kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Dodol Satukan Masyarakat Berbilang Kaum Di Taman Bemban Utama
Tradisi mengacau dodol yang sebati dalam kehidupan Tan Siew Tong kini turut menjadi wadah mempererat hubungan bersama jiran pelbagai kaum di Kampung Kelubi hingga ke Taman Bemban Utama di sini.
Tan, 75, mengacau dodol bersama rakan-rakannya di Pos Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bemban Utama, dengan kemahiran menyediakan kuih tradisional masyarakat Melayu itu dipelajari sejak remaja.
Wanita warga emas yang menyertai KRT sebagai ahli Jiran Wanita sejak 2009 itu berkata beliau akan membantu mengacau dodol bersama rakan-rakannya sehingga siap dimasak, yang selalunya mengambil masa sehingga lapan jam.
“Saya juga akan membantu mereka membungkus dodol yang ditempah pelanggan dan dijual dengan harga RM10 bagi bekas besar dan RM3 bagi bekas kecil.
“Saya gemar menyertai aktiviti mengacau dodol ini kerana ketika tinggal di Kampung Kelubi semasa remaja, bangsal di rumah saya sering dijadikan tempat bagi masyarakat Melayu bergotong-royong membuat kuih tradisional ini, terutama ketika menyambut Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pengalaman bergaul dengan masyarakat Melayu sejak kecil menyebabkannya tidak berasa kekok untuk bersama-sama masyarakat pelbagai kaum dalam aktiviti setempat seperti gotong-royong dan kenduri.
“Malah bagi pembuatan dodol ini, masyarakat India turut bersama-sama menjayakan aktiviti ini jika mereka berkelapangan, sekali gus menunjukkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang tinggal di taman perumahan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Bemban Utama Ahmad Zaki Arshad, 60, berkata pihaknya menerima peruntukan RM40,300 daripada Kementerian Perpaduan Negara bagi melaksanakan program Rukun Tetangga (RT) Progresif Pembuatan Dodol, yang mula beroperasi secara rasmi pada Februari tahun ini.