combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,195
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,195
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
454 Penuntut Lulus Daripada Program Semikonduktor ASEM Sidec
Kredit: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec)
Seramai 454 penuntut telah berjaya menamatkan pengajian dalam program semikonduktor Advanced Semiconductor Academy Malaysia (ASEM) yang dikendalikan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
Sidec melalui satu kenyataan hari ini memberitahu graduan itu menamatkan latihan merentas sembilan kohort yang diadakan antara Februari 2025 hingga Jun 2026, dengan 85 peratus tamat pengajian daripada Program Kecemerlangan Semikonduktor Nasional (NSEP) ASEM dan baki 15 peratus daripada Program Pertukaran Semikonduktor Global (GSEP).
“Bersama-sama, kedua-dua program ini menyediakan peserta dengan latihan teknikal khusus, peluang pembelajaran praktikal termasuk pendedahan industri, mengukuhkan kumpulan bakat mahir yang diperlukan untuk menyokong cita-cita Malaysia dalam sektor semikonduktor dan teknologi,” katanya.
Mereka telah diiktiraf pada Majlis Pengijazahan dan Penghargaan Bakat Malaysia yang diadakan di Puchong hari ini.
Graduan ini terdiri daripada mahasiswa kejuruteraan, graduan baharu dan profesional bekerja, yang berjaya menamatkan latihan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) digital, reka bentuk IC analog, perisian tegar sistem terbenam, Internet Pelbagai Perkara (IoT) terbenam dan robotik kecerdasan buatan (AI).
Menurut Sidec, graduan berkenaan datang dari pelbagai institusi pengajian tinggi antaranya Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Multimedia.
NSEP merupakan program latihan reka bentuk cip intensif empat bulan yang direka bagi melengkapkan jurutera yang menganggur dan tidak bekerja, graduan baru dan profesional bekerja dengan kemahiran semikonduktor sedia industri.
Program ini menampilkan makmal praktikal, kerja kursus dalam reka bentuk dan fabrikasi IC, bimbingan daripada pakar semikonduktor, ia ditaja sepenuhnya, meliputi bahan pembelajaran, yuran latihan serta makanan.
Di samping itu, GSEP melengkapkan usaha latihan kebangsaan ini dengan membolehkan peserta mendalami kepakaran semikonduktor melalui latihan khusus dan pendedahan industri antarabangsa.