CHAT GPT DAN PENGAJIAN ISLAM
Saya telah menggunakan Chat Gpt selama hampir sebulan untuk pelbagai tujuan, cuma untuk beberapa isu Islamic finance yang memerlukan huraian dan kefahaman mendalam serta kepelbagaian pandangan ulama semasa dan silam. Saya mendapati chat gpt masih tidak boleh dipegang dalam jawapannya khususnya berkaitan dengan hal ehwal fiqh Islam dan fiqh mumalat yang mendalam. Ia kerap kali mengulang jawapan umum dan menghurai secara permukaan sahaja, malah adakalanya salah semuanya seperti huraiannya terhadap Talaqqi al-Rukban, atau jawapan tidak kemas pada huraian bai'atayni fi Bai'ah (dua kontrak dalam satu), Hamish Jiddiyah, 'Urbun dan banyak lagi.
Oleh itu, saya menyeru para pelajar pengajian tinggi di Universiti Awam & Swasta khususnya, yang di dalam bidang pengajian Islam, fiqh dan Usuluddin serta cabang-cabangnya agar jangan terlalu teruja dalam dan mempercayai jawapan Chat Gpt secara tanpa semakan, kerana kebarangkalian jawapannya salah adalah besar. Malah jika benar sekalipun, kadar kualiti jawapannya sekitar C+ atau B sahaja.
Malah saya juga dapati ChatGpt, salah ketika memberi jawapan berkenaan sama ada "Retained Earning" yang dibawa ke hadapan akan dikenakan cukai berkali-kali setiap tahun atau tidak di dalam undang-undang Malaysia. Ia mengatakannya "kena cukai berulang", iaitu jawapan yang salah.
Saya tidaklah mengatakan Chatgpt itu tidak bagus. In fact, I think it's great. cumanya para pengkaji ilmu-ilmu Islam, tidak boleh bergantung sepenuhnya berkenaan ilmu Islam dari data set sedia ada yang digunakan oleh Chatgpt dalam latihannya, kerana ia tidak lengkap dan banyak kekurangannya. Tentunya, ia akan improve dari pada versi-versi akan datang, namun ingatan ini adalah untuk masa ini yang mana data set versi ChatGPT 3 digunakan.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman