combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,187
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,187
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Deepfake Kini Cabaran Keselamatan Digital Negara, Malaysia Perlu Bertindak Segera - Pakar
Malaysia perlu memperkukuh kesiapsiagaan digital dan mengemas kini undang-undang bagi menangani ancaman teknologi deepfake atau palsu asli yang semakin sukar dikesan, kata seorang pakar.
Pensyarah Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Nor Zairah Md Ab Rahim berkata teknologi itu berpotensi menjejaskan kestabilan politik, perpaduan sosial dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara jika tidak ditangani secara proaktif.
Beliau berkata perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif kini membolehkan video, audio dan imej palsu dihasilkan dengan tahap ketepatan yang tinggi sehingga sukar dibezakan daripada kandungan sebenar.
Menurut beliau ancaman berkenaan tidak lagi boleh dilihat sebagai isu teknologi semata-mata, sebaliknya cabaran keselamatan digital nasional yang memerlukan tindakan menyeluruh daripada kerajaan, industri teknologi dan masyarakat.
Nor Zairah berkata demikian ketika mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2026 hari ini yang menyentuh mengenai penggunaan imej baginda menerusi teknologi deepfake untuk mengelirukan orang ramai.
“Sejujurnya, tiada sesiapa yang benar-benar kebal. Apabila gambar Yang di-Pertuan Agong sendiri telah digunakan dalam kandungan palsu, ia menunjukkan bahawa autoriti tertinggi negara juga boleh menjadi sasaran manipulasi digital,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata insiden itu membuktikan bahawa ancaman AI generatif tidak memilih mangsa berdasarkan kedudukan atau status.
Katanya pemimpin negara, institusi kerajaan, syarikat, organisasi dan orang awam sama-sama terdedah kepada risiko penyamaran identiti serta penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi dan mencetuskan kekeliruan.