combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Anugerah MIHAS 2026 Bakal Iktiraf Kecemerlangan, Inovasi Dan Kelestarian
Foto kredit: MIHAS 2026
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) membuka permohonan bagi Anugerah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, dengan mempelawa pempamer yang layak untuk mengemukakan penyertaan sebelum 10 Ogos.
Dalam kenyataan hari ini, MATRADE memaklumkan Anugerah MIHAS diadakan bagi mengiktiraf pempamer MIHAS 2026 yang menampilkan pencapaian cemerlang dalam pertumbuhan perniagaan, kecemerlangan produk dan perkhidmatan, inovasi, kelestarian serta transformasi digital, sambil menyumbang kepada kemajuan berterusan dalam industri halal global.
Pada tahun ini, sebanyak 15 anugerah bakal disampaikan merentas tiga kategori utama, iaitu Anugerah Kecemerlangan MIHAS, Anugerah Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan MIHAS, serta WiEX @ MIHAS (Anugerah Wira Ekonomi Wanita).
“Anugerah Kecemerlangan MIHAS mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam kategori Kecemerlangan Produk, Kecemerlangan Perkhidmatan dan Bintang Baharu, manakala Anugerah Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan MIHAS mengiktiraf pempamer yang berjaya memanfaatkan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT), blockchain dan penyelesaian digital lain untuk memacu inovasi, kecemerlangan operasi, kelestarian dan pertumbuhan perniagaan jangka panjang.
“WiEX @ MIHAS pula mengiktiraf perniagaan yang diketuai wanita dalam kategori produk, perkhidmatan serta inovasi, kelestarian dan pendigitalan,” menurut MATRADE.
Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata anugerah berkenaan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan piawaian industri serta mengiktiraf syarikat yang berfikir ke hadapan demi membentuk masa depan perdagangan halal.
“Anugerah MIHAS menjadi lambang kecemerlangan dalam industri halal global, mengiktiraf perniagaan yang sentiasa meningkatkan tahap melalui inovasi, daya tahan dan pertumbuhan lestari.
“Seiring dengan perkembangan ekonomi halal melangkaui sektor tradisional, syarikat mesti mengutamakan inovasi, kelestarian dan pendigitalan untuk kekal relevan serta berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata pada tahun ini anugerah berkenaan memberikan penekanan yang lebih besar terhadap perniagaan berorientasikan masa depan yang mengamalkan transformasi digital, kelestarian dan teknologi baharu untuk mencipta nilai berkekalan.