kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Anwar Terima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menerima "Sheikh Abu Bakar Foundation Excellence Award" daripada Mufti Agung India Sheikh Abubakr Ahmad (dua, kanan) pada majlis "Gathering of Honour Prime Minister Malaysia" serta majlis ilmu di Markazu Saquafathi Sunniya yang juga dikenali sebagai Jamia Markaz.
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar, yang julung-julung kali dianugerahkan sebagai pengiktirafan terhadap khidmat awam beliau selama lebih lima dekad serta sumbangannya dalam bidang pendidikan, keilmuan Islam, pembangunan institusi, dialog antarabangsa dan kesejahteraan manusia.
Anugerah itu disampaikan oleh Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad pada majlis “Gathering of Honour Prime Minister Malaysia” di Markazu Saquafathi Sunniya, yang turut dikenali sebagai Jamia Markaz, di sini.
Perdana Menteri turut menerima plak dan manuskrip Sahih Bukhari.
Pengiktirafan itu disampaikan semasa lawatan Anwar ke Jamia Markaz, antara institusi Islam terkemuka di India, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi beliau ke India, yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India serta meneroka kerjasama dalam bidang baharu.
Dalam petikan penghargaan yang dibacakan pada majlis itu, Rektor yayasan berkenaan Dr Roshan Nurani berkata Anwar telah memperlihatkan ketabahan, visi serta komitmen berterusan terhadap dialog, pembangunan yang saksama, pendidikan dan martabat manusia sepanjang penglibatan dalam perkhidmatan awam.
Beliau berkata sumbangan Anwar tidak terhad kepada bidang politik, khususnya menerusi usaha beliau memelihara dan menyebarluaskan tradisi keilmuan Islam.
“Maka dengan ini, Yayasan Sheikh Abu Bakar menganugerahkan Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar yang pertama kepada Anwar Ibrahim.
“Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam perkhidmatan awam, pendidikan, pembangunan ekonomi dan institusi, pemikiran Islam serta dialog antarabangsa, di samping menghargai dedikasi untuk membentuk masyarakat melalui ilmu, kepimpinan dan kemanusiaan,” katanya.