BTC USD 75,698.5 Gold USD 4,346.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dana EFT Berjaya Kurangkan Lebih 30 Peratus Konflik Manusia, Gajah Di Johor - Arthur

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,698
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,698
Reaction score
97
Points
80

Dana EFT Berjaya Kurangkan Lebih 30 Peratus Konflik Manusia, Gajah Di Johor - Arthur​

60b523779f4cad8799a696945f9158ac6a41f2d20f7c3

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.

Pelaksanaan pelbagai inisiatif menerusi dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) for Diversity Conservation menunjukkan impak positif apabila berjaya mengurangkan lebih 30 peratus kes konflik manusia dan gajah di Johor.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata jumlah aduan konflik manusia dan gajah di negeri itu menurun daripada kira-kira 900 aduan pada 2024 kepada kira-kira 600 aduan tahun lepas.

Bagi mengekalkan trend penurunan itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM600,000 di bawah dana EFT bagi tempoh 2025 hingga 2026 untuk memperkukuh pengurusan konflik melalui pelbagai inisiatif, termasuk Program Operasi Bersepadu Translokasi Gajah.

“Program ini melibatkan lapan kawasan koridor laluan gajah, termasuk di daerah Mersing, dengan sasaran memindahkan 25 ekor gajah liar ke habitat yang lebih sesuai. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 29 ekor gajah liar telah berjaya ditangkap dan dipindahkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai keberkesanan dana tambahan EFT dan program komuniti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam mengurangkan konflik manusia dan gajah, serta pelan sinergi meluaskan penggunaan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG).

Mengulas lanjut, Arthur berkata sebanyak RM900,000 peruntukan dana EFT turut disalurkan bagi melaksanakan program mitigasi di bawah Pelan Hala Tuju Strategik Desa Negeri Johor, antaranya melibatkan penubuhan Komuniti Pelindung Hidupan Liar (KPHL) di lima kampung sebagai permulaan.

Mengenai usaha memperluas penggunaan SPEG, beliau berkata kementerian memperuntukkan RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi melaksanakan Program Peningkatan Perlindungan, Kawalan, Pencerobohan, Serangan dan Ancaman Gajah di Kawasan Konflik Serius.

Peruntukan itu meliputi pembangunan halangan fizikal, sistem pagar elektrik, peralatan mitigasi, serta pelaksanaan penyelenggaraan dan pembaikan ke atas 17 SPEG sedia ada di seluruh Semenanjung Malaysia.

 
Back
Top
Log in Register