BTC USD 76,234.9 Gold USD 4,304.61
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Bencana Banjir Besar Landa Utara Nepal, Banyak Infrastruktur Rosak

Banjir Nepal: Sungai Trishuli melebar enam kali ganda​

3636735.webp

Imej menunjukkan keadaan sungai sebelum dan selepas bencana dahsyat tersebut. Foto Agensi

KATHMANDU - Imej satelit mendedahkan bagaimana Sungai Trishuli berubah daripada aliran biasa kepada arus besar yang melebar sehingga enam kali ganda, selepas runtuhan batu dan ais mencetuskan banjir dahsyat di Nepal pada 26 Ogos lalu.

Beberapa analisis oleh NDTV berdasarkan imej dikeluarkan Vantor, Planet Labs PBC, Google Earth dan Google Open Buildings itu meneliti perubahan aliran Sungai Trishuli yang membawa sebahagian besar lumpur serta serpihan akibat bencana tersebut.

Dalam satu kenyataan, tentera Nepal memaklumkan peningkatan mendadak paras air menyebabkan kerosakan teruk di kawasan Timure dan Syabrubesi, daerah Rasuwa, kira-kira 125 kilometer dari sempadan Tibet.

Imej satelit turut memaparkan kesan kemusnahan dengan sebahagian besar perkampungan kini lenyap ditelan lumpur tebal.

Di Timure, sebuah bandar sempadan di daerah Rasuwa, utara Nepal, Sungai Trishuli didapati melebar lebih empat kali ganda daripada ukuran asalnya.

Lebar sungai itu meningkat kepada 350 meter (m) berbanding 78m sebelum banjir besar tersebut berlaku.

Di Syabrubesi pula, sungai yang sebelum ini selebar 65m melebar sehingga 300m. Arus deras dipercayai menghanyutkan hampir 300 rumah di kawasan tersebut.

Keadaan sama turut berlaku di Nuwakot, salah satu daripada tiga daerah paling teruk terjejas.

Di kawasan Chaupthoke, Sungai Trishuli melebar sehingga enam kali ganda, daripada 65m sebelum banjir kepada 443m selepas bencana.

Di Battar, daerah Nuwakot, Sungai Trishuli turut melebar daripada 91m kepada 309m selepas banjir. - Agensi

 
14308590635453165-422759.jpg

14308590635453165-422760.jpg

14308590635453165-422761.jpg

14308590635453165-422762.jpg

14308590635453165-422763.jpg

14308590635453165-422764.jpg


11 anggota SMART berlepas ke Nepal bantu misi SAR

SUBANG – Seramai 11 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Malaysia berlepas ke Nepal pada Sabtu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di negara berkenaan.

Pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada kira-kira jam 9 pagi menggunakan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Komander SMART, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa berkata, pasukan berkenaan akan membantu operasi SAR di kawasan yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Beliau mengetuai misi kemanusiaan itu yang turut membawa pelbagai kelengkapan operasi termasuk peralatan komunikasi.

Penerbangan ke Nepal dijangka mengambil masa kira-kira lima jam.

Misi berkenaan turut diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian usaha Malaysia membantu negara berkenaan menangani bencana serta operasi menyelamat mangsa terjejas.

Kredit ➡️ Sinar Harian
 

11 Anggota SMART Berlepas Ke Nepal Laksana Misi SAR​

010cd2bd9ddaacaf71a2923bbebe4deb6a9b8678bc75f

fd1afa7a9943f29eeee0413ef41e6f316a9b868649f79


Sebanyak 11 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal pagi ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terjejas susulan banjir dan tanah runtuh di negara itu.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata  pasukan itu diketuai Komander SMART Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1) Abdul Manaf Che Isa dan misi dijangka berlangsung selama 10 hari.

“Pasukan ini dibentuk secara khusus dengan pelbagai kepakaran merangkumi kepakaran mencari dan menyelamat, operasi dron, logistik, komunikasi, serta sokongan teknikal,” katanya dalam sidang media pada majlis pelepasan pasukan SMART di sini, hari ini.

Beliau berkata pasukan itu dijangka tiba di Nepal kira-kira 11 pagi waktu Nepal sebelum diberikan taklimat operasi dan diatur gerak ke lokasi yang dikenal pasti, termasuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu.

“Setakat ini kita diberi gambaran akan ke kawasan terowong namun itu bergantung kepada taklimat di sana...dalam operasi ini tidak kira siapa sahaja mangsa kita akan selamatkan tetapi tumpuan kita adalah kawasan terakhir rakyat kita (terjejas),” katanya.

Pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan 31 anak kapal membawa pasukan SMART di bawah NADMA serta peralatan SAR seberat 12.4 tan berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang di sini pada 9 pagi.

Peralatan itu antaranya kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, peranti teknologi seperti dron berkapasiti tinggi serta peralatan khas termasuk untuk peralatan penyelamatan terowong, di samping sebuah kenderaan pacuan empat roda dan satu trak muatan 10 tan.

Abdul Manaf berkata pasukannya akan tiba di Kathmandu sebelum diberikan taklimat oleh agensi pengurusan kecemasan tempatan dan seterusnya diatur gerak ke lokasi yang ditetapkan.

“Misi kita sangat jelas iaitu misi kemanusiaan yang turut membawa beberapa peralatan khusus bagi tujuan persediaan penyelamatan terowong serta peralatan komunikasi, perubatan dan kesihatan,” katanya.

 

Sampel DNA Waris Rakyat Malaysia Hilang Di Nepal Selesai Diperoleh - Mohamad​

ce06fcefd7ecd3cca484397ec361b7fd6a9bae68aa30d

Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui pemberita selepas Karnival Kemerdekaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Senawang.

-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Kesemua sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris terdekat 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dikesan susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal selesai diperoleh, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata sampel tersebut akan dihantar ke Nepal bagi membolehkan proses padanan DNA dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu, namun dijangka mengambil masa berikutan jumlah mangsa yang ramai.

Mohamad berkata Malaysia juga bersedia menghantar pakar daripada Jabatan Kimia sekiranya diperlukan bagi membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti padanan DNA tersebut.

“Banyak negara lain juga akan menghantar pakar masing-masing untuk membantu Nepal mengenal pasti padanan DNA mangsa terlibat, sekali gus mempercepat proses tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Nepal memberikan kerjasama amat baik kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.

Mohamad berkata pihaknya menerima laporan harian daripada Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu mengenai perkembangan operasi pencarian dan keadaan semasa di lapangan selain semua waris yang terlibat juga dihubungi secara berkala sekiranya terdapat perkembangan baharu.

Sementara itu, beliau memaklumkan Nepal mengehadkan kemasukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari negara luar kerana mahu mengelakkan kehadiran terlalu banyak pasukan asing sehingga boleh menyukarkan pihak berkuasa tempatan mengendalikan operasi.

Pagi tadi, sebanyak 11 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR di kawasan terjejas banjir dan tanah runtuh di negara itu dengan misi dijangka berlangsung selama 10 hari.

Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana pada 26 Ogos lepas, manakala sebahagian daripada 77 individu yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal telah selamat tiba di Malaysia dan bakinya dijangka pulang menggunakan penerbangan diuruskan ejen pelancongan masing-masing.

 

Lapan Hari Di Nepal, Hani Terus Berharap Temui Petunjuk Suami​

6d347b09a847cd0e3a1b78882e4652eb6a9bb10132fd5

06a50d469dd18056390932743a95a78e6a9bb118d0d3a

Kredit Hani Othman

Selepas lapan hari berada di Nepal bagi mengikuti perkembangan usaha mencari suaminya yang dilaporkan hilang, isteri kepada pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) hari ini menyertai misi mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana sambil berharap dapat menemukan sebarang petunjuk mengenai suaminya.

Hani Othman, kini dalam perjalanan dari Nuwakot menuju Betrawati bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) tempatan Samundra Nepal NGO dan Himalayan Leaders, berkata kawasan yang dituju bukan lokasi terakhir kenderaan suaminya dikesan, namun beliau tetap berharap perjalanan itu dapat menemukan sebarang petunjuk.

“Kawasan titik terakhir suami saya lebih di atas. Susah nak masuk. Tapi Nuwakot juga tempat bencana  cuma lokasi lebih di bawah.

“Saya akan agihkan bantuan kepada mangsa di sini. Tengoklah, mana tahu jumpa sebarang petunjuk,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hani berkata sebahagian barangan bantuan itu dikumpulkan lebih awal di Kathmandu, manakala selebihnya disumbangkan oleh NGO tempatan.

Sementara itu, menerusi satu hantaran di media sosial, Hani berkongsi bahawa beliau sempat mengagihkan bantuan kepada mangsa bencana di sekitar Kathmandu semalam, termasuk mangsa yang baru diselamatkan di Timure, selain bertemu dengan isteri kepada pemandu kenderaan pasukan suaminya.

Beliau berkata sumbangan hasil keprihatinan rakyat Malaysia itu disalurkan bagi pihak suaminya, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dan lapan lagi anggota pasukan ekspedisi termasuk Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Mohd Sani Harul.

“Sepanjang saya mengenali mereka, mereka semua orang baik-baik. Mereka juga dermawan dan suka membantu orang lain. Semoga Allah permudahkan segala urusan pencarian mereka dan melindungi mereka semua tak kira di mana mereka berada.

 

55 Rakyat Malaysia Masih Hilang, Keluarga Letak Harapan Pada SMART​

fd1afa7a9943f29eeee0413ef41e6f316a9b868649f79

010cd2bd9ddaacaf71a2923bbebe4deb6a9b8678bc75f


Selepas 11 hari tanpa khabar, keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal kini menaruh harapan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar ke negara itu bagi meneruskan usaha pencarian.

Wakil kumpulan sokongan waris mangsa tragedi itu Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH) Dr R. Manivannan ketika dihubungi berkata pihak keluarga amat menghargai penghantaran pasukan SMART meskipun berhadapan kesukaran mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Nepal.

“Kami menghargai segala usaha kerajaan Malaysia dan anggota SMART. Tetapi pada tahap ini, kami berharap segala usaha yang ada dapat digerakkan secepat mungkin kerana setiap jam amat bermakna kepada keluarga yang masih menunggu kepastian.

“Selepas 11 hari, kami berpandangan kebarangkalian untuk menemukan rakyat Malaysia yang masih hidup semakin rendah, kecuali jika mangsa terkandas atau berlindung di lokasi tertentu yang belum dikenal pasti. Namun, selagi belum ada pengesahan rasmi, kami tidak mahu berputus asa,” katanya.

Manivannan yang masih menunggu perkembangan pencarian adiknya R. Komathi, 48, berkata pihak keluarga juga sedar pasukan SMART akan berhadapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang mencabar.

Beliau berharap pasukan itu dapat memanfaatkan maklumat yang dikumpulkan waris sejak hari pertama kejadian, termasuk gambar, video, koordinat sistem kedudukan sejagat (GPS), rekod komunikasi dan lokasi terakhir mangsa.

Terdahulu, sebanyak 11 anggota dan pegawai SMART berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR di kawasan yang terjejas akibat bencana pada 26 Ogos itu.

Sementara itu, seorang lagi waris mangsa yang masih hilang, S. Chandran, 63, berkata keluarganya belum menerima perkembangan baharu daripada pihak berkuasa mengenai adiknya Lingam Samikanu, 49.

“Kami hanya menunggu maklumat. Kementerian Luar sentiasa berhubung dengan kami untuk memberikan kemas kini, tetapi setakat ini belum ada sebarang perkembangan,” katanya.

 
422877-422877.jpg


Banjir dan tanah runtuh Nepal: Angka korban cecah 1,344 - Polis

Kathmandu: Angka korban akibat kejadian gelongsoran lumpur di Nepal melepasi 1,300 orang, menurut Polis Nepal pada Sabtu, lapor Xinhua.

Menurut maklumat terkini yang dikeluarkan polis, sebanyak 1,344 mayat ditemukan setakat 5 pagi waktu tempatan Sabtu.

Polis memaklumkan 4,898 orang masih tidak dapat dihubungi setakat pagi Sabtu, manakala 8,631 orang berjaya diselamatkan setakat ini ketika agensi keselamatan meneruskan operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas akibat gelongsoran lumpur.

Pihak berkuasa turut mempergiat usaha mengenal pasti identiti mayat menerusi ujian DNA. Sampel DNA telah diambil daripada 1,260 mangsa yang terkorban dan 972 ahli keluarga mangsa, menjadikan jumlah keseluruhan sampel yang dikumpulkan sebanyak 2,232.

Kredit ➡️ Harian Metro
 

10 glasier berisiko tinggi di dunia​

3637864.webp


Glasier sering dianggap sebagai simbol keindahan menakjubkan alam semula jadi. Namun di sebalik hamparan ais yang kelihatan kukuh, tersembunyi bahaya yang berpotensi mencetuskan bencana amat dahsyat. Pencairan ais, pergerakan glasier, runtuhan batu dan ais serta pembentukan tasik glasier menjadikan sesetengah kawasan semakin terdedah kepada banjir besar, tanah runtuh dan kenaikan paras laut, sekali gus mengancam berbilion penduduk seluruh dunia.

1. Langtang Lirung (Nepal)

Ancaman: Runtuhan glasier dan banjir

Langtang Lirung menjadi antara contoh paling jelas tentang glasier berisiko tinggi. Kedudukannya di Himalaya menyebabkan kawasan ini terdedah kepada perubahan suhu, pencairan ais dan ketidakstabilan cerun. Kesan bencana tidak terhad kepada kawasan glasier sebaliknya boleh merentasi lembah dan memusnahkan perkampungan serta infrastruktur penting. Runtuhan ais dan batu boleh menghalang aliran sungai lalu membentuk tasik sementara yang berpotensi pecah lalu mencetuskan banjir susulan.

2. Glasier Thwaites (Antartika)

Ancaman: Kenaikan paras laut global

Glasier gergasi di Antartika Barat ini sering digelar Doomsday Glacier kerana kedudukannya yang penting dalam sistem ais Antartika. Kehilangan ais secara berterusan boleh menyumbang kepada kenaikan paras laut dan memberi tekanan kepada kawasan pantai di seluruh dunia. Pencairan Thwaites menerusi proses jangka panjang menyebabkan kenaikan paras laut dan meningkatkan risiko kepada bandar pesisir, pulau kecil serta kawasan berdataran rendah.

3. Huascaran (Peru)

Ancaman: Runtuhan ais dan batu

Ia merupakan antara kawasan glasier paling menggerunkan di dunia. Pada 1970, gempa bumi kuat mencetuskan runtuhan ais, batu dan tanah dari kawasan Huascaran. Aliran deras menuju lembah memusnahkan bandar Yungay serta kawasan sekitarnya. Tragedi tersebut menunjukkan gabungan gempa bumi, ketidakstabilan cerun dan runtuhan ais boleh menjadi ancaman paling besar.

4. Palcacocha (Peru)

Ancaman: Limpahan tasik glasier (GLOF)

Ia menjadi perhatian kerana ancaman utamanya datang daripada tasik glasier. Palcacocha mendapat perhatian khusus kerana kedudukannya berada di atas bandar Huaraz. Jika berlaku kegagalan pada empangan semula jadi atau limpahan besar, aliran air boleh bergerak pantas menuruni lembah menuju ke kawasan penempatan penduduk. Ia menjadikan Huaraz sangat terdedah kepada banjir besar dan kerosakan infrastruktur.

5 Imja Tsho (Nepal)

Ancaman: Tasik glasier dan GLOF

Imja Tsho merupakan antara tasik glasier paling terkenal di Himalaya, Nepal. Ia terbentuk melalui proses pencairan dan bahaya timbul apabila jumlah air meningkat sementara empangan morain (longgokan batu atau tanah) perlu menahan tekanan yang semakin besar. Runtuhan ais atau batu yang jatuh ke dalam tasik juga berpotensi menghasilkan gelombang besar. Perkembangan Imja Tsho dipantau dengan teliti dan langkah pengurangan risiko telah dilaksanakan berikutan terdapat komuniti di kawasan hilir.

6. Thso Rolpa (Nepal)

Ancaman: GLOF dan runtuhan glasier

Ia merupakan antara tasik glasier yang paling mendapat perhatian dalam kajian risiko bencana Himalaya. Kedudukannya di kawasan pergunungan menjadikan tasik ini terdedah kepada runtuhan ais dan batu dari cerun sekitarnya. Jika runtuhan besar memasuki tasik, ia boleh menghasilkan gelombang yang melimpah keluar melalui empangan morain dan mengancam penduduk.

7. Glasier Khumbu (Nepal)

Ancaman: Runtuhan menara ais

Terletak di kawasan Gunung Everest dan merupakan salah satu kawasan paling berbahaya di laluan pendakian Everest.

Permukaan ais di kawasan itu sentiasa bergerak. Rekahan boleh terbentuk, blok ais gergasi atau permatang ais yang tajam boleh runtuh secara tiba-tiba. Ancaman Khumbu lebih bersifat langsung kepada kumpulan pendaki. Namun, perubahan iklim turut menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan ais dan persekitaran di kawasan tersebut.

8. Thulagi Tsho (Nepal)

Ancaman: GLOF

Ia merupakan satu lagi kawasan Himalaya yang diberi perhatian kerana potensi banjir akibat tasik glasier. Ancamannya berkait rapat dengan perkembangan tasik, kestabilan empangan morain dan kemungkinan runtuhan ais atau batu memasuki tasik. Walaupun GLOF bukan kejadian yang berlaku setiap masa, potensi limpahan tidak terkawal menjadikan kawasan seperti Thulagi penting untuk pemantauan awal.

9. Glasier Hubband (Alaska, AS)

Ancaman: Empangan ais dan banjir

Ia mempunyai satu ciri yang menjadikannya unik iaitu glasier ini boleh bergerak sehingga menghalang laluan air. Pada 1986, Hubbard menyekat Russell Fjord dan menyebabkan air terkumpul membentuk sebuah tasik besar. Ia menunjukkan bahawa glasier juga boleh berfungsi seperti empangan dan bukan hanya penyebab banjir.

10. Glasier Mendenhall (Alaska, AS)

Ancaman: Banjir GLOF

Berdepan ancaman yang semakin mendapat perhatian akibat banjir daripada Suicide Basin. Apabila air terkumpul melepasi kapasiti sistem semula jadi, ia boleh mengalir deras ke kawasan hilir dan menyebabkan banjir. Keadaan ini membuktikan bahawa bahaya glasier tidak semestinya datang dalam bentuk runtuhan ais yang dramatik. Kadangkala, ancaman terbesar bermula dengan sesuatu yang kelihatan lebih kecil iaitu air yang terkumpul di sebalik ais.

 

Banjir Nepal: Impian Mohd Sani Ke Everest Sejak Muda, Keluarga Harap Khabar Gembira​

9741db908c61dad0ba722af31079988e6a9cc884a6685

Kredit: Nor Azila Shaharuddin

Impian menjejakkan kaki ke Gunung Everest sejak muda membawa Mohd Sani Harul menyertai ekspedisi ke Kem Induk Everest (EBC) di Nepal, sebelum dilaporkan hilang dalam tragedi banjir di Rasuwa pada 26 Ogos lepas.

Isterinya Nor Azila Shaharuddin berkata minat mendalam Mohd Sani terhadap aktiviti pendakian mendorong Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu merealisasikan impiannya dengan mengunjungi EBC menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Suami saya ketika muda memang berminat dengan aktiviti pendakian tetapi di dalam Malaysia sahaja. Beliau pernah mendaki Gunung Kinabalu sebanyak tiga kali, selain Gunung Tahan dan Gunung Ledang.

“Beliau pernah berkata Gunung Everest ialah impian sejak muda. Jadi, beliau teringin untuk sampai sekali ke EBC walaupun hanya sekadar melawat menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nor Azila berkata Mohd Sani, 59, aktif dalam aktiviti pendakian sejak awal kerjayanya dan pernah menjadi ahli Rescue Climbers JBPM.

Beliau berkata komunikasi terakhir dengan suaminya adalah menerusi aplikasi WhatsApp pada 26 Ogos kira-kira 5 pagi waktu Malaysia atau 3 pagi waktu Nepal.

Menurut Nor Azila, Mohd Sani memaklumkan beliau akan bergerak ke sempadan Nepal-Tibet, perjalanan yang dijangka mengambil masa kira-kira lima jam dengan kenderaan sebelum bermalam di Gerung, China.

“Sepanjang berada di Nepal, beliau tidak mengaktifkan perkhidmatan perayauan antarabangsa (roaming), sebaliknya hanya menggunakan kemudahan WiFi yang disediakan pihak hotel untuk berhubung dengan keluarga,” katanya.

 

Pasukan SMART Tiba Di Nepal, Diberi Taklimat Sebelum Penugasan HADR​

92f594d1b9666db8bfb4b31a4435861a6a9ccb333f8f9

06f357af610c239bc1213c54637dcdce6a9ccb4cb027d

5ad7f8efb73c8578d6ad3ae49fdb40986a9ccb6c0f5e7

Kredit: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS01 yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke Nepal selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu pada 12 tengah hari waktu tempatan semalam.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan pasukan itu selesai menjalani proses ketibaan dan protokol misi pada 4.30 petang waktu tempatan, termasuk urusan pelepasan logistik serta pengesahan manifes anggota.

“Ketika kemas kini disampaikan, pasukan sedang bergerak ke Kedutaan Besar Malaysia di Nepal bagi menerima taklimat situasi semasa.

“Penyelarasan seterusnya akan dibuat bersama Kedutaan Besar Malaysia dan agensi pengurusan kecemasan tempatan bagi menentukan aturan penugasan pasukan,” menurut NADMA.

Agensi itu memaklumkan pelaporan harian misi akan diselaraskan antara NADMA dengan Kedutaan Besar Malaysia di Nepal sepanjang operasi dijalankan.

Agensi turut memaklumkan keseluruhan anggota pasukan berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang isu dilaporkan setakat kemas kini berkenaan diterima.

Media sebelum ini melaporkan 11 anggota dan pegawai SMART berlepas ke Nepal dengan menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara TUDM Subang pada 9 pagi semalam, dengan membawa peralatan mencari dan menyelamat (SAR) seberat 12.4 tan.

Peralatan itu antaranya kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, peranti teknologi seperti dron berkapasiti tinggi serta peralatan khas termasuk peralatan penyelamatan terowong, di samping sebuah kenderaan pacuan empat roda dan satu trak muatan 10 tan.

 
Back
Top
Log in Register