Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
1,000 Usahawan Mikro Dijangka Manfaat Program iTEKAD Menjelang 2027
Kredit: Bank Muamalat
Sebanyak 1,000 usahawan mikro dijangka menerima manfaat menerusi Program iTEKAD, hasil kerjasama strategik antara Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor), menjelang Disember 2027.
Bank Muamalat dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu dimeterai semalam menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuh pelaksanaan program berkenaan, sekali gus memperluas sokongan kepada usahawan mikro, khususnya golongan B40 dan asnaf di Selangor.
Menurut kenyataan itu, Hijrah Selangor akan mengenal pasti usahawan yang layak menyertai program tersebut selain turut menyediakan kemudahan pembiayaan mikro, latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan, program literasi kewangan dan pemasaran digital.
Bank Muamalat pula akan menyalurkan geran iTEKAD sebagai modal permulaan bagi membantu usahawan memperoleh peralatan dan kelengkapan perniagaan, di samping menyokong pembangunan kapasiti usahawan melalui latihan dan pemantauan.
“Bagi 2026, Bank Muamalat dan Hijrah Selangor menyasarkan sebanyak 400 usahawan menyertai Program iTEKAD dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.
“Secara keseluruhannya, kedua-dua pihak menyasarkan 1,000 usahawan menerima manfaat menerusi Program iTEKAD menjelang Disember 2027, sekali gus memperluas impak program dalam melahirkan lebih ramai usahawan berdaya tahan dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.
Sejak Disember 2025 hingga Jun 2026, sebanyak 200 usahawan Hijrah Selangor telah diluluskan di bawah Program iTEKAD dengan jumlah peruntukan geran sebanyak RM1 juta.
Bank Muamalat memaklumkan peserta juga turut ditawarkan pakej perlindungan takaful mampu milik melalui PruBSN Takaful bagi membantu melindungi mereka daripada risiko kewangan yang tidak dijangka.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin dalam kenyataan sama berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan Bank Muamalat dalam memperkasakan usahawan melalui pendekatan holistik yang bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan, bahkan turut menawarkan ilmu, kemahiran dan perlindungan kewangan bagi membina perniagaan yang mampan.