Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Dari Sawit Ke Lemon: Transformasi Agro-Komersial KUAF Pecah Tradisi Pertanian FELDA
Lemon dipilih kerana nilai pasaran yang tinggi serta potensi diproses kepada pelbagai produk hiliran termasuk jus, sabun, pewangi, minyak urut dan produk kesihatan, yang menawarkan pulangan lebih stabil berbanding tanaman kontan lain.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kini menyaksikan transformasi ekonomi apabila peralihan daripada monokultur kelapa sawit kepada tanaman lemon di FELDA Ayer Hitam membuktikan potensi besar dalam menjana pulangan agrokomersial.
Inisiatif diterajui Koperasi Usaha Anak Felda Berhad (KUAF) itu bukan sahaja memecahkan amalan pertanian konvensional, malah menyokong agenda keterjaminan makanan negara melalui pengurangan kebergantungan terhadap import buah sitrus.
Pengerusi KUAF Alizan Amin, 51, berkata projek berkenaan bermula pada 2020 sebagai usaha mempelbagaikan sumber pendapatan susulan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
“Kami bermula dengan hanya 10 anak pokok lemon sebelum dikembangkan secara berfasa sehingga melebihi 1,000 pokok kini di kawasan seluas 1.82 hektar,” katanya ketika ditemui Bernama di FELDA Ayer Hitam.
Beliau berkata lemon dipilih kerana nilai pasaran yang tinggi serta potensi diproses kepada pelbagai produk hiliran termasuk jus, sabun, pewangi, minyak urut dan produk kesihatan, yang menawarkan pulangan lebih stabil berbanding tanaman kontan lain.
KUAF turut menerima sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui peruntukan RM200,000 tahun lepas bagi pembinaan kilang pemprosesan dan pembelian peralatan kritikal.
Dengan tambahan modal peribadi RM50,000, KUAF kini menghasilkan antara 2,000 hingga 3,000 botol jus lemon sebulan selain hampir 1,000 unit lemon kering.
Produk hiliran termasuk minyak aromaterapi yang dijual antara RM4 hingga RM49 itu semakin mendapat sambutan di pasaran tempatan, sekali gus menjamin aliran pendapatan lebih stabil kepada koperasi.