Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,768
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,768
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Koperasi Sabah Perlu Berani Laksana Transformasi, Teroka Sektor Baharu - Hajiji
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor melihat akhbar komuniti Kinabalu Media ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) serta pelancaran akhbar tersebut di sini hari ini.
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Gerakan koperasi di Sabah digesa supaya berani melakukan transformasi perniagaan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan serta meneroka sektor baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada anggota, komuniti dan ekonomi negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata dalam landskap ekonomi dan teknologi semakin kompetitif, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata, sebaliknya perlu terus berinovasi bagi memastikan daya saing dan kelangsungan pertumbuhan.
Beliau berkata transformasi perniagaan akan membolehkan koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota dan pelanggan, selain memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul selaras dengan perubahan semasa.
“Kerajaan negeri amat menggalakkan koperasi untuk terus memperkukuh tadbir urus, memperluas bidang perniagaan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi inklusif serta mampan.
“Saya yakin gerakan koperasi akan terus relevan dan menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negeri jika sentiasa bersedia berubah mengikut keperluan semasa,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) serta melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media di sini hari ini.
Hajiji berkata KOPEKS wajar dijadikan contoh atas keberanian melakukan transformasi daripada hanya menjalankan perniagaan kredit kepada pelbagai sektor strategik yang memiliki potensi pertumbuhan tinggi seperti perkhidmatan Ar-Rahnu, kesihatan, pusat dialisis, projek perumahan, import dan eksport serta penerbitan akhbar komuniti.
Beliau berkata penerbitan Kinabalu Media membuktikan komitmen KOPEKS dalam memperkukuh budaya ilmu dan menyediakan platform penyampaian maklumat sahih kepada masyarakat, selain menjadi sumbangan penting kepada industri persuratkhabaran di Sabah.
“Dalam era media digital yang berkembang pesat, penerbitan bercetak masih mempunyai peranan penting menyediakan laporan lebih mendalam, analisis berkualiti dan dokumentasi pelbagai isu semasa. Kerajaan negeri melihat media sebagai rakan strategik dalam membangunkan negeri serta memperkukuh perpaduan rakyat termasuk menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Mengenai penglibatan KOPEKS dalam sektor kesihatan, Hajiji berkata langkah mengambil alih beberapa klinik swasta membolehkan ahli menikmati kemudahan rawatan pada kadar berpatutan sekali gus membuktikan koperasi mampu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.