatkan kelulusan Kementerian Dalam Negeri.

"Saya akan mengelakkan persengketaan antara dua agama,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.

Malah beliau sangsi sama ada Kementerian Dalam Negeri mengetahui kewujudan projek pembinaan taman Buddha yang yang turut dikenali sebagai Taman Monthon itu.

Pemimpin agama dan masyarakat tempatan bimbang pembinaan taman Buddha di wilayah yang 80 peratus penduduknya beragama Islam akan memburukkan lagi konflik berdarah di wilayah selatan Thailand.

Mengikut perancangan pihak berkuasa tempatan, taman Buddha itu dijangka akan dibina di satu kawasan dinamakan Pak Ao di daerah Muang, Pattani.


imageaa_zpscncbgnnj.jpg


Prayuth- perdana menteri Thailand
 
Jenazah belum dituntut keluarga

JAKARTA - INDONESIA. Jenazah seorang daripada empat militan yang melancarkan serangan bersenjata dan pengeboman di tengah ibu kota Jakarta pada Khamis lalu, dilaporkan masih belum dituntut keluarganya.

Kesemua jenazah pengganas terbabit termasuk tiga orang awam yang terbunuh dalam kejadian itu ditempatkan di bilik mayat Hospital Soekanto.

Menurut polis, pengganas yang maut dalam serangan itu ialah Dian Juni Kurniadi, Muhamad Ali, Afif alias Sunakim dan Ahmad Muhazan Saron lapor Detik.com.

"Hanya waris kepada Ahmad Muhazan Saron masih belum tampil. Kami memerlukan kerjasama keluarga si mati untuk menghantar dokumen berkaitan dan melakukan proses pengecaman supaya kami boleh mengesahkan secara rasmi kematiannya," kata Pengarah Eksekutif Unit Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Ibu Pejabat Polis Indonesia, Pesuruhjaya Kanan Anton Castilani.

Menurut Anton, pihaknya bagaimanapun belum boleh menyerahkan jenazah militan terbabit kepada keluarga masing-masing kerana menunggu siasatan lengkap daripada polis antikeganasan Indonesia atau Densus 88.

Media tempatan sebelum ini melaporkan penduduk di Kedungwungu, Jawa Barat enggan membenarkan jenazah Ahmad Muhazan dikebumikan di kampung mereka.


imagewww_zpsfofts2td.jpg
 
NGO Islam derma 30,000 botol air kepada warga Michigan

MICHIGAN - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah NGO Islam mendermakan 30,000 botol air minuman kepada penduduk Flint di Michigan yang kini dilanda krisis air tercemar.

Menurut laporan Washington Post, NGO Who is Hussain menyampaikan bantuan tersebut Ahad lepas melalui Persatuan Bulat Sabit Merah yang kini ditempatkan di Flint.

Flint terletak berhampiran bandar Dearborn, bandar yang didiami oleh bilangan penduduk beragama Islam paling tinggi di Amerika Syarikat (AS).

Wakil NGO Who is Hussain, Dr. Aziza Askari berkata, beliau tahu penduduk Flint amat memerlukan air pada waktu kecemasan sekarang.

"Kami hanya buat apa yang kami perlu buat. Kami pergi ke sekolah, rumah-rumah jiran, masjid dan kami meminta derma dalam bentuk air atau duit untuk diberikan kepada penduduk Flint," kata Dr. Aziza.

Presiden AS, Barack Obama sebelum ini mengumumkan darurat di Flint akibat pencemaran air, menyebabkan penduduk di bandar tersebut kekurangan air untuk memasak, membasuh pakaian dan mandi.

ww_zpsxofu5zol.jpg
 
Konvoi baharu hantar bantuan ke Syria

DAMSYIK – Satu konvoi bantuan membuat penghantaran baharu de*ngan membawa bahan api, makanan dan ubat ke empat buah bandar yang dikepung di Syria, kata beberapa pegawai bantuan kemanusiaan semalam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) berkata dalam satu kenyataan, bantuan secara serentak itu tiba di bandar-bandar berkenaan kelmarin.

Mereka berkata, bantuan bahan api tiba di bandar Fuaa dan Kafraya yang dikawal oleh pemberontak, manakala Madaya dikepung tentera kerajaan Sy*ria.

Malah, bantuan makanan dan perubatan itu turut disalurkan ke bandar Zabadani yang dikuasai pemberontak tetapi tidak tersenarai untuk menerima bantuan pada bulan ini.

Menurut kenyataan tersebut, sebuah delegasi disertai beberapa pegawai bantuan tidak dapat memasuki bandar Fuaa dan Kafraya bagi menjalankan penilaian mengenai bantuan kemanusiaan yang diperlukan di kawasan berkenaan.

“Pasukan ini terpaksa menangguhkan misi mereka di bandar Fuaa dan Kafraya selepas menerima laporan daripada kumpulan bersenjata yang menyatakan, mereka memerlukan banyak masa untuk menyelesaikan isu pengurusan keselamatan di kawasan mereka kawal,” kata kenya*taan itu.

Kempat-empat bandar itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai pada tahun lalu untuk menamatkan peperangan dan membenarkan bantuan kemanusiaan.

Konvoi kedua yang membawa makanan dan ubat-ubatan telah memasuki bandar Madaya, Fuaa dan Kafraya pada 14 Januari lalu tetapi PBB, ICRC dan SARC diminta untuk terus menyalurkan bantuan kepada keempat-empat bandar yang terkepung itu. – AFP


houla-massacre-syria-1_zpsjz9e3fad.jpg
 
Israel bimbang diserang IS

TEL AVIV – Kekalahan kumpulan Islamic State (IS) di Syria menyebabkan militan itu atau sekutunya beralih arah dengan menyerang Israel dan Jordan, kata ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Gadi Eizenkot kelmarin.

IS sebelum ini meningkatkan serangan di luar Syria dan mengeluarkan amaran bahawa Israel adalah antara negara yang menjadi sasarannya.

Eizenkot berkata, campur tangan Rusia bagi membantu rejim Presiden Bashar Al-Assad pada tahun lalu berjaya mengekang kemaraan IS kecuali di kawasan selatan Syria yang bersempadan dengan Israel dan Jordan.

“Kejayaan operasi memerangi IS akan meningkatkan kemungkinan kumpulan itu menyerang kami dan Jordan,” katanya dalam satu persidangan anjuran Institut Kajian Keselamatan Antarabangsa Universiti Tel Aviv.

IS sendiri tidak memiliki kekuatan di kawasan sempadan itu tetapi kumpulan pejuang Islam di rantau tersebut, Briged Syahid Yarmouk merupakan sekutu IS

Kebimbangan Israel berasas selepas rakaman suara dipercayai ketua IS, Abu Bakar Al-Baghdadi yang disiarkan di media sosial tiga minggu lalu memberi amaran, Israel akan menjadi sasaran serangannya.

Jordan yang menandatangani perjanjian damai dengan rejim Zionis tidak banyak terjejas akibat konflik di Asia Barat yang berlanjutan sejak lima tahun lalu. – Reuters

du_01.1_zpsph4jioo7.jpg


Eizenkot
 
Tajikistan cukur janggut lelaki untuk kekang kumpulan radikal

TAJIKISTAN: Polis di sini mencukur janggut hampir 13,000 lelaki dan menutup lebih 160 kedai menjual pakaian tradisional Islam tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha membanteras pengaruh luar.

Ketua polis wilayah barat daya Khathlon, Bahrom Sharifzoda, berkata dalam sidang media semalam, pihak berkuasa percaya lebih 1,700 wanita dan kanak-kanak perempuan berhenti memakai tudung di negara majoriti Islam di Asia Tengah itu. Mengikut anggaran tidak rasmi, ada lebih 2,000 warga Tajikistan yang berjuang di Syria.

Minggu lalu, parlimen negara itu mengundi untuk mengharamkan nama yang kedengaran seperti bahasa Arab dan juga perkahwinan antara sepupu. Radio Liberty berkata, undang-undang itu dijangka diluluskan Presiden Emomali Rahmon, yang mengambil langkah untuk memperkenalkan sekularisme dan tidak menggalakkan kepercayaan serta amalan yang dilihatnya sebagai ancaman asing kepada kestabilan Tajikistan. Pada September, Mahkamah Agung Tajikistan mengharamkan satu-satunya parti politik Islam di negara itu,

Parti Pembaharuan Islam Tajikistan, selepas keganasan berterusan dan kerajaan menyalahkan pihak Islam radikal. Rahmon memerintah Tajikistan sejak tahun 1994 dan tempohnya dijangka berakhir pada 2020. - Agensi

cukur.transformed_zpsyvs1njpn.jpg
 
Ramai tentera Syria terbunuh

Beirut: Ramai askar kerajaan Syria terbunuh sepanjang pertempuran sengit selama tiga hari dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) di timur negara itu, kata Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia.

Militan IS dilaporkan menyerang kawasan berkenaan yang yang dikuasai tentera kerajaan.

Pegawai Syria tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan perkara itu.

Kumpulan pemantau itu berkata, seramai 120 tentera kerajaan dan 70 militan IS mati dalam terbunuh dalam pertempuran yang meletus sejak Sabtu lalu.

Agensi berita rasmi SANA sebelum ini melaporkan, tentera kerajaan berjaya menawan semula kawasan penempatan di Begayliya berhampiran bandar Deir al Zor, dan membunuh sejumlah militan. - Reuters

20hmsyria.transformed_0_zps10kofld7.jpg


FSA tembak is di Aleppo, Syria
 
Back
Top
Log in Register