BTC USD 75,701.6 Gold USD 4,338.70
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Azam Baki: Pemimpin perangi rasuah perlu berani buat keputusan sukar

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,150
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,150
Reaction score
346
Points
141
510b404919c1bd8531bc4aba2a8690f0.jpg

0de374ed69e1a5eab71765ad519d86c2.jpg

403bc7b9b43134c3d339801398572b68.jpg

d9e1b99d924558749c63eb648af0e45c.jpg

65e48298e441b34a90195d35d8ebc5b2.jpg


Kepimpinan dalam agensi penguatkuasaan memerlukan keberanian serta kesediaan membuat keputusan sukar tanpa menghiraukan kritikan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Azam berkata sepanjang lebih empat dekad berkecimpung dalam bidang penguatkuasaan antirasuah, beliau menyedari tugas itu menyebabkan seseorang mempunyai lebih ramai musuh berbanding rakan.

“Kalau kita mahu selamat, jangan buat apa-apa, tetapi apabila berada dalam agensi penguatkuasaan, kita perlu berani membuat keputusan walaupun dikritik,” katanya dalam pertemuan eksklusif bersama pengamal media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Azam yang bakal menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei ini berkata pengalaman sejak menyertai SPRM pada 1984 banyak membentuk perjalanan kerjayanya melalui proses pembelajaran berterusan, perkongsian maklumat serta pendedahan dalam operasi dan pentadbiran.

“Visi itu penting. Kalau tiada visi, lebih baik jangan jadi pemimpin,” kata Azam yang menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984 dan memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sejak 9 Mac 2020.

Azam berkata antara cabaran terbesar dalam bidang penguatkuasaan ialah memastikan siasatan dan tindakan penguatkuasaan terus berkesan dalam menangani bentuk rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang semakin kompleks.

“Tiada organisasi di dunia yang bebas daripada masalah termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Akan sentiasa ada isu melibatkan kartel, salah guna kuasa dan kelemahan sistem, yang penting ialah bagaimana masalah itu ditangani secara konsisten,” katanya.

Beliau turut mempertahankan tindakan SPRM menjalankan siasatan terhadap tokoh politik berprofil tinggi termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menegaskan siasatan dijalankan berdasarkan maklumat sah dan prosedur yang betul walaupun menerima kritikan umum.

“Tidak pernah dalam sejarah Malaysia sejak SPRM dikenali sebagai BPR, kami menyiasat seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, sebab itu ada pihak yang tidak senang dengan pendekatan diambil...tetapi prinsip saya mudah, siapa yang bersalah mesti didakwa tanpa mengira kedudukan,” katanya.

Azam berkata aspek akauntabiliti tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab penguatkuasaan kerana setiap pelantikan datang bersama amanah yang tidak boleh dielakkan atau diserahkan kepada pihak lain.

“Apabila seseorang diberi jawatan, tanggungjawab datang bersama pelantikan itu, tidak boleh ada budaya mengelak tanggungjawab,” katanya.

Mengenai usaha memperkukuh siasatan rasuah, Azam berkata SPRM kini memerlukan pendekatan lebih proaktif berasaskan risikan terutama membabitkan kes melibatkan rangkaian terancang dan individu berprofil tinggi.

Beliau berkata siasatan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada aduan orang ramai, sebaliknya memerlukan pengumpulan risikan, rangkaian maklumat dalaman serta kerjasama strategik antara agensi.

Katanya siasatan kes rasuah selalunya lebih sukar berbanding jenayah konvensional kerana melibatkan kumpulan kecil yang saling melindungi antara satu sama lain.

“Jenayah rasuah sering berlaku dalam kumpulan kecil yang melindungi sesama sendiri, menyebabkan ia lebih sukar dikesan berbanding jenayah seperti rompakan atau kecurian, ada kes yang berlarutan selama bertahun-tahun tanpa dapat dikesan secara langsung,” katanya.

Beliau turut menyeru kerjasama lebih meluas melibatkan golongan profesional daripada pelbagai bidang termasuk perakaunan, kejuruteraan, perubatan dan perundangan bagi memperkukuh siasatan serta meningkatkan keupayaan analisis.

“Setiap latar belakang membawa perspektif dan kepakaran berbeza yang boleh membantu menjadikan siasatan lebih berkesan,” katanya.

- Bernama

 
Back
Top
Log in Register