Pengusaha bakal berdepan tindakan mahkamah
PENGUSAHA restoran asam pedas di Kota Laksamana, Melaka yang tular selepas mengenakan caj RM18 bagi satu jag minuman sirap bakal berdepan tindakan mahkamah.
Ia susulan pemilik restoran itu gagal menyelenggara dokumen yang diminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka.
Pengarah KPDNHEP negeri, Jaiya Abu berkata, tindakan itu diambil selepas pengusaha restoran terbabit gagal mengemukakan dokumen lengkap walaupun tempoh lanjutan sudah diberikan selama tiga hari.
“Pada awalnya, kita (KPDNHEP) memberi tempoh lima hari kepada pemilik mengemukakan dokumen tunjuk sebab, namun ketika (dokumen) diserahkan ia tidak mencukupi dan kita beri lagi tempoh lanjutan tiga hari.
“Namun, pemilik restoran itu gagal menyelenggara dokumen dan susulan itu KPDNHEP membuka kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Jaiya berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 53A Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau kompaun RM25,000, jika sabit kesalahan.
“Apabila kertas siasatan siap sepenuhnya, kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada untuk tindakan kompaun atau mendakwa pemilik restoran berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, pengguna di laman sosial memuat naik resit bayaran dikenakan selepas tidak berpuas hati apabila minuman sirap air yang dipesannya dicaj RM18 untuk satu jag.
Wanita itu memuat naik keterangan ‘Ya memang aku nak viralkan benda ni. Satu jug air sirap tu RM18? Harga lauk tu tak kisah tapi air sirap kau charge macam tu memang tak guna la restoren kau. Manners pekerja out. Kenapa aku viral tak cakap depan depan kat diorang? i did tapi boss sendiri layan macam sampah.’
Susulan itu, pengusaha restoran berkenaan diberi notis lima hari oleh KPDHNHEP untuk mengemukakan dokumen tunjuk sebab.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/10/386632/update-tindakan-mahkamah-menunggu