combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Bernama Catat Rekod MBOR Kumpulan Pengamal Media Paling Ramai Tawan Gunung Kinabalu
Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Arul Rajoo Durar Raj (lima, kiri) mengetuai petugas BERNAMA sampai di puncak Gunung Kinabalu sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, baru-baru ini.
Ekspedisi yang berlangsung dari 29 Jun hingga 3 Julai anjuran Kelab Kakitangan BERNAMA (KKB) itu bertujuan memupuk semangat kerjasama berpasukan, meningkatkan ketahanan fizikal dan mental, serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja BERNAMA.
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakar sejarah hari ini apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Kumpulan Pengamal Media Paling Ramai Menawan Gunung Kinabalu, susulan kejayaan 23 petugasnya menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara itu pada 1 Julai lepas.
Pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR Jwan Heah kepada Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB) di Wisma Bernama, di sini.
Dalam ucapannya, Arul Rajoo yang mengetuai ekspedisi itu berkata pengiktirafan berkenaan bukan sekadar catatan rekod, sebaliknya melambangkan keberanian warga Bernama dalam menyahut cabaran baharu, termasuk pada peringkat persediaan apabila perlu mengimbangi latihan dengan tuntutan tugas sebagai pengamal media yang mempunyai jadual kerja padat.
“Dalam kekangan tugas sebagai pengamal media, mencari masa untuk latihan bukan sesuatu yang mudah. Tetapi dengan azam, disiplin dan semangat berpasukan semua peserta, kita berjaya menghadapi cabaran ini dan sampai ke puncak,” katanya yang juga merupakan Ketua Pengarang Bernama pertama berjaya menawan puncak tertinggi di Malaysia itu.
Arul Rajoo turut berharap pencapaian berkenaan menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif yang dapat mengeratkan hubungan sesama warga Bernama serta memupuk semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Heah menyifatkan kejayaan Bernama sebagai satu pencapaian yang unik dan istimewa kerana melibatkan kumpulan pengamal media terbesar yang berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu.
Beliau berkata pengiktirafan berkenaan diberi selepas pihak MBOR membuat semakan terhadap rekod pendakian daripada Taman-Taman Sabah serta bukti bergambar dan video yang dikemukakan Bernama.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd Datuk Seri R. Jeyenderan, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson, serta wakil rakan-rakan strategik ekspedisi itu.
Penganjuran ekspedisi berkenaan mendapat sokongan daripada BMAI, sebuah jenama pakaian sukan antarabangsa, Batik Air, 100Plus dan Maritime Network Sdn Bhd.