http://www.dapmalaysia.org/malaynet/kps/ps0370.html
Apa-apa cadangan oleh Keadilan untuk menyelesaikan perbezaan idealogi di dalam Barisan Alternatif mesti mengecualikan penubuhan sebuah negara Islam supaya menepati persefahaman awal di kalangan parti-parti komponen barisan pembangkang
_______________________________________________________
Kenyataan Media oleh Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh
_______________________________________________________
Petaling Jaya, 2 Julai – Saya berasa gembira Keadilan telah mengumumkan bahawa syor negara Islam oleh PAS tidak mendapat pengesahan tiga ahli barisan pembangkang yang lain dan kurang mendapat sokongan daripada kaum Melayu di pantai barat Semenanjung, kebanyakan bukan Melayu dan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak. Namun, Parti Rakyat Malaysia belum lagi menyatakan secara khusus bahawa ia tidak menyokong keinginan kuat PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam dengan sebuah kerajaan Islam.
Timbalan Presiden Keadilan, Dr. Chandra Muzaffar tidak perlu menegur saya dengan lembut atau sebaliknya kerana menaikkan suhu politik mengenai isu negara Islam. Segala-galanya telah dimulakan oleh PAS, terutamanya oleh Timbalan Presidennya, Abdul Hadi Awang. Adalah baik bahawa isu ini telah diluahkan secara awam. Pendirian DAP selama ini adalah konsisten – tiada tolak ansur mengenai tentangannya terhadap penubuhan sebuah negara Islam, sama ada oleh UMNO atau PAS. Apa-apa seruan oleh mana-mana pihak tentang penubuhan sebuah negara Islam akan dicabar sepenuhnya oleh DAP kerana seruan sedemikian mempunyai kesan menjatuhkan struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan sebuah negara sekular secara tegas dan mutlak. Apa-apa percubaan untuk menjatuhkan kedudukan ini yang perlu mendapat pengiktirafan semua rakyat memandangkan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, mesti ditentang demi mempertahankan Perlembagaan.
DAP tidak pernah dan tidak akan mengkhianati dirinya dengan meneruskan kedudukannya di dalam barisan pembangkang sekiranya PAS masih bertekad mahu menubuhkan sebuah negara Islam dan kerajaan Islam walaupun terdapat persefahaman jelas bahawa apabila DAP menyertai barisan pembangkang pada 1999, PAS tidak akan membuat tuntutan untuk sebuah negara Islam.
Apa-apa cadangan oleh Keadilan untuk menyelesaikan perbezaan idealogi di dalam Barisan Alternatif mesti mengecualikan penubuhan sebuah negara Islam supaya menepati persefahaman awal di kalangan parti-parti komponen barisan pembangkang. Jika tidak, langkah sedemikian hanya akan merupakan suatu usaha sia-sia. Bola kini sedang berada di dalam gelanggan PAS. Memandangkan DAP tidak akan bertolak ansur mengenai isu tersebut, kedua-dua Fadzil Noor dan Hadi Awang patut secara awam menarik balik seruan mereka masing-masing untuk menubuhkan sebuah negara Islam dan kerajaan Islam.