Belanjawan 2020 ‘berpusatkan Malaya’, kata menteri Sarawak
October 12, 2019 8:15 AM
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr Sim Kui Hian. (Gambar Bernama)
KUCHING: Seorang menteri Sarawak berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janjinya kepada rakyat Sarawak, menggambarkan Bajet 2020 sebagai “berpusatkan Malaya”.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Dr Sim Kui Hian berkata Sabah dan Sarawak hanya menerima 17.1% daripada jumlah peruntukan RM56 bilion untuk pembangunan.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu berkata Sabah menerima RM5.2 bilion manakala Sarawak menerima hanya RM4.4 bilion daripada Belanjawan 2020.
“Putrajaya, selama ini memperoleh RM660 bilion daripada minyak dan gas kami, sejak pembangunan Petronas pada 1974.”
Sim yang juga Adun Batu Kawa, berkata dalam Belanjawan 2020, Sabah dan Sarawak hanya menerima RM783 juta untuk membaiki sekolah yang usang.
“Sarawak mempunyai lebih 1,000 sekolah usang, bukan ratusan,” katanya, sambil menambah peruntukan yang disediakan kerajaan persekutuan tidak mencukupi.
Dalam Belanjawan 2017, beliau berkata kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM1 bilion untuk Sabah dan Sarawak masing-masing selama dua tahun, tetapi kini kerajaan Sarawak perlu membayar hutang RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan terlebih dahulu untuk membaiki sekolah yang usang di negeri itu.
Beliau berkata rakyat Sarawak hanya mahukan peruntukan yang adil supaya mereka juga dapat menikmati perkhidmatan dan kemudahan yang lebih baik, dari segi kemudahan perubatan, sekolah dan jalan raya.
Selain itu, Sim berkata Sarawak juga kekurangan hospital dengan pakar dan jika ada pun, ia terletak sangat jauh dari kampung-kampung.
“Pesakit (dari kawasan luar bandar) perlu melakukan perjalanan yang jauh dan perlu membayar kos pengangkutan mereka sendiri.
“Mereka (kerajaan persekutuan) gagal menyediakan pembangunan yang diperlukan rakyat Sarawak dan sudah tiba masanya bagi mereka memberikan kami autonomi supaya kami dapat meneruskan tugas-tugas raksaksa yang diperlukan dengan segera.”
Jiran miskin
Sementara itu, Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) Dominique Ng menyifatkan jumlah peruntukan yang diberikan kepada Sarawak sebagai “kacang tanah” berbanding jumlah pendapatan yang banyak yang diperoleh daripada minyak dan gas negeri serta cukai.
“Sarawak sentiasa dianggap dan dilayan sebagai jiran miskin yang dijajah.
“Mahu tidak mahu sumber-sumber kami diambil dan kami hanya diberi sedikit pulangan walaupun mereka (kerajaan persekutuan) tahu betapa mundurnya pembangunan kami.
“Kami tidak pernah dilayan dengan betul dan tidak akan dilayan, sehingga kami memperoleh kemerdekaan kami. Biarkan rakyat Sarawak mengawal sumber kami sendiri dan kami tidak patut membiarkan Putrajaya menentukan berapa banyak wang diberikan kepada kami,” katanya kepada FMT.
Peruntukan meningkat
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya Baru Bian mengambil keputusan yang berbeza berhubung Belanjawan 2020, menyatakan jumlah peruntukan yang diterima Sarawak menunjukkan peningkatan berbanding dengan Belanjawan 2019.
“Saya percaya ia perlu dilakukan dalam kapasiti kerajaan hari ini.
“Paling penting, semua projek persekutuan akan dilaksanakan dengan baik kerana tidak ada gunanya kita mengisytiharkan sejumlah besar projek tetapi tidak ada satu pun yang dilaksanakan.
“Anda perlu munasabah dan, pada masa yang sama, bertanggungjawab terhadap Sabah dan Sarawak,” katanya.
Bahkan, Baru berkata ia telah dibangkitkan di Kabinet Persekutuan bahawa setiap kementerian perlu memberi perhatian khusus kepada negeri Borneo dengan apa pun peruntukan yang diberikan kepada kementerian.
“Saya sangat gembira dengan peruntukan yang diberikan (kepada Sabah dan Sarawak),” katanya.
Beliau berkata kerajaan sekarang “mendengar” suara rakyat di Sabah dan Sarawak dan menyedari kekurangan pembangunan di negeri itu.
“(Belanjawan 2020) ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan bertanggungjawab dan ia terbukti apabila kita benar-benar memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii berkata beliau percaya terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam belanjawan, terutamanya dalam menangani ketidakseimbangan pembangunan wilayah di Malaysia dan untuk membantu Sarawak “mengejar” banyak aspek dan menikmati sepenuhnya Kemakmuran Bersama Wawasan 2030.
“Walaupun kami mengakui terdapatnya kekurangan pembangunan disebabkan oleh salah urus sejak 50 tahun lalu tidak dapat ditangani walaupun dalam beberapa tahun, lebih banyak peruntukan, terutamanya berkaitan dengan lebih banyak pembangunan di kawasan luar bandar, masih diperlukan.”
Yii juga berkata geran khas untuk Sabah dan Sarawak, di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan, tidak pernah dikaji semula sejak 1969 di bawah pentadbiran terdahulu.
“Kerajaan PH menggandakan geran khas itu kepada RM32 juta untuk 2020 dan akan meningkatkannya lagi kepada RM64 juta dalam tempoh lima tahun akan datang untuk Sarawak.
“Saya akan tekankan peruntukan yang lebih tinggi di bawah Perlembagaan Khas Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan serta mendapatkan maklumat terkini mengenai rundingan antara perdana menteri dan ketua menteri mengenai hak kami untuk minyak dan gas dan sumber semula jadi kami,” katanya.
Sabah dan Sarawak hanya menerima 17.1% daripada jumlah peruntukan RM56 bilion untuk pembangunan.
www.freemalaysiatoday.com