BTC USD 83,981.1 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Al-Qur'an & Hadits: Bab: Bulan Hijriyah ke-9: Ramadhan

IMG_20240328_101207_402.jpg


❇️HADIS HARI INI❇️

Puasa adalah separuh daripada iman

Daripada seorang lelaki daripada Bani Sulaim; Rasulullah SAW bersabda: "Puasa adalah separuh daripada iman dan suci separuh daripada iman."
- HR Ahmad-
 
Ramadan Bulan al-Quran

Maqasid nuzul Al-Quran (tujuan penurunan al-Quran) bukan sekadar untuk dibaca semata-mata walaupun membacanya merupakan ibadah yang diberi ganjaran oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan oleh nabi SAW:
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi (2835)]

Turunnya Al-Quran adalah sebagai petunjuk dan panduan untuk diikuti dan diamalkan oleh manusia agar sejahtera dunia Dan akhirat.

Allah SWT nyatakan dalam Al-Quran:

شَهرُ رَمَضانَ الَّذي أُنزِلَ فيهِ ٱلقُرءَانُ هُدًى لِّلنّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الهُدىٰ وَالفُرقانِ ۚ

Maksudnya: "Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran dimana al-Quran itu menjadi petunjuk kepada manusia dan yang menerangkan tentang pertunjuk dan pembeza antara hak dan batil" (al-Baqarah: 185)

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia agar memahami, memerhati, menyelidiki serta mentadabbur, antaranya ialah sepotong ayat yang bermaksud:

كِتَٰبٌ أَنزَلْنَٰهُ إِلَيْكَ مُبَٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ

Maksudnya: “Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.” (Sod: 29).

Selamat meneruskan budaya menghidupkan al-Quran pada bulan Ramadan yang mulia ni!

#NuzulQuran

 
Manusia, Al-Quran dan Ramadan

Tahukah kita siapakah sebaik-baik manusia? Adakah kita tergolong dalam kalangan sebaik-baik manusia?

Pelbagai kriteria dan ciri boleh kita sebut yang menunjukkan seseorang itu terbaik. Mari kita lihat siapakah sebaik-baik manusia menurut Rasulullah SAW dalam hadis baginda.

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Sebaik-baik kamu adalah sesiapa yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (HR Bukhari no. 5027).

Al-Quran adalah firman Allah SWT bersifat mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang tertulis dalam mashaf, disampaikan secara mutawatir dan berpahala ibadah apabila membacanya. Al-Quran juga adalah sumber utama hukum syariat Islam serta panduan hidup yang mengandungi keterangan petunjuk serta penjelasan yang benar dan salah. Firman Allah SWT:

هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ

(Al Quran) sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). (al-Baqarah, 185).

Ibn Kathir menjelaskan hadis ini bertujuan menjelaskan sifat-sifat orang Mukmin yang meneladani para rasul untuk memberikan manfaat kepada diri mereka dan melebar manfaatnya kepada orang lain yang mengikutinya (Fadail al-Qur’an, 1/126) melalui mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.

Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa orang yang belajar al-Quran mendapat kebaikan walaupun tidak mengajarkannya. Namun, orang yang belajar al-Quran dan kemudian mengajarkannya kepada orang lain akan mendapat kebaikan lebih banyak kerana mendapat manfaat sebagai (guru) yang diikuti (Fath al-Bari, 9/76).

Hadis ini juga menjelaskan kemuliaan dan kelebihan bagi mereka yang mempelajari al-Quran. Bagi mereka yang telah belajar dan berkemampuan, mereka dituntut mengajarkannya pula kepada orang lain. Belajar al-Quran adalah dengan maksud mempelajari cara bacaan terutama secara musyafahah, memperbetulkan sifat huruf dan makhraj serta bertajwid bagi mencapai bacaan yang tartil.

Mereka yang tidak tahu membaca al-Quran, wajib mempelajarinya walaupun sudah berusia tanpa rasa malu.

Setelah berilmu, dituntut pula menjadi guru al-Quran kerana banyak ganjaran pahala bagi ilmu yang dimanfaatkan, lebih-lebih lagi ilmu al-Quran yang sentiasa dibaca oleh murid.

Kita juga dituntut bertadabbur dengan merenungi ayat al-Quran, memahami dan mengamalkan isi kandungannya. Jika mempunyai kemampuan, hafaz dan belajarlah ilmu-ilmu al-Quran, antaranya tafsir, asbab al-nuzul, nasikh mansukh dan sebagainya.

Al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan adalah kitab hidayah, justeru jangan biarkan sebagai hiasan rak rumah dan masjid sahaja. Bergeraklah kita menjadi umat Muhammad yang terbaik di muka bumi ini dengan mempelajari, membaca dan menghayati al-Quran.

Terdapat hadis lain yang menjelaskan kelebihan ahli al-Quran, antaranya diangkat darjat di sisi Allah SWT serta pemberi syafaat pada hari akhirat kelak. Kelebihan bukan hanya untuknya sahaja malah untuk kedua ibu bapanya.

Daripada Buraidah al-Aslamiy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَيْنِ لَا يُقَوَّمُ لَهُمَا أَهْلُ الدُّنْيَا فَيَقُولَانِ : بِمَ كُسِينَا هَذِهِ فَيُقَالُ : بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : اقْرَأْ وَاصْعَدْ فِي دَرَجَةِ الْجَنَّةِ وَغُرَفِهَا فَهُوَ فِي صُعُودٍ مَا دَامَ يَقْرَأُ هَذًّا كَانَ أَوْ تَرْتِيلًا

“Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia.

Lalu mereka bertanya: “Mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?”. Allah menjawab: “Kerana anak kamu mempelajari al-Quran?”. Kemudian dikatakan kepadanya: “Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya”. Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat al-Qur’an)”. [Riwayat Ahmad, 38/42, no. Hadith 22950] al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan sanad hadis ini hasan.

Mari kita jadikan Ramadan kali ini sebagai bulan al-Quran dengan banyak membaca, menghayati dan mengajarnya.

 
Amalan 10 Malam Terakhir Ramadan

Setiap kita sudah pasti berazam untuk memperbanyakkan amal ibadah bagi mencari kelebihan lailatul Qadr. Sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْـرٍ﴿٤﴾ سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Maksud: “Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr: 3-5)

Antara kelebihan malam Qadar ialah:

1. Lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.

2. Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.

3. Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.

4. Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga terbit fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain” Riwayat Ahmad

Antara perkara yang boleh dibuat pada 10 malam terakhir ini;

1. Solat berjamaah Maghrib, Isya dan Subuh sebaiknya di Masjid.

2. Menghidupkan malam dengan Solat Tarawih, Solat Tahajud dan solat Witir. Jika dapat, solat sunat tasbih juga.

3. Sedekah pada setiap malam.

4. Banyakkan membaca al-Quran.

5. Memperbanyakkan doa, antaranya:

اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عنا

(Ya Allah sesungguhnya Engkau maha pengampun lagi maha mulia , Engkau suka kepada pengampunan maka ampunilah kami).

6. Memperbanyakkan istighfar, tasbih dan selawat.

7. Menjauhkan diri daripada perkara tidak bermanfaat seperti melihat filem, drama, atau bermain games.

8. Memberi makanan kepada orang berbuka puasa.

9. Beriktikaf.

JOM merebut peluang Ramadan kali ini. Mungkinkah ia Ramadan terakhir buat kita!

 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Daripada Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggalan baginda. (Sahih Bukhari No: 1922) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Iktikaf ialah tetap tinggal di dalam masjid dengan niat beriktikaf dan bertujuan beribadat kepada Allah

2. Mengikut Imam Syafie, iktikaf boleh dilakukan sekadar masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat. Imam Maliki mensyaratkan iktikaf sekurang-kurangnya sehari semalam dan yang paling baik ialah tidak kurang daripada 10 hari

3. Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah SAW ialah sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan. Baginda melaksanakan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.

4. Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW yang dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Dr Wahbah Zuhaili menyatakan: “Sungguh pelik manusia, bagaimana mereka boleh meninggalkan iktikaf?. Rasulullah SAW melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi baginda tidak meninggalkan iktikaf sehinggalah baginda wafat”.

5. Amalan beriktikaf adalah sebahagian daripada cara mengimarahkan masjid. Pengimarah masjid adalah tanda orang beriman. Firman Allah:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (At-Taubat: 18),.

6. Ayuh kita berazam untuk bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ini dengan pelbagai amal soleh. Antaranya dengan memastikan amalan iktikaf di masjid, datang awal untuk solat fardhu di masjid, menjaga solat fardhu maghrib, isya dan subuh berjemaah di masjid, Bersama imam solat terawikh dan witir sehingga selesai, perbanyakkan bersedekah, membaca al-Quran, berzikir, berdoa memohon keampunan dan sebagainya.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

31hb Mac 2024
20hb Ramadan 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Memburu Lailatul Qadar Sepuluh Malam Terakhir Ramadan

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَيَقُولُ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Daripada Aisyah Radliallahu 'anha berkata: Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan dan bersabda: "Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam yang akhir dari Ramadan". (Sahih Bukhari No: 1916) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW menyuruh beriktikaf pada 10 malam terakhir dari Ramadan untuk memburu lailatul Qadr.

2. Bersungguh beramal pada 10 malam terakhir Ramadan untuk memperoleh lailatul Qadar yang ganjaran amalan pada malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan atau lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)

"malam kemuliaan (lailatul Qadr) itu lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr: 3).

3. Sepatutnya kita tidak hanya memilih malam-malam tertentu untuk memburu lailatul Qadar kerana tidak ada satu tarikh yang tepat dan ia dirahsiakan untuk menjadi pendorong kepada kita mencarinya pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

4. Bangunkan ahli keluarga kita untuk bersama merebut peluang bertemu lailatul Qadar.

5. Perbanyakkan iktikaf, pelihara solat fardhu berjemaah di masjid, tingkatkan tilawah al-Quran, perbanyakkan doa dan permohonan ampun kepada Allah.

6. Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan: Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jugalah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).

7. Marilah kita berazam bersungguh-sungguh untuk bertemu Lailatul Qadar. Bayangkan seolah-olah inilah Ramadan terakhir kita dan mungkin ini peluang terakhir untuk bertemu Lailatul Qadar pada tahun ini.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

01hb April 2024
21hb Ramadan 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perbanyak Doa Keampunan Di Malam Lailatul Qadar

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah SAW, iaitu jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatul qadar, apakah doa yang mesti aku ucapkan?” Jawab Rasululullah SAW: “Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan Engkau sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku” (Sunan Tirmizi No: 3513) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan menuntut kita memperbanyak amal ibadah termasuklah memperbanyakkan doa.

2. Rasulullah SAW menganjurkan kita agar perbanyakkan doa memohon ampun di sepuluh malam terakhir dari Ramadhan khususnya apabila menemui lailatul qadar.

3. Kita bertawasul dengan sifat ‘afwu (Maha Pemaaf Allah) dengan memohon agar Allah memaafkan dosa yang kita lakukan.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan Engkau sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku”

Marilah kita perbanyakkan doa ini memohon ampunan dari dosa dan kesalahan kita. Moga Ramadan ini benar-benar membersihkan diri kita daripada dosa.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

02hb April 2024
22hb Ramadan 1445H
 
Back
Top
Log in Register