CEO TikTok gesa graduan PhD SG berani teroka, guna kepakaran hurai masalah dunia
Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Chew Shou Zi berucap semasa majlis konvokesyen untuk graduan PhD di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 1 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
SINGAPURA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok Shou Zi Chew pada Sabtu (1 Ogos) menggesa graduan ijazah peringkat Doktor Falsafah (PhD) supaya "secara aktif meneroka perkara-perkara yang belum diketahui" dan menggunakan "kuasa luar biasa" mereka untuk menangani dan menghuraikan masalah dunia sebenar.
Dalam ucapannya selama 10 minit di majlis konvokesyen graduan PhD di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), warga Singapura berusia 43 tahun itu berkongsi tentang zaman kanak-kanaknya di Yio Chu Kang dan pengalaman awalnya dengan teknologi, perjalanan akademiknya dari Hwa Chong Institution ke Sekolah Perniagaan Harvard, serta perjalanan kerjayanya sehingga menerajui platform media sosial tersebut.
IKLAN
Majlis itu merupakan sebahagian daripada konvokesyen NTU 2026. Tahun ini, lebih 14,000 siswazah daripada kohort 2026 - kumpulan graduan terbesar dalam sejarah universiti tersebut - akan menerima ijazah mereka merentasi 29 majlis konvokesyen yang diadakan oleh universiti tersebut.
Seramai 575 graduan menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) mereka melalui dua majlis pada Sabtu (1 Ogos), dengan Encik Chew menyampaikan ucapan kepada graduan yang menghadiri majlis pertama pada sebelah pagi.
Sambil menekankan bahawa para graduan memasuki alam pekerjaan pada ketika dunia sedang mengalami "perubahan struktur yang besar", Encik Chew berkata, sudah tiba masanya untuk mereka memimpin apabila memasuki era baharu kecerdasan buatan (AI) yang belum diterokai.
"Kita melihatnya setiap hari, dan ia satu era inovasi berskala besar yang belum pernah berlaku sebelum ini. Ini merupakan detik penting dan mengujakan dalam sejarah - di mana perubahan bukan sekadar berterusan, tetapi berkembang secara pesat dan pantas."
"Anda baru sahaja menghabiskan bertahun-tahun memperoleh PhD, membuktikan bahawa anda tahu bagaimana untuk melangkaui batas pengetahuan manusia. Kini, gunakan kuasa luar biasa itu untuk menangani masalah dunia sebenar yang rumit dan penuh ketidakpastian.
IKLAN
"Carilah ruang di mana anda adalah orang yang paling kurang berpengalaman. Terimalah ketidakpastian kerana di situlah inovasi yang bermakna berlaku. Apabila anda melangkah ke hadapan, bergantunglah kepada rangkaian rakan-rakan cemerlang di sekeliling anda hari ini, kerana mereka adalah masyarakat anda," katanya.
Masyarakat itu akan mengingatkan mereka tentang tujuan hidup serta mencerminkan keupayaan sebenar mereka, tambah Encik Chew.
"Justeru, apabila anda meninggalkan universiti ini, kekalkan sifat ingin tahu yang mula-mula membuka jalan kepada anda. Ke mana sahaja pasport pendidikan luar biasa ini membawa anda selepas ini, yang paling penting, lindungilah kreativiti dan keghairahan anda, kerana anda adalah generasi yang akan membina era inovasi positif seterusnya."
CEO TikTok gesa graduan PhD SG berani teroka, guna kepakaran hurai masalah dunia
SINGAPURA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok Shou Zi Chew pada Sabtu (1 Ogos) menggesa graduan ijazah peringkat Doktor Falsafah (PhD) supaya "secara aktif meneroka perkara-perkara yang belum diketahui" dan menggunakan "kuasa luar biasa" mereka untuk menangani dan menghuraikan masalah dunia...