ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Tunku Ismail disambut penduduk Permas Jaya yang hadir ke Majlis Perasmian Masjid Bandar Permas Jaya sempena Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kelmarin.
JOHOR BAHRU - Penetapan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu yang ditetapkan di negeri ini sejak Januari tahun lalu berjaya menarik lebih ramai umat Islam menunaikan solat Jumaat di masjid kawasan kediaman masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Abd Mutalib Abd Rahim berkata, ia menunjukkan perkembangan positif dari segi hidup bermasyarakat apabila lebih ramai penduduk beragama Islam keluar menunaikan solat Jumaat di kawasan perumahan, berbanding berada di tempat kerja.
Menurutnya, biasanya sebelum penetapan Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu bagi negeri ini, kebanyakan masjid di kawasan penempatan penduduk kurang jemaah.
"Alhamdulillah saya menerima maklum balas positif daripada umat Islam di seluruh daerah mengenai kehadiran jemaah menunaikan solat Jumaat sungguh luar biasa di masjid kawasan penempatan sejak diisytiharkan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu.
"Kita menjunjung kasih di atas titah Tuanku Sultan (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) di atas pengisytiharan Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu Johor," katanya selepas Majlis Perasmian Masjid Bandar Permas Jaya sempena Kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kelmarin.
Masjid tersebut siap dibina pada 2013 dengan kos RM3.2 juta dan mampu memuatkan sehingga 1,200 jemaah pada satu-satu masa.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan merasmikan masjid tersebut dan turut menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat Permas Jaya.
Turut berangkat mengiringi beliau adalah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan negeri, Datul Ismail Karim; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Latiff Bandi dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Nooh Gadot.
Abd Rahim berkata, sebanyak 20 masjid baharu akan dirasmikan di seluruh Johor tahun ini dalam usaha meningkatkan kemudahan masyarakat Islam untuk menunaikan ibadah.