Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,770
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,770
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
1,211 Titik Panas Dikesan Di Rantau Selatan ASEAN, Asap Rentas Sempadan Masuk Sarawak - JAS
Pemandangan berjerebu dirakam berhampiran Tebingan Sungai Kuching yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 299 iaitu sangat tidak sihat setakat 11 pagi tadi.
Sebanyak 1,211 titik panas dikesan di rantau Selatan ASEAN berdasarkan laporan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,180 titik panas dikesan di Kalimantan, 18 di Sumatera dan 13 di Malaysia dengan masing-masing dua di Perak dan Sabah serta sembilan di Sarawak.
Beliau berkata Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC pada tarikh sama menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan di rantau Selatan ASEAN kecuali beberapa kawasan terutama di bahagian utara Sumatera dan Semenanjung Malaysia yang menerima hujan.
“Titik panas yang meluas dikesan di Kalimantan, manakala titik panas terpencil dikesan di Sulawesi serta bahagian selatan dan tengah Sumatera. Beberapa titik panas turut dikesan terutamanya di bahagian tengah Sarawak dan bahagian timur Jawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azuri Azizah berkata kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
Jerebu sederhana hingga tebal turut diperhatikan di sebahagian besar Kalimantan, bahagian tengah Sarawak serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.
Beliau berkata beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat, bahagian barat dan tengah Sarawak, barat Semenanjung Malaysia serta selatan dan tengah Sumatera merekodkan bacaan kualiti udara pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan keseluruhan titik panas dan jerebu di rantau ini tidak dapat ditentukan sepenuhnya berikutan litupan awan.
Susulan peningkatan aktiviti titik panas serta keadaan jerebu yang semakin meluas di rantau Selatan ASEAN, Sekretariat ASEAN telah mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi rantau itu berkuat kuasa 27 Ogos selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) MAJER ASEAN.