hiduprakyat
CG Top Poster Club

- Messages
- 27,546
- Joined
- Dec 6, 2010
- Messages
- 27,546
- Reaction score
- 1,681
- Points
- 201
Dipercayai tertidur punca lelaki pandu lawan arus
JOHOR BAHRU: Seorang pelayan restoran dipercayai tertidur ketika memandu menyebabkan kereta Audi dipandunya bergerak melawan arus di Jalan Jim Quee, di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 pagi ketika lelaki terbabit, yang bekerja di sebuah pusat membeli belah di sini, dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Mount Austin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, pihaknya mengesan video kejadian yang tular di Facebook (FB) pada jam 10.06 malam hari kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai tertidur ketika berada di dalam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Puteri.
“Seorang anggota polis kemudian menghampiri kenderaan itu dan mengetuk tingkap bagi mendapatkan perhatian pemandu.
“Tindakan itu menyebabkan pemandu terbabit tersedar dan berada dalam keadaan cemas, sebelum mula memandu secara perlahan-lahan ke hadapan.
“Kereta itu kemudiannya didapati bergerak melawan arus ke arah Jalan Jim Quee,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Swie Chait berkata, hasil ujian saringan alkohol terhadap pemandu itu mendapati keputusannya negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan isyarat lalu lintas.
“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan keadaan diri berada dalam keadaan selamat dan cergas sebelum memandu.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.
Artikel Buletin Tv3