combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
10 Individu Ditahan Bersama Dadah Bernilai RM4.36 Juta Dalam Tiga Operasi Di Johor
Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat
Polis Johor berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah selepas menahan 10 individu dan merampas 41.62 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM4.36 juta menerusi tiga operasi berasingan di daerah ini dan Batu Pahat dalam tempoh empat hari antara 11 hingga 14 Mei lepas.
Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki warga Singapura, tiga wanita warga Vietnam serta seorang wanita warga Thailand berusia antara 24 hingga 54 tahun.
Beliau berkata ketiga-tiga sindiket yang dipercayai aktif sejak Januari hingga Februari lepas itu menjadikan kondominium berpagar dan berkawal serta rumah teres sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Katanya operasi pertama di sekitar daerah ini membawa kepada penahanan seorang lelaki dan wanita tempatan serta lima individu warga Singapura, Vietnam dan Thailand yang masing-masing dipercayai berperanan dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Pelbagai jenis dadah seberat 19.06 kg dan 9.01 liter cecair dadah dirampas dalam operasi ini yang dianggarkan bernilai RM1.47 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.
Beliau berkata pihak polis turut menyita pelbagai barangan termasuk tujuh utas gelang tangan bernilai RM23,975, dua jam tangan jenama mewah bernilai RM40,000 serta dua kereta.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dua lagi positif ketamin, manakala hanya seorang mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata semua suspek direman selama tujuh hari bermula 12 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi kedua di Batu Pahat, polis merampas kira-kira 9.48 kg dadah serta 0.102 liter cecair dadah bernilai RM1.15 juta selain menyita dua kereta dan wang tunai RM280.