combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
16 Warden Bekas ATM Bertugas Di Lapan MRSM Mulai 1 Julai
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Sebanyak 16 bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mula melaporkan diri sebagai warden sepenuh masa di lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih bermula Rabu ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook berkata penempatan itu diharap dapat membantu meningkatkan tahap disiplin pelajar selain memastikan tiada lagi kes buli berlaku di institusi pendidikan tersebut.
Beliau berkata pelaksanaan itu merupakan fasa kedua program pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera selepas projek rintis dilaksanakan di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang bermula 18 Okt tahun lepas.
“Bagi keperluan semasa, jumlah keseluruhan adalah 32 orang warden bagi lapan MRSM iaitu dua lelaki dan dua wanita bagi setiap MRSM. Untuk fasa pertama, 16 warden lelaki akan memulakan tugas pada 1 Julai 2026.
“Bagi calon wanita, 162 orang telah memohon. Ujian secara dalam talian diadakan pada 25 Jun 2026. Tarikh temu duga fizikal calon wanita ialah 2 Julai. Pelantikan warden wanita dijangka menyusul sedikit selepas fasa lelaki, tertakluk kepada penyempurnaan proses tapisan yang sama,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata proses pemilihan warden dilaksanakan secara bersama oleh anak syarikat MARA, Glokal Link Sdn Bhd (GLSB) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling ATM.
Beliau berkata sesi temu duga fizikal telah diadakan pada 15 dan 16 Jun di Institut Kemahiran Tinggi MARA, Kepong, melibatkan 147 calon termasuk 139 calon lelaki yang telah melalui tapisan awal dan tapisan kedua.
“Sebelum calon hadir temu duga, mereka telah melalui tapisan awal oleh JHEV dan TalentCorp. Laluan ini adalah bagi calon veteran ATM yang diiktiraf iaitu mereka yang menamatkan perkhidmatan secara terhormat dan tidak diberhentikan atas alasan salah laku, disiplin berat atau pelanggaran undang-undang yang menjejaskan kelayakan sebagai Veteran ATM,” katanya.
Menurutnya GLSB akan memastikan semua tapisan prapelantikan disempurnakan terlebih dahulu antaranya semakan status veteran ATM, rekod jenayah melalui Polis Diraja Malaysia dan semakan berkaitan pesalah jenayah seksual kanak-kanak sebelum sebarang surat tawaran atau lantikan dikeluarkan.