Abu Bakar bebas tuduhan rasuah

CG Sponsors




izack1981

Legendary Member
Platinum Member
Joined
Feb 15, 2007
Messages
10,380
Reaction score
61
Points
120
KUALA LUMPUR 13 Jan. - Bekas Pengurus Perbadanan Stadium Merdeka, Abu Bakar Kasim dilepas dan dibebaskan daripada tiga tuduhan rasuah menggunakan jawatannya bagi memilih syarikat untuk kerja membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil bernilai RM26,756.60, kira-kira 11 tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Fathiyah Idris membebaskan Abu Bakar hari ini tanpa dipanggil membela diri setelah mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie bahawa wujudnya elemen rasuah dalam kesemua pertuduhan.

Abu Bakar yang berusia 62 tahun pernah berlakon dalam drama bersiri Opah menerusi watak Amar pada sekitar 80-an, didakwa pertama kali di mahkamah pada 29 Jun 2004.

Selepas mengetahui dirinya dibebaskan, Abu Bakar yang berdiri di dalam kandang tertuduh kelihatan menyapu mukanya dengan kedua-dua tapak tangan tanda kesyukuran.

''Saya bersyukur menerima keputusan mahkamah. Syukur Alhamdulillah kerana tekanan yang saya tanggung selepas enam tahun kes berjalan kini telah selesai,'' katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah di sini.

Abu Bakar didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk mendapatkan suatu suapan dengan cara memilih Syarikat Tangkas Timur Sdn. Bhd. bagi menjalankan kerja-kerja membaiki dan menggantikan part trolley olahraga di Stadium Nasional yang bernilai RM11,130.60.

Dia didakwa memilih syarikat tersebut yang salah seorang pemegang sahamnya ialah abang iparnya, Abu Hasan Lakim.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 14 Januari 1999 di Pejabat Perbadanan Stadium Merdeka di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini.

Dia turut didakwa memilih syarikat yang sama bagi kerja-kerja membekal dan memasang mentol lampu di Pusat Skuasy Nasional bernilai RM3,326 pada 15 Januari 1999.

Selain itu, Abu Bakar didakwa sekali lagi menggunakan jawatannya pada 16 Januari 1999 dengan cara memilih syarikat itu bagi kerja-kerja membekalkan karpet merah bernilai RM12,300 di Stadium Nasional.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan jika sabit kesalahan adalah penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana satu yang lebih tinggi.

Dalam keputusannya, Fathiyah berkata, setelah meneliti keterangan semua saksi terutamanya dua pegawai Perbadanan Stadium Merdeka, beliau mendapati tiada keterangan menunjukkan Abu Bakar memperoleh sebarang suapan daripada syarikat terbabit.

''Pengadu kes ialah Mazlan Kadir. Namun, pengadu tidak pernah dipanggil oleh pihak pendakwaan. Sebaliknya, mereka memanggil Mazlan Che Soh selaku Penolong Pengurus Bahagian Penyelenggaraan Stadium yang bertugas di bawah tertuduh untuk memberikan keterangan.

''Disebabkan ketiadaan keterangan daripada pengadu, maka ia telah menimbulkan persoalan siapakah sebenarnya pengadu dalam kes ini. Adakah antara kedua-dua nama tersebut merupakan orang yang sama?'' soalnya.

Tambahan pula, ujar beliau, syarikat itu sebenarnya tersenarai sebagai syarikat kontraktor stadium tersebut dan memberikan sebut harga yang rendah.

Lagipun, kata hakim tersebut, prosedur pemilihan kontraktor dibuat secara teratur seperti ditetapkan oleh Perbadanan Stadium Merdeka dan kerja-kerja yang disebut dalam pertuduhan telah disiapkan oleh Tangkas Timur Sdn. Bhd.

Abu Bakar yang diikat jamin RM15,000 sebelum ini, sudah bersara wajib pada 21 Mac 2004 dan kini mengusahakan perniagaan sendiri.

Sepanjang perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Josiendra Abu Senin memanggil 13 saksi pendakwaan. Abu Bakar diwakili peguam bela V. Rajadevan.

P/s: Best citer opah yang dia berlakon dulu tu. Kalo ada ulangan kan best..
 
Last edited:
Top
Log in Register