ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Gadis yang ditahan dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.
MENGLEMBU - Gara-gara dijanjikan pendapatan lumayan sebagai rakan perniagaan, lapan gadis diperdaya seorang lelaki untuk bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan, dekat sini.
Difahamkan, mereka bekerja tanpa diberi sebarang cuti selain dikurung dalam sebuah rumah yang dijadikan hostel di Taman Desa Rishah dan dijaga seorang lelaki berusia 20-an.
Malah, rumah dua tingkat itu turut dilengkapi 10 kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai untuk mengawasi pergerakan wanita terbabit agar tidak melarikan diri.
Kegiatan itu terbongkar selepas bapa kepada salah seorang mangsa bertindak mengadu kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keong Siong setelah bimbang dengan keselamatan anaknya yang berusia 24 tahun itu.
Kesemua gadis berusia 18 hingga 24 tahun itu akhirnya dapat diselamatkan setelah kehadiran mereka ke rumah terbabit mendapat kerjasama daripada pihak polis seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut.
Thomas Su berkata, pada permulaannya kesemua gadis enggan keluar dari rumah terbabit kerana tiada kebenaran daripada 'rakan kongsi' mereka itu selain bimbang dikenakan denda berdasarkan perjanjian yang ditandatangani mereka.
"Kami memujuk mereka untuk keluar dan mengemas barang keperluan. Dari raut wajah mereka, dapat lihat kebimbangan mereka untuk mengikuti kami," katanya yang turut ditemani Adun Bercham, Chong Chee King.
Menurutnya, hasil penelitian terhadap kontrak yang ditandatangani gadis terbabit pada November 2014 itu ternyata ia berat sebelah selain mempunyai syarat ketat.
"Kontrak tersebut menjanjikan bayaran sebanyak 20 peratus daripada jumlah pendapatan yang diperoleh premis hiburan terbabit tetapi gaji mereka disimpan oleh 'rakan kongsi' mereka itu.
"Gadis yang bekerja pula perlu mencapai sasaran yang ditetapkan setiap hari selain dikenakan denda RM30 sekiranya berat badan mereka naik sekilogram," katanya.
Katanya, gadis terbabit perlu membayar RM100,000 sebagai denda sekiranya mahu berhenti kerja dari premis terbabit.
"Diharapkan polis dapat menjalankan siasatan terperinci terhadap gadis-gadis terbabit yang mungkin diperdaya dan dieksploitasi. Gadis berkenaan kebanyakannya berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur selain dari Ipoh dan Kampar bekerja di premis terbabit.
"Kita sedia membantu gadis terbabit dari sudut perundangan sekiranya pihak premis mengenakan tindakan undang-undang terhadap pekerjanya itu," katanya.
Kesemua gadis berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut.