BTC USD 75,904.4 Gold USD 4,338.25
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Bukan sekadar mewarisi, tetapi mencorak warisan: Dr Roszalina mahu perkasa belia, pengamal seni

Bob_SG

Fun Poster
Messages
719
Joined
Jun 14, 2025
Messages
719
Reaction score
2
Points
25

Bukan sekadar mewarisi, tetapi mencorak warisan: Dr Roszalina mahu perkasa belia, pengamal seni​

hero_dr_rosza.jpeg

Mengambil-alih kepimpinan sebagai Pengerusi, Yayasan Warisan Melayu daripada Dr Norshahril Saat, Dr Roszalina Rawi percaya warisan bukan sekadar untuk diwarisi - generasi baharu perlu diberi ruang mencoraknya. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

SINGAPURA: Bukan sekadar mengajak golongan muda mengenali warisan Melayu, tetapi memberi mereka ruang untuk menentukan bagaimana warisan itu harus terus hidup.

Itulah antara hala tuju yang mahu dibawa Pengerusi baharu Yayasan Warisan Melayu (MHF), Dr Roszalina Rawi, yang mengambil alih kepimpinan yayasan tersebut mulai 1 Ogos.

IKLAN

Bagi Dr Roszalina, warisan tidak seharusnya menjadi sesuatu yang sekadar diterima daripada generasi sebelumnya.

Sebaliknya, setiap generasi perlu diberikan ruang untuk mencari sendiri kerelevanannya, menyumbang idea dan turut menentukan program yang bermakna bagi mereka.

“Melibatkan generasi muda dan bukan sahaja melibatkan pada tahap penglibatan tetapi meminta mereka untuk melaksanakan apakah program-program yang mereka rasa relevan bagi mereka. Kerana warisan ini sesuatu yang harus diinterpretasi oleh setiap generasi dan mereka harus mencari kerelevanannya, barulah ia boleh terus kekal dan terus hidup,” kongsi Dr Roszalina kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Pendekatan itu bermakna mengubah cara golongan muda dilibatkan dalam usaha pelestarian warisan.

Daripada menyediakan sesuatu program terlebih dahulu kemudian mengharapkan mereka menyertainya, Dr Roszalina mahu suara belia didengar sejak peringkat perancangan.

IKLAN

“Saya rasa kita perlu beralih daripada pemikiran bahawa kita siapkan program dan golongan belia akan datang.

“Harus difikirkan bagaimana kita melibatkan belia dalam usaha kita untuk merancang program itu dan mendengar daripada mereka,” katanya.

Malah, penglibatan yang dibayangkannya melangkaui penganjuran program.

Dr Roszalina mahu golongan muda turut mengambil bahagian dalam wacana, penyelidikan dan penulisan mengenai warisan supaya pengetahuan yang dikumpulkan tidak sekadar tersimpan dalam arkib.

Menurutnya, tanpa penyelidikan, penulisan dan rekod yang baik, sukar untuk sesuatu legasi dipertahankan untuk rujukan generasi akan datang.

IKLAN

Belia, tegas beliau, harus dilihat bukan sekadar sebagai peserta kepada program yang disediakan generasi terdahulu, tetapi juga sebagai “pencipta”, “penyelidik” dan “penulis” yang meneruskan legasi tersebut.
Dr Roszalina Rawi (tengah, dengan telefon bimbit) sewaktu menyaksikan Sinar Lebaran di Teater Mediacorp. Beliau pengamal seni dan budaya, selain mengajarnya sebagai pensyarah di NIE. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
DARIPADA MEWARISI KEMAHIRAN KEPADA PENGIKTIRAFAN FORMAL

Selain membina generasi pelapis, satu lagi tumpuan adalah memperkasa mereka yang sudah berkecimpung dalam seni tradisional.

Antara usaha MHF adalah menyediakan laluan kepada pensijilan formal dalam kesenian tradisional.

Menurut Dr Roszalina, usaha pensijilan sulung yang telah dijalankan melibatkan bidang seni tari topeng dengan kerjasama Universiti Malang, Indonesia.

“Niat kami adalah untuk memperkasakan pensijilan tentang kesenian tradisional di kalangan masyarakat. Kita hendak mengangkat seni tradisi ini pada satu tahap di mana ada pensijilan daripada universiti dan bukan sahaja satu kesenian yang mungkin kita pelajari secara turun-temurun ataupun daripada seorang ke seorang tetapi ada pensijilan yang khusus,” katanya.

IKLAN

Usaha itu diharapkan dapat membuka peluang kepada seniman yang mahu meningkatkan lagi ilmu mereka dalam bidang seni warisan.

MENGAPA PENSIJILAN PENTING?

Bagi Dr Roszalina, pensijilan bukan sekadar mendapatkan sekeping sijil.

Ia juga merupakan satu bentuk sokongan dan pengiktirafan kepada pengamal yang telah memberikan komitmen kepada seni tradisional.

“Kami ingin tekankan pentingnya pensijilan formal dalam usaha kami mengangkat warisan seni tradisional dan ini merupakan usaha MHF untuk menyokong para seniman kami supaya mereka ada ruang dan mereka ada peluang untuk mengiktiraf kesenian mereka.

“Kami hendak menyokong dan kami hendak mengiktiraf, mengangkat kesenian ini pada tahap di mana anak-anak muda kita ataupun para pencinta seni kita boleh tahu bahawa kami menghargai usaha mereka dan dunia harus menghargai usaha mereka,” katanya.

Dengan itu, pemindahan ilmu secara tradisional tidak diketepikan, sebaliknya ditambah dengan satu bentuk pengiktirafan formal terhadap pengetahuan dan kemahiran pengamal.
Pengerusi baharu Yayasan Warisan Melayu sejak 1 Ogos, Dr Roszalina Rawi. (Gambar: BERITA Mediacorp/ Roslinda Rahmat)
SELEPAS TARI TOPENG, GAMELAN PULA

Usaha tersebut juga tidak dijangka berhenti pada seni tari topeng.

Dr Roszalina mendedahkan bahawa gamelan merupakan antara bidang yang sedang difikirkan MHF untuk langkah seterusnya.

“Di masa hadapan, kami memikirkan tentang gamelan pula,” dedahnya.

Ia memberi gambaran bahawa pensijilan boleh menjadi salah satu pendekatan MHF untuk memperkukuh ekosistem seni tradisional — bukan hanya dengan memastikan sesuatu bentuk seni terus diamalkan, tetapi juga dengan meningkatkan pengiktirafan terhadap mereka yang menguasainya.

KEKALKAN WACANA INTELEKTUAL, LUASKAN JANGKAUAN

Dalam membawa pendekatan baharu itu, Dr Roszalina bagaimanapun tidak mahu pembaharuan dilakukan dengan mengetepikan asas yang sudah dibina.

Beliau mengambil alih jawatan pengerusi daripada Dr Norshahril Saat, yang menerajui MHF selama lapan tahun.

Antara sumbangan kepimpinan terdahulu yang amat dihargainya adalah usaha membuka ruang intelektual dan memperluaskan penglibatan MHF dengan masyarakat.

“Dan saya rasa yang harus kita kekalkan di situ adalah perbincangan pada tahap intelektual. Tapi pada masa yang sama pastinya ia harus sampai kepada masyarakat dengan cara di mana orang boleh memahami dan boleh menghargainya,” katanya.

Di bawah Lembaga Warisan Negara (NHB), Unit Penyelidikan Khusus Taman Warisan Melayu (TWM), yang bertujuan mempergiat dokumentasi penerbitan dan kerjasama akademik serta membina badan ilmu dan repositori mengenai warisan Melayu Singapura, akan kekal di bawah nasihat Dr Norshahril. Mereka ditugaskan untuk melaksanakan penyelidikan tentang masyarakat Melayu, tentang warisan dan lebih luas lagi tentang masyarakat Melayu.

"Apa yang mereka hendak lakukan itu – idea-ideanya akan disumbang daripada masyarakat meluas dan juga daripada kami dari Yayasan Warisan Melayu. Jadi, kami akan memberikan idea-idea, menyumbang idea tentang apakah yang kami rasakan merupakan penyelidikan yang harus dilaksanakan - yang penting. Dan kemudian program-program pula akan dijalankan oleh pihak TWM di sini - Taman Warisan Melayu. Jadi kita lihat di sini ada sinergi - iaitu antara apa yang perlu dilaksanakan oleh unit penyelidikan di bawah NHB itu, dan kemudian perlaksanaannya oleh TWM, tetapi dari segi idea-idea dan apakah yang dirasakan penting - itu datang daripada Yayasan Warisan Melayu.

"Dan kami mendapat idea-idea ini dengan rujukan kepada masyarakat, dengan pertimbangan yang kami dapat daripada semua ahli lembaga dan harapan kami agar semua dalam masyarakat dapat menyumbang kepada penyelidikan ini. Kerana ini penting. Untuk menjadi satu masyarakat yang mengangkat wacana pada tahap yang tinggi. Kita perlu menghargai idea-idea daripada semua. Dan tugas kita adalah untuk memastikan penyelidikan ini dijalankan dengan bermakna dan kemudian boleh dipaparkan melalui pameran, melalui perkongsian supaya ilmu kita tentang warisan Melayu lebih berkembang," rumus Dr Roszalina.

Lembaga baharu MHF sendiri menghimpunkan anggota daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran seperti warisan, seni, pendidikan, media, akar umbi, undang-undang, perpustakaan, seni bina dan kewangan.

Dr Roszalina menyifatkan usaha mereka sebagai kolektif, dengan para anggota menyumbangkan idea berdasarkan kepakaran masing-masing untuk membantu memastikan warisan dan budaya Melayu terus berkembang.
Menurut Dr Roszalina Rawi, lembaga baharu Yayasan Warisan Melayu menghimpunkan anggota daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran bagi memastikan warisan serta budaya Melayu terus berkembang. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
WARISAN PERLU TERUS ‘HIDUP’

Dr Roszalina akan memegang jawatan pengerusi MHF sehingga 31 Julai 2027.

Dalam tempoh itu, cabarannya bukan sahaja memastikan lebih ramai masyarakat mendekati warisan Melayu, tetapi juga membina ruang untuk mereka mengambil bahagian dalam menentukan masa hadapannya.

Daripada memberi belia suara dalam merancang program dan menghasilkan penyelidikan, kepada menyediakan laluan pengiktirafan formal kepada pengamal seni tradisional, pendekatannya bertitik tolak daripada satu prinsip:

Warisan tidak cukup sekadar disimpan, dipamerkan atau diwariskan.

Ia perlu terus diamalkan, dibincangkan dan ditafsir oleh setiap generasi supaya kekal relevan dan terus hidup.

 
Back
Top
Log in Register