afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Bukan gabung, MCA tegaskan kerjasama BN-PN mahu elak tembung pelbagai penjuru
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata partinya tidak akan memberi sokongan tanpa syarat kepada mana-mana pihak.
Katanya, persefahaman dibuat bagi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru yang boleh memecahkan undi, sekali gus meningkatkan peluang membentuk kerajaan negeri yang stabil.
“BN dan PN mengambil pendekatan kerjasama strategik di beberapa kawasan bagi mengelak pertembungan pelbagai penjuru yang bakal membecah-belahkan undi serta mencetuskan ketidaktentuan politik.
“Kerjasama ini bertujuan menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil, cekap dan berkesan bagi memastikan Negeri Sembilan terus membangun.
“Ditekankan, kerjasama bukan bermaksud penggabungan, malah setiap parti akan terus berpegang teguh pada prinsip ideologi masing-masing sambil memainkan peranan semak dan imbang terhadap satu sama lain,” katanya dalam sidang media dalam talian.
Wee berkata, bagi MCA, penyertaan dalam kerjasama itu bertujuan memastikan masyarakat Cina, masyarakat majmuk, pendidikan vernakular dan kebebasan beragama terus mempunyai wakil serta suara dalam kerajaan.
Beliau turut menegaskan, MCA tidak akan memberi sokongan tanpa syarat kepada mana-mana pihak.
Katanya, keputusan itu dimuktamadkan pada awal pagi 15 Julai selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk kepimpinan MCA Negeri Sembilan.
“BN akhirnya memutuskan bertanding di 25 kerusi yang diyakini mempunyai peluang terbaik untuk dimenangi,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu juga tidak menghalang mana-mana parti lain daripada bertanding kerana ia adalah hak dijamin dalam sistem demokrasi.
“Jadi, dengan persefahaman ini, ia sebagai satu kerjasama secara kita kata bukan penggabungan, bukan membentuk satu parti baru, bukan satu cara untuk membentuk gabungan. Saya tegaskan di sini tetapi kita sedar bahawa dalam sebuah demokrasi yang subur, mana-mana individu atau parti mereka bebas bertanding,” katanya.
Terdahulu, Presiden PAS Hadi Awang menyifatkan kerjasama PN dan BN ‘lebih daripada berkahwin’ justeru gabungan itu akan saling membantu dalam kempen di PRN Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, presiden PAS berkata kerjasama rasmi antara PN-BN akan dimuktamadkan dan dinilai dari semasa ke semasa.
PRN Negeri Sembilan bakal menyaksikn pertembungan PH, Bersatu dan BN-PN.
PH akan bertanding di semua 36 DUN, manakala BN-PN masing-masing 25 dan 11 kerusi, sementara Bersatu yang menggunakan lambangnya mencuba nasib di 24 kerusi sekali gus bertembung sesama sendiri dengan sekutu dalam PN.