Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,777
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,777
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Akta ILTIZAM: JPA Perluas Pelaksanaan, Perkukuh Kefahaman Rentas Agensi
Pengarah Bahagian Reformasi Sektor Awam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Syuhaida Abdul Wahab Zen ditemu bual BERNAMA mengenai Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta ILTIZAM) baru-baru ini.
Usaha memperkukuh pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) atau dikenali sebagai Akta ILTIZAM kini memberi tumpuan kepada penyelarasan kefahaman dalam kalangan agensi kerajaan, pengembangan pelaksanaan di peringkat kerajaan negeri dan pemantauan terhadap pencapaian sasaran pengurangan beban kawal selia.
Pengarah Bahagian Reformasi Sektor Awam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Syuhaida Abdul Wahab Zen berkata penyelarasan kefahaman antara kementerian dan agensi merupakan aspek penting bagi memastikan tanggungjawab dan obligasi di bawah Akta ILTIZAM difahami serta dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Bila kita lihat kepada cabaran dalam pelaksanaan Akta ILTIZAM ini, yang pertama adalah dari segi kefahaman. Kita hendak memastikan keseragaman dari aspek kefahaman dan pelaksanaannya.
“Kami di pihak JPA bersama-sama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan pegawai berkaitan bagi memastikan tanggungjawab ataupun obligasi ini difahami dan dapat dilaksanakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Akta ILTIZAM yang berkuat kuasa bermula 1 Dis 2025 merupakan bukti komitmen Kerajaan MADANI dan di bawah tanggungjawab Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui pelaksanaan akta dan penguatkuasaan pengurangan beban kawal selia.
Ia diperkenalkan sebagai langkah strategik bagi menangani isu kerenah birokrasi, pertindihan peraturan dan beban kawal selia yang selama ini menjadi cabaran utama kepada rakyat dan komuniti perniagaan dalam berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan.
Mengenai pelaksanaan Akta ILTIZAM di peringkat kerajaan negeri, Syuhaida berkata perkembangan semasa menunjukkan komitmen yang menggalakkan apabila perkara itu telah mendapat persetujuan dasar di peringkat Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.
Beliau berkata kerajaan negeri kini hanya perlu mendapatkan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum akta berkenaan dapat diterima pakai di negeri masing-masing.