Abang Azhar Mansor nafi adiknya murtad
IPOH 5 Nov. – Azham Mansor, abang sulung kepada pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor, hari ini menafikan adiknya itu sudah murtad dan tinggal di Australia.
Ahli perniagaan berusia 56 tahun itu menegaskan, Azhar masih beragama Islam dan kini tinggal di Langkawi kerana menguruskan perniagaannya di sana.
Katanya, mesej Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan e-mel yang tersebar luas mengatakan Azhar sudah menganut agama Kristian serta membaptiskan ramai pelajar adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.
‘‘Saya sebagai abang Azhar mahu menjelaskan bahawa SMS itu menipu dan tidak benar sama sekali. Setahu saya adik saya bekerja keras menjalankan perniagaan di Langkawi.
‘‘Saya pasti dan tahu Azhar seorang Islam. Saya minta tolonglah jangan ganggu dia lagi, sejak semalam saya cuba hubungi dia tapi tak dapat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Azham berkata, dia datang ke Gereja Lady of Lourdes di sini semata-mata mahu memastikan kesahihan SMS yang tersebar dan bersyukur kerana ia terbukti palsu.
Menurutnya, bapanya ada menghubungi Azhar dan dimaklumkan bahawa dia kini berada di Langkawi.
‘‘Kerajaan sepatutnya ambil tindakan terhadap penyebaran SMS ini dari awal kerana kerajaan lebih tahu apa yang patut dibuat. Mungkin saya akan jumpa Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria untuk berbincang dengannya.
‘‘SMS ini disebarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Atas niat apa, itu saya tak tahu tetapi jelas dia nak burukkan nama mufti, Azhar, keluarga kami dan kita semua (umat Islam),” katanya yang dukacita dengan fitnah yang menimpa adiknya itu.
nie berita terbaru dari utusan..bawa bertenang kay..