combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,162
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,162
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
AIAC Lancar Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono Untuk Perluas Akses Kepada Keadilan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Auditorium AIAC, Bangunan Sulaiman.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini secara rasmi melancarkan Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono sekali gus menandakan satu langkah penting dalam memperluas akses rakyat kepada keadilan dan mengurangkan beban sistem mahkamah di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif itu mencerminkan nilai dan komitmen kerajaan dalam memastikan keadilan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kewangan.
“Hari ini, inisiatif yang dilancar bukan sekadar satu program tetapi juga manifestasi nilai dan komitmen.
“Ia menegaskan semula keyakinan kita bahawa keadilan tidak seharusnya diukur berdasarkan kemampuan kewangan sebaliknya harus kekal boleh diakses oleh setiap individu dan perniagaan yang mencari penyelesaian secara adil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif itu yang bertemakan “Echoes of Justice: Bridging Pro Bono, Accessibility & Expertise” di Auditorium AIAC di sini.
Azalina berkata inisiatif itu secara langsung menangani cabaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana, syarikat pemula dan perniagaan biasa yang sering berdepan pertikaian undang-undang yang boleh menjejaskan kelangsungan operasi mereka namun tidak memiliki sumber kewangan mencukupi untuk menempuh proses perbicaraan mahkamah yang panjang.
Selaras dengan pelancaran inisiatif itu, beliau berkata kerajaan kini meneliti semula Akta Pengantaraan 2012 bagi meneroka reformasi yang lebih menyeluruh termasuk kemungkinan memperkenal pengantaraan mandatori bagi kategori tertentu melibatkan tuntutan kecil dan pertikaian komersial.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIAC Datuk Almalena Sharmila Johan dalam ucapan alu-aluannya berkata inisiatif berkenaan adalah manifestasi langsung tanggungjawab besar pusat tersebut untuk memperjuangkan rangka kerja penyelesaian pertikaian yang bukan sahaja bertaraf dunia dari segi kualiti tetapi juga adil dan mudah diakses oleh semua pihak.
“Selaras dengan usaha Kerajaan Malaysia memperluas akses awam kepada keadilan melalui pengantaraan, inisiatif ini bertujuan menawarkan perkhidmatan pengantaraan komersial secara percuma yang dikendalikan secara profesional bagi pertikaian bernilai RM250,000 dan ke bawah,” katanya sambil menambah permohonan boleh dibuat sama ada secara dalam talian atau datang terus ke pusat berkenaan.