combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
CDF: Pulau Pinang Tunggu Keputusan Kepimpinan DAP - Chow
Kredit: FB Chow Kon Yeow
Pulau Pinang akan menunggu keputusan kepimpinan tertinggi DAP sebelum mempertimbangkan sebarang langkah untuk memperkenalkan Enakmen Pembangunan Kawasan yang adil dan saksama di negeri ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Chow berkata beliau telah dihubungi Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh berkaitan perkara itu dan menegaskan sebarang keputusan perlu diselaraskan di peringkat nasional.
“Perkara ini akan dibincangkan oleh kepimpinan kebangsaan kami. Jadi, kita tunggu sebarang keputusan daripada kepimpinan supaya perkara ini dapat diselaraskan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian kerjasama dalam Inisiatif Tenaga Boleh Baharu antara McDonald’s Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan agar Pulau Pinang dan Selangor menggubal undang-undang bagi memastikan peruntukan pembangunan kawasan pilihan raya yang saksama diberikan kepada semua wakil rakyat.
Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) sebelum ini menggesa kedua-dua negeri ditadbir Pakatan Harapan itu menggubal undang-undang berkaitan Peruntukan Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) yang saksama.
Projek SAMA menyatakan kedua-dua negeri memiliki kuasa perundangan untuk menjamin peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat serta mengurangkan kuasa budi bicara pihak eksekutif dalam menentukan pengagihan peruntukan itu.
Mengenai peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini, Chow berkata Kerajaan Pulau Pinang sememangnya telah menyediakan peruntukan kepada mereka sejak sekian lama.
Beliau berkata wakil pembangkang sering membangkitkan perkara berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri dan memohon agar peruntukan diterima itu ditingkatkan.
“ADUN pembangkang kini menerima peruntukan sebanyak RM60,000,” katanya.