BTC USD 76,522.5 Gold USD 4,366.80
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Bencana Banjir Besar Landa Utara Nepal, Banyak Infrastruktur Rosak

Malaysia Tekad Tingkat Kerjasama Global Tangani Krisis Iklim - Anwar​

1b7e97424845f5671e2bdcee0c8cefdb6a9cf0e3cbce3

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) menyempurnakan Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikurtur Dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Turut sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (dua, kanan), Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin (kiri), Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (dua, kiri), dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak (kanan).

- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Malaysia akan terus memperkukuh hubungan diplomatik dengan kuasa besar dunia dan negara anggota ASEAN bagi memastikan kemajuan yang dicapai akhirnya memberikan manfaat langsung kepada rakyat, khususnya golongan petani, peladang dan pesawah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan baik dengan negara seperti Amerika Syarikat, China dan Australia adalah penting bagi memastikan Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yang stabil dan mampu membela nasib rakyatnya.

Beliau berkata cabaran global seperti krisis iklim kini memerlukan kerjasama antarabangsa yang lebih erat memandangkan kesannya telah mula mengancam sektor pertanian serta keterjaminan makanan.

Berkongsi perbincangan dengan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore baru-baru ini, Anwar berkata antara perkara yang dibincangkan ialah krisis iklim global, transisi tenaga oleh Malaysia serta situasi jerebu di Serian, Sarawak yang memaksa darurat diisytiharkan.

"Dunia ini tidak dapat sentiasa terkawal. Peningkatan krisis iklim seperti pencairan glasier di Himalaya yang menyebabkan banjir besar di Nepal sehingga meragut begitu banyak nyawa dan keselamatan bukan saja rakyat Nepal, tetapi termasuk rakyat Malaysia.

“Itu hal-hal yang kita tidak boleh duga. Tetapi, hal-hal yang mampu kita rancang dengan baik, kita harus lakukan. Sebab itu transisi tenaga kita lakukan. Kebergantungan pada bahan api fosil dan arang batu kita kurangkan,“ kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia kini giat memajukan laluan kabel dasar laut untuk menyalurkan tenaga boleh baharu hasil kerjasama dengan Vietnam dan Sarawak ke Johor serta Singapura, yang turut bakal memberikan manfaat kepada Sabah, Kalimantan dan Selatan Filipina.

Beliau berkata kepelbagaian sumber tenaga baharu itu akan diselaraskan dengan dasar peralihan tenaga bagi menyokong kemampanan sektor pertanian tempatan.

 

Banjir Nepal: 10 hari bertarung nyawa bawah timbunan lumpur​

3638389.webp

Shrestha (kiri) ditemui dalam keadaan lemah. - Foto Agensi

KATHMANDU — Pasukan penyelamat di Nepal sekali lagi berdepan detik ajaib apabila berjaya mengeluarkan seorang seorang wanita tempatan dan lelaki warga China dalam operasi berasingan pada Sabtu.

Mereka antara mangsa yang berjaya diselamatkan selepas 10 hari banjir dahsyat melanda negara itu dan misi diteruskan bagi menjejaki ribuan mangsa yang masih hilang.

Jurucakap tentera memaklumkan, Chandrika Shrestha, 64, ditemui masih hidup selepas rumahnya di daerah Nuwakot ditenggelami timbunan lumpur tebal.

"Mangsa telah diterbangkan ke Kathmandu untuk rawatan susulan," ujarnya.

Di terowong projek tenaga hidro Trishuli pula, seorang lagi pekerja dikenali sebagai Lu Haitao berjaya dibawa keluar hidup-hidup, sekali gus menjadikan tiga mangsa termasuk dua warga tempatan selamat setakat ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini memfokuskan 12 projek tenaga hidro di seluruh Nepal dengan kira-kira 900 pekerja masih hilang manakala 500 lagi dipercayai terperangkap di beberapa terowong.

Pasukan penyelamat khusus dari India, China, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) terus melakukan pencarian di celah runtuhan, struktur yang rosak serta terowong di projek-projek berkenaan dengan harapan menemui mangsa yang masih hidup.

Angka korban bencana itu telah mencecah 1,300 orang manakala lebih 5,000 lagi masih gagal dikesan. - Agensi

 

Banjir Nepal: Wanita ditemukan masih hidup selepas 10 hari terperangkap dalam rumah​

3639015.webp

Chandrika Shrestha, 64, berjaya diselamatkan dari kediamannya di daerah Nuwakot pada Sabtu. Foto: AFP

NUWAKOT - Seorang wanita Nepal ditemukan masih hidup selepas terperangkap selama 10 hari di dalam rumahnya yang tertimbus lumpur tebal dan timbunan serpihan akibat banjir besar yang melanda wilayah berkenaan.

Chandrika Shrestha, 64, berjaya diselamatkan dari kediamannya di daerah Nuwakot pada Sabtu, sekali gus mencetuskan kegembiraan dalam kalangan anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal yang terlibat dalam operasi tersebut.

Mangsa ditemui ketika anggota keselamatan sedang menjalankan kerja pembersihan di kawasan berkenaan sebelum dibawa keluar dari rumahnya dalam keadaan tubuh diselaputi lumpur.

Timbalan Penguasa Polis, Iqbal Hawari berkata, mangsa kemudian diterbangkan ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan.

“Pasukan polis menemuinya ketika mereka sedang membersihkan kawasan itu. Dia kemudian diterbangkan ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada AFP.

Rakaman video yang dikeluarkan Pasukan Polis Bersenjata Nepal menunjukkan hanya sebahagian rumah mangsa masih kelihatan, manakala bahagian bawah kediaman itu tenggelam sepenuhnya dalam lumpur tebal.

Terdahulu, pasukan kecemasan memaklumkan seorang lelaki warga China turut ditemukan masih hidup di dalam sebuah terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa, Nepal.

Kejayaan menyelamatkan kedua-dua mangsa itu memberi harapan kepada pasukan penyelamat yang terus bertungkus-lumus mencari mangsa terselamat sejak bencana dahsyat melanda kawasan sempadan China-Nepal pada 26 Ogos lalu.

Bencana itu berlaku selepas runtuhan glasier dan batuan mencetuskan gelombang besar air dan lumpur seakan-akan tsunami yang membadai kawasan berkenaan.

Pasukan tindak balas kecemasan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan ribuan mangsa yang masih hilang.

Menurut agensi pengurusan bencana kebangsaan Nepal, sebanyak 1,344 mayat telah ditemui di negara itu, manakala kira-kira 5,000 individu masih hilang.

Di China, media kerajaan melaporkan seramai 31 individu maut, manakala 531 lagi masih hilang.

Angka itu menjadikan keseluruhan korban di Nepal dan China seramai 1,375 orang, manakala lebih 5,500 lagi masih hilang. - AFP

 

Sembilan hari bergelut dengan maut dalam kegelapan​

3640013.webp

Anggota tentera membawa seorang pekerja yang terperangkap di dalam terowong ketika operasi menyelamat dijalankan di Projek Hidroelektrik Trishuli-3A di daerah Rasuwa, Nepal. Foto AFP

NUWAKOT, NEPAL - Dalam kegelapan pekat tanpa cahaya, Kabir Maharjan terumbang-ambing antara sedar dan tidak sedarkan diri selama sembilan hari, terperangkap di dalam sebuah terowong yang dipenuhi air berlumpur selepas bencana banjir terburuk Nepal dalam beberapa dekad.

Apabila akhirnya sedar di hospital selepas operasi menyelamat yang disifatkan sebagai keajaiban, Maharjan gagal mengenali isterinya.

Dalam keadaan keliru, dia bertanya mengapa isterinya tidak memberikannya katil lebih awal.

Maharjan merupakan antara ratusan pekerja loji hidroelektrik yang dipercayai tertimbus apabila sebuah glasier runtuh di atas Lembah Trishuli pada 26 Ogos lalu, mencetuskan gelombang lumpur dan air yang meragut lebih 1,300 nyawa serta menyebabkan ribuan lagi hilang di Nepal dan Tibet.

DIa bersama penyelia mekanikal, Sanjay Sah berjaya bertahan hidup di dalam satu ruang yang masih mempunyai bekalan udara, kata Ahli Parlimen Shri Ram Neupane yang juga jurutera terowong berpengalaman dan antara individu yang mengetuai operasi menyelamat.

Penyelamatan luar biasa kedua-dua mangsa itu memberi sinar harapan kepada pasukan penyelamat yang masih meneruskan pencarian di lokasi bencana, khususnya terhadap 121 pekerja yang dipercayai masih terperangkap dalam terowong sehingga Isnin.

Panggilan terakhir sebelum tragedi

Pada jam 7.30 pagi waktu tempatan hari kejadian, Maharjan menghubungi isterinya sebelum memulakan syif di Projek Hidroelektrik Upper Trishuli 3A.

Kira-kira sejam kemudian, sebuah glasier di Gunung Langtang Lirung, kira-kira 40 kilometer di hulu sungai, runtuh dan mencetuskan tanah runtuh besar yang membentuk gelombang air pemusnah.

Banjir berkenaan memusnahkan kampung-kampung dan menenggelamkan rangkaian 12 projek hidroelektrik yang ketika itu mempunyai hampir 900 pekerja.

Di Kathmandu, pegawai pihak berkuasa elektrik Nepal memantau bekalan kuasa projek-projek itu sebelum satu demi satu stesen hilang daripada skrin kawalan.

Pada mulanya, jurutera Nepal Electricity Authority, Suraj Dahal tidak terlalu cemas kerana banjir merupakan kejadian biasa di Nepal.

Namun situasi itu segera bertukar menjadi kecemasan besar.

Pada jam 9.15 pagi, hanya dua minit selepas isteri Maharjan gagal menghubunginya menerusi telefon, arahan terakhir dikeluarkan kepada pekerja di stesen 3A: "Kosongkan kawasan segera."

Sah yang bertugas di bilik kawalan sempat berlari dari satu aras ke aras lain bagi memberi amaran kepada rakan-rakan sekerja sebelum bencana melanda.

Di luar terowong, pekerja yang cuba melarikan diri gagal mengatasi kepantasan arus deras.

Rakaman video menunjukkan kira-kira 30 pekerja dihanyutkan oleh gelombang yang jauh lebih tinggi daripada tubuh mereka.

Perangkap menjadi penyelamat

Pasukan penyelamat kemudian mengenal pasti sebuah tangga kecemasan yang berpotensi menyelamatkan sebahagian besar pekerja sekiranya mereka mengetahui kewujudannya.

Bagaimanapun, dalam keadaan cemas dan kelam-kabut, kebanyakan pekerja tidak mengetahui laluan selamat untuk melarikan diri.

Daripada empat laluan masuk ke terowong, satu laluan sepanjang lebih 180 meter menuju ke stesen jana kuasa bawah tanah dipercayai telah ditenggelami air sepenuhnya.

Sebaliknya, perhatian tertumpu kepada sebuah terowong kabel yang lebih pendek dan condong ke atas, yang kurang terdedah kepada banjir.

Di situlah Maharjan dan Sah berlindung, hanya kira-kira 160 meter dari pintu keluar.

Sembilan hari dalam kegelapan

Poket udara yang menyelamatkan nyawa mereka akhirnya menjadi penjara.

Sepanjang sembilan hari itu, Sah dilaporkan mengalunkan doa-doa Hindu bagi menguatkan semangatnya.

Maharjan pula bertahan dengan meneguk air berlumpur yang sama digunakan sebagai tempatnya berehat.

Ketika pertama kali mendengar berita banjir, isteri Maharjan, Hira Shova Maharjan menyangka suaminya berada di kawasan yang selamat.

Dia segera menghubungi telefon suami, rakan sekerja dan sesiapa sahaja yang mungkin mengetahui nasib Maharjan, namun, tiada panggilan yang dijawab.

Apabila pihak berkuasa menunjukkan gambar lokasi pintu masuk yang sudah bertukar menjadi tebing sungai kosong, Maharjan mula hilang harapan.

"Jauh di sudut hati, saya mula merasakan tiada lagi harapan," katanya.

Namun, di hadapan dua anak lelaki mereka yang berusia 15 dan 10 tahun, dia tetap berusaha menunjukkan ketabahan.

Pihak berkuasa percaya masih terdapat poket udara dalam runtuhan yang mungkin membolehkan mangsa terus hidup.

Walaupun lebih 7,500 rumah musnah di seluruh lembah, tapak Upper Trishuli 3A diberi keutamaan kerana struktur bertingkat loji itu dipercayai mampu memerangkap ruang udara.

Namun begitu, operasi menyelamat berdepan pelbagai cabaran.

Tanah yang terlalu tepu dengan air menyebabkan jentera berat tidak boleh digunakan dengan segera.

Pasukan penyelamat terlebih dahulu terpaksa membina platform stabil sebelum kerja-kerja penggalian dapat dimulakan.

Penggalian serius hanya bermula tiga hari selepas bencana berlaku.

Kesemua empat terowong tertimbus lumpur, batu-batan, kayu dan serpihan runtuhan setinggi antara 15 hingga 30 meter.

Mereka kemudian menggunakan teknik penggerudian, letupan terkawal dan jentera berat untuk membuka laluan sedikit demi sedikit.

Hujan berterusan menambahkan kesukaran apabila lubang yang digali kembali dipenuhi air dan lumpur dalam masa singkat.

Pada malam sebelum kedua-dua mangsa ditemukan, pasukan penyelamat menemui halangan besar berupa timbunan lumpur yang sukar dialihkan.

Mereka kemudian memanfaatkan saluran semula jadi dan menggunakan pancutan air bertekanan tinggi untuk membersihkan laluan.

Bagaimanapun, hujan sekali lagi menyebabkan runtuhan kecil yang turut memerangkap beberapa anggota penyelamat.

Operasi tergendala selama beberapa jam sebelum kerja diteruskan semula.

Pada jam 4 pagi hari ke-10 operasi, Dahal menerima panggilan daripada pengendali jentera berat.

Pasukan di lokasi mendengar satu bunyi.

Mungkin suara mangsa. Mungkin juga gema suara mereka sendiri.

"Kami akan menjerit, 'Di mana kamu? Adakah kamu masih hidup?'" kata ketua pasukan penyelamat, Ganga Baral.

Mereka masih tidak dapat mengenal pasti perkataan yang diucapkan, namun yakin sumber bunyi itu berada hanya 15 hingga 20 meter dari lokasi mereka.

Tidak lama kemudian, dalam pancaran lampu, mereka terlihat lambaian tangan.

Selepas beberapa meter lagi laluan berlumpur dibersihkan, tentera berjaya membuka sebuah lubang kecil sekitar jam 7 pagi.

Dari dalam, kedengaran satu ungkapan ringkas:

"Hunuhuncha" atau "kami berada di sini."

Kembali ke pangkuan Keluarga

Ketika berjaya dikeluarkan, kedua-dua mangsa sudah terlalu lemah untuk berdiri.

Sah yang dipenuhi lumpur terpaksa didukung keluar oleh anggota penyelamat, namun, masih mampu mengangkat tangan ke arah kamera.

Maharjan yang mengalami kecederaan lebih serius dibawa keluar menggunakan pengusung.

"Saya tidak dapat menahan air mata," kata Dhakal yang mengetuai operasi dari luar terowong.

Keesokan harinya, seorang lagi pekerja warga China, Lu Haitao, ditemui hidup di dalam terowong projek hidroelektrik Upper Trishuli-1 yang berasingan.

Di hospital, doktor menjalankan pembedahan pada luka serius yang dijangkiti kuman di kaki Maharjan.

Ketika isterinya memasuki bilik rawatan, dia masih tidak mengenali wanita yang berdiri di hadapannya.

"Di mana saya?" tanya Maharjan.

Namun bagi Hira Shova, satu perkara sahaja yang penting.

Suaminya kembali hidup.

"Dia dikurniakan peluang kedua untuk hidup." - Agensi/ AWANI

 

Pasukan SMART Bina Pangkalan Hadapan Di Dhunche, Guna Dron Tinjau Kawasan Terjejas​

f2ebbcae42e85f64700b85bbd1aa66a568c2acd814700

Gambar fail

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) hari ini selamat tiba di Dhunche, Nepal bagi membangunkan pangkalan hadapan dan memulakan operasi tinjauan udara menggunakan dron di kawasan terjejas bencana.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Sokongan Berpangkalan di Tanah Air (HBST) MAS01 SMART Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 10 anggota diketuai Inspektor Abdullah Ahmad Sobri berlepas ke destinasi itu menggunakan helikopter MI-17.

Kenyataan itu memaklumkan pasukan berkenaan bertolak dari Markas Taktikal Tentera Nepal di Trishuli pada 1 petang waktu Malaysia dan tiba di Dhunche kira-kira 45 minit kemudian.

“Dhunche adalah kawasan yang dijadikan pangkalan hadapan taktikal untuk pengurusan operasi bencana di kawasan Rasuwa meliputi Timure, Syafrubesi, Dhunche dan Mailung.

“Setibanya di lokasi, Pasukan SMART membangunkan pangkalan hadapan sebagai lokasi persediaan dan penginapan sementara sekiranya keadaan operasi memerlukan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan perancangan operasi hari ini menumpukan kepada aktiviti cerapan dron yang dipecahkan kepada dua kumpulan meliputi empat sektor kawasan antara Syafrubesi dan Timure.

Operasi melibatkan gabungan anggota SMART dan Angkatan Tentera Nepal itu bagaimanapun berdepan cabaran berikutan keadaan cuaca hujan hampir setiap hari yang mengekang usaha penerbangan dron di lapangan.

Sehubungan dengan itu, Pasukan SMART sentiasa meneliti kaedah paling sesuai bagi memastikan pengumpulan data foto udara dapat dilaksanakan secara optimum sebelum ia dianalisis bagi menyokong perancangan operasi seterusnya.

Pada Sabtu lepas, Pasukan SMART MAS01 yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana tiba di Kathmandu dengan menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Semua Maklumat Banjir Nepal, Operasi SMART Hanya Melalui Wisma Putra - NADMA​

4abaa87eb6b5dd18b9ea0ef191667fbf6a9bdc352a95c

Seramai 11 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal dari Pangkalan Udara Subang pada jam 9 pagi, hari ini.

Pasukan tersebut diterbangkan menggunakan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terjejas akibat bencana banjir serta tanah runtuh di negara berkenaan.


Semua kenyataan media rasmi berhubung kejadian banjir di Nepal, termasuk penglibatan dan perkembangan operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) hanya akan dikeluarkan melalui Wisma Putra bagi tujuan penyelarasan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama dengan Wisma Putra dengan menyalurkan maklumat operasi yang telah disahkan dari semasa ke semasa untuk disampaikan melalui satu saluran rasmi sahaja.

“NADMA menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan penyampaian maklumat dilaksanakan secara konsisten, teratur dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Semalam, SMART dilaporkan selamat tiba di Dhunche, Nepal bagi membangunkan pangkalan hadapan dan memulakan operasi tinjauan udara menggunakan dron di kawasan terjejas bencana.

Pada Sabtu lepas, Pasukan SMART MAS01 yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana tiba di Kathmandu dengan menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pasukan berkenaan turut membawa kelengkapan mencari dan menyelamat (SAR) seberat 12.4 tan, termasuk dron berkapasiti tinggi, sistem komunikasi dan peralatan penyelamatan terowong bagi melancarkan operasi di negara yang dilanda banjir besar itu.

 

JIM Tahan 325 Warga Asing Di Putrajaya​

e6cc5d3fcaea2f11c1f2a758d41c36c36aa12d19187a2

Kredit: FB Jabatan Imigresen Malaysia

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 325 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan pangsapuri di sini, awal pagi tadi.

JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi dilakukan susulan aduan dan maklumat awam berhubung kehadiran warga asing yang tinggi di lokasi berkenaan.

“Operasi yang melibatkan 127 pegawai JIM Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara itu dilaksanakan hasil risikan serta pemantauan berdasarkan maklumat diterima,” menurut kenyataan itu, hari ini.

JIM memaklumkan sebanyak 740 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 325 daripadanya ditahan, terdiri daripada 270 lelaki dan 55 perempuan berusia antara 18 hingga 56 tahun merangkumi warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Thailand.

Antara kesalahan dikenal pasti adalah tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan berkaitan.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

Menurut kenyataan itu, JIM akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi membanteras pendatang asing serta penyalahgunaan pas dan kemudahan imigresen.

JIM turut mengingatkan majikan dan pemilik premis supaya memastikan setiap warga asing yang digaji mempunyai dokumen serta pas yang sah dan mematuhi syarat ditetapkan.

“Tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menggaji, melindungi atau membantu warga asing yang melakukan kesalahan imigresen.

 

Isteri Pegawai Bomba Hilang Di Nepal Harap Doa Rakyat Malaysia Iringi Operasi SMART​

6663ab0a56c6797a49a42237b4440c9b6aa293a448e8f

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim bergambar kenangan pada majlis pelepasan Pasukan Mencari dan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal di Pangkalan Udara Subang. Seramai 11 anggota dan pegawai Pasukan SMART berlepas ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di negara itu. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selepas hampir dua minggu berada di Nepal menanti khabar suaminya yang masih hilang dalam tragedi banjir di Rasuwa, Hani Othman terus mengharapkan doa rakyat Malaysia mengiringi usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di negara itu.

Hani, yang kini memasuki hari ke-13 di Nepal bagi mengikuti perkembangan usaha mencari suaminya, Pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, berkata beliau masih belum menerima perkembangan terbaharu daripada Wisma Putra berhubung pencarian suaminya.

“Saya berharap rakyat Malaysia terus berdoa untuk suami saya dan supaya usaha operasi SMART berjalan lancar. Saya yakin dengan kemampuan pasukan SMART dan saya tidak akan ke lokasi pasukan SMART berada kerana perlu menyelesaikan urusan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hani berkata beliau juga masih belum dapat memastikan tempoh untuk pulang ke Malaysia kerana masih mempunyai beberapa urusan yang perlu diselesaikan.

Dalam pada itu, beliau berkata abang kepada Mohd Fakhrul Munir telah memberikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) di Malaysia bagi membantu proses pengecaman sekiranya diperlukan pihak berkuasa.

Mohd Fakhrul Munir, 44, atau mesra disapa Loe, dilaporkan hilang bersama lapan lagi rakyat Malaysia selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dalam ekspedisi pendakian ke Everest Base Camp (EBC) dipercayai terjejas akibat banjir ketika melalui sebuah lembah di Rasuwa pada 26 Ogos lepas.

Turut berada dalam kumpulan itu Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Sani Harul, 59, bersama tujuh lagi rakyat Malaysia serta seorang warga Nepal.

Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.

 
Back
Top
Log in Register