Celcom Digi Selesai Gabung, Jadi ‘Telco’ Terbesar Malaysia
Penggabungan antara syarikat telko Celcom dan Digi akhirnya telah pun sempurna dan dimeteraikan sebelum penghabisan November. Kenyataan bersama itu dibuat oleh Axiata Group Bhd, Digi.com dan syarikat induk Telenor Asia Pte Ltd. Usai pergabungan tersebut, setiap syarikat memiliki nilai saham 33.1% yang sama ke atas telko baharu yang bernama Celcom Digi ini.
Berdasarkan statistik kedua-duanya pada 2021, telko Celcom Digi bakal mempunyai jumlah keseluruhan pengguna sekitar 20 juta orang rakyat Malaysia.Selain itu, Celcom Digi dikatakan komited dengan sasaran pendapatan sekitar RM8 bilion seusai penggabungan antara kedua-dua syarikat tersebut. Di samping itu, Celcom Digi mempunyai potensi untuk memangkin kepada pertumbuhan digital, teknologi, dan telekomunikasi di Malaysia kelak.
Nilai Saham Axiata (30 November)
Nilai Saham Digi (30 November)
Untuk maklumat pembaca, kedua-dua saham Axiata dan Digi.com tutup pada nilai yang memberangsangkan pada Rabu, 30 November ini - membawa kepada nilai RM29.83 bilion (Axiata) dan RM31.1 bilion (Digi.com). Berita perihal Celcom bergabung dengan Digi ini hadir pada awal April tahun lepas. Dan selepas hampir 1 tahun 6 bulan, Malaysia akan mempunyai sebuah syarikat telko terbesar untuk kita semua.
Tak Faham Dengan Notis Privasi CelcomDigi? Lihat Infografik Ini
Bagi memudahkan para pelanggannya memahami notis privasi, CelcomDigi telah menghasilkan infografik sebagai transparensi dalam amalan privasinya. Infografik tersebut adalah bertujuan untuk mendidik para pelanggan CelcomDigi tentang jenis maklumat peribadi yang dikumpul, sebab ia dikumpul, cara ia diproses dan dengan siapa ia akan dikongsi.
Ia juga membantu pelanggan memahami hak privasi mereka, cara melaksanakan hak ini dan langkah yang perlu diambil jika data mereka terjejas. Ketua Privasi CelcomDigi, Kulani Geeta Kulasingam menekankan bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada semakan biasa yang dilakukan oleh syarikat itu terhadap amalan privasinya untuk terus membina amalan data jangka panjang yang bertanggungjawab dan mengekalkan kepercayaan pelanggan.
CelcomDigi Ingin Membangunkan Ekosistem Metamesta Di Malaysia
CelcomDigi kini mengumumkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi Korea Selatan, iaitu SK Telecom – dimana melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan mebangunkan platform ekosistem metamesta mudah-alih Malaysia yang pertama.
Kedua-dua syarikat akan membangunkan dan menawarkan metamesta serta kecerdasan buatan yang dioptimasikan untuk pasaran tempatan. Dengan langkah ini, antara industri yang disasarkan untuk ekosistem metamesta ini adalah termasuk seperti kesihatan, pendidikan, hiburan dan juga peruncitan.
CelcomDigi turut menyasarkan metamesta ini akan boleh dijayakan melalui penawaran rangkaian 5G serta pelbagai inovasi dibawah mereka sebelum ini. Buat masa ini, tiada sebarang tarikh dikongsikan berkenaan penawaran ekosistem metamesta ini kepada umum.
Celcom Bluecube & Digi Store Kini Berkhidmat Untuk Pelanggan Kedua-Dua 'Telco'
Kita semua tahu Celcom dan Digi sudah pun bergabung di bawah CelcomDigi Sdn. Bhd. Terbaru, syarikat itu mengumumkan bahawa Digi Store dan Celcom Bluecube menerima pelanggan daripada Digi dan Celcom. Ini bermakna jika anda mahu berurusan sebagai pelanggan Celcom tetapi hanya ada Digi Store yang terdekat, maka boleh selesaikannya di kedai tersebut.
Urusan yang boleh dilakukan di Digi Store dan Celcom Bluecube;
Penggantian kad SIM
Tambah nilai
Pembayaran bil
Pendaftaran prabayar/pascabayar baharu
Pembelian pelan internet prabayar
Pendaftaran MNP (pindah 'telco' tapi kekal nombor sama)
Pertukaran pelan prabayar ke pascabayar
Pertukaran pelan pascabayar
Misalnya, anda menggunakan pelan pascabayar Digi Postpaid 60 dan mahu bertukar ke Postpaid 90, anda boleh lakukannya di CelcomBluecube. Semasa pengumuman rasmi penubuhan CelcomDigi dulu, syarikat itu mengatakan kedai Celcom dan Digi masih terhad menerima pelanggan masing-masing. Berita baik, kini ia sudah berubah. Pemangku Bersama CEO Axiata Group Vivek Sood sebelum berkata Axiata berniat mengekalkan kedua-dua jenama Celcom dan Digi dan belum memuktamadkan apakah dua jenama itu akan digabungkan kelak walaupun beroperasi di bawah syarikat sama. Penggabungan rangkaian Celcom dan Digi dirancang akan dilaksanakan dalam 2 tahun lagi.
CelcomDigi Ungguli Sebagai Penyedia Perkhidmatan Paling Bertambah Baik 2023 Di Malaysia - Opensignal
Dalam laporan ke-4 Global Mobile Network Experience Awards 2023 yang diterbitkan oleh Opensignal, CelcomDigi telah mengungguli dalam semua kategori perkhidmatan iaitu pengalaman permainan, pengalaman aplikasi suara, pengalaman kelajuan muat turun, pengalaman kelajuan muat naik dan masa ketersediaan capaian 4G/5G. Ini sekaligus meletakkan CelcomDigi sebagai syarikat penyedia perkhidmatan paling bertambah baik di Malaysia dalam kategori Global Mobile Network Experience Awards 2023 , Global Rising Stars.
Sementara di peringkat global pula bagi kategori masa ketersedian 4G/5G, hanya Yes, U Mobile dan Maxis sahaja penyedia perkhidmatan telekomunikasi dari Malaysia yang tersenarai bersaing dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang lain diperingkat global.
Data yang dikongsikan oleh Opensignal ini adalah berdasarkan kepada data terkumpul dari 2 Julai hingga 27 Disember 2022.
CelcomDigi Mudahkan Pelanggan Lapor Kes Scam
Pelanggan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) kini mudah untuk melaporkan kes penipuan atau aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi pusat panggilan pelanggan Celcom atau Digi. Pilihan untuk melaporkan sebarang kes scam atau penipuan telah disertakan dalam menu khidmat pelanggan automatik yang dikenali sebagai Interactive Voice Response (IVR).
Pilihan ini membolehkan pelanggan CelcomDigi yang ingin membuat laporan segera mengenai kes scam atau penipuan dengan menghubungi nombor berikut:
019-6011111 untuk pelanggan Celcom atau;
016-2211800 untuk pelanggan Digi
CelcomDigi menambah, apabila pelanggan memilih untuk melapor sebarang kes scam ataupun, panggilan atau SMS yang mencurigakan, mereka akan diberi dua pilihan berikut:
Bagi kes scam atau penipuan yang tidak melibatkan akaun bank pelanggan seperti Spam SMS, Panggilan Penipuan, pautan mencurigakan atau iklan produk CelcomDigi yang mencurigakan, para pelanggan diberi panduan untuk membuat laporan secara dalam talian; manakala
Bagi kes scam atau penipuan yang melibatkan akaun bank pelanggan, mereka dinasihatkan untuk dail 997 bagi melaporkan kes tersebut kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk tindakan lanjut.
Alternatif lain, pelanggan CelcomDigi boleh melaporkan sebarang kes scam atau penipuan di laman sesawang Digi atau Celcom.