kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
1,247 Peserta Ikuti Latihan "1 NADI, 1 Prompt Engineer"
Dr. Mohd Arif Adenan
Sebanyak 1,247 peserta sedang menjalani latihan intensif selama empat bulan menerusi program “1 NADI, 1 Prompt Engineer” bagi melahirkan bakat kecerdasan buatan (AI) peringkat komuniti di seluruh negara.
Ketua Pejabat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Mohd Arif Adenan berkata program percuma itu menawarkan latihan praktikal serta pensijilan AI dengan kerjasama syarikat teknologi gergasi, iaitu Google serta Universiti Multimedia (MMU) dan MIMOS Academy.
“Kita berharap mereka berjaya menamatkan latihan ini dan menjadi jurutera arahan (prompt engineer) AI yang boleh bertindak sebagai pakar rujuk kepada komuniti masing-masing,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini.
Beliau berkata program itu turut memperkasakan peserta untuk membina kerjaya secara bebas (freelance) tanpa perlu berhijrah ke bandar, selaras dengan trend pasaran kerja masa kini yang semakin cenderung mendapatkan khidmat bakat berdasarkan projek atau tugasan.
“Sebagai contoh, seorang jurutera arahan AI di Pulau Banggi, Sabah boleh menjana pendapatan dan melaksanakan tugasan untuk syarikat terus dari sana kerana mempunyai capaian Internet berkelajuan tinggi menerusi NADI,” katanya.
Mohd Arif berkata biarpun sasaran utama ialah golongan berusia 40 tahun ke bawah, MCMC tetap menerima peserta lebih berusia yang menunjukkan minat tinggi terhadap teknologi sebagai kriteria pemilihan utama.
Selain itu, MCMC juga sedang mempersiapkan pelancaran Akademi NADI pada Oktober ini yang bakal menghimpunkan semua kursus di bawah satu ekosistem bagi memudahkan pemantauan dan pembangunan profil peserta.
Akademi berkenaan akan menggunakan sistem berasaskan AI untuk membangunkan profil individu berdasarkan kursus disertai, selain mengenal pasti kecenderungan mereka dalam bidang keusahawanan, akademik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau teknologi maklumat.